Hamba hingga akhirnya

My photo
Aku hanya seorang hamba ALLAH yang kerap buta pada terang cahaya,sering celik pada gelap lorong yang hujungnya mati jiwa, tapi keraguan itu hanya semalam yang caci. Ya ALLAH, relakan aku menangis kerana mendengar kebenaran, jangan biarkan aku ketawa sedangkan di dalamnya penipuan.

Sang Penulis

“Semua penulis akan mati. Hanya karyanyalah yang akan abadi. Maka tulislah sesuatu yang membahagiakan dirimu di akhirat nanti” (Ali bin Abi Thalib).

Thursday, August 23, 2012

Bukan Main-Main


Sudah setahun ditinggalkan ruangan ini.
Maaf, ada kepentingan lain yang wajib diselesaikan.

Dan aku datang hanya bawa satu pesanan sahaja,
Kalau kita tak mampu pergi hantar jasad berjuang dekat Palestin, Syria, Arakan untuk tolong Rohingya.
Cukuplah di Malaysia ni, kita jadi muslim yang baik dan sebarkan kebaikan.
Dan apa yang ada sikit-sikit kita sumbangkan.
Lama-lama kita dapat lebih dari yang sikit itu.
Tiada duit jangan bersedih. Tenaga kan ada?
Mudah-mudahan kita akan berjuang di sana suatu hari nanti.
Niat dan berusaha. Allah tahu jalan kamu.
Jangan sekali tinggalkan mati hati itu tanpa penghuni yang sebenarnya.
Kita letakkan Allah sebagai pemilik segala kelancaran.
Itu tanda kita sedang kerja dalam faham.
Moga Allah bersama kamu.


p/s : Nak tulis ni je...nak tulis banyak lagi sebenarnya. Fuhhh...

Wednesday, May 16, 2012

Layakkah Kau Menyambut Hari Guru?

Perkara yang paling menyedihkan ialah apabila 'kau' tidak dapat menyelamatkan akidah seseorang.
Macam mana kalau budak tu tanya dekat aku masa hari pembalasan kelak?

"cikgu kenapa dulu taknak selamatkan saya masuk Islam, sedangkan cikgu tahu saya nak Islam, bukan kristian?"
"Sebab sekolah tak bagi masuk campur dalam urusan keluarga dan agama awak... cikgu dah masukkan dalam isu mesyuarat guru lagi tau...nanti mak awak anggap cikgu ni apa pulak, ayah awak memang dah Islam takde masalah, tapi, mak awak macam mana? lagi pun, cikgu cuma praktikum je kat sekolah tu."
"Kenapa cikgu tak nak usaha bersungguh-sungguh?"
"Guru besar tak bagi cikgu masuk campur."
"Kenapa cikgu biar saya macam gitu je. Kalau cikgu bagi kata-kata semangat dan nasihat mesti hati saya jadi lembut."
"Cikgu tak kuat sebab terikat dengan maktab dan sekolah."

Lalu,
Bagaimana kalau api neraka yang menyambut kerana lemah imanmu dalam berjuang?
Mana pergi roh jihad andai roh kecewa yang kunjung tiba terlebih dahulu.

Bertanya kembali pada diri,
Layakkah kau menyambut Hari Guru?
Sedangkan hari ini ramai anak-anak kecil yang kekeliruan akidah,
Kecelaruan agama punca pecah belah keluarga,
Layakkah kau sebagai khalifah hanya duduk termenung,
Mengenang nasib diri yang tidak sempurna,
Layakkah kau mengaku cintakan rasul,
Tapi...dakwah hanya ada di mulut pertuturan indah hujah-hujah,
Bila duga-duga datang di depan mata,
Akal menggelabah mencari alasan.



Kerana jalan dakwah itu panjang dan pelbagai,
Bukan hanya pada Islam,
Tapi bagaimana dengan belum Islam?
Tapi bagaimana dengan keluar Islam?


Monday, April 30, 2012

Kecemasan

Pada inci masa,
Pada lerai kasih,
Kadangnya genggam aku tak pernah cukup padaMu,
Ada saja berciciran sepah tanpa aku pandang,
Namun,
Sekilas pun rasaku tak pernah terlepas,
Sekilau pun rasaku tak pernah terbias.

Pada sudut lain,
Ada bunga hitam yang dibuang jauh-jauh,
Kenang-kenang semalam mencuit hangatnya jejak sekarang,
Bawa aku ke tempat gembira.






Tuesday, April 17, 2012

Stand By...

Ke hadapan...
Emak ayah,

Siti takde peluang lagi jaga orang tua,
Embah dah meninggal,
Selepas tujuh tahun kita berjuang untuk akhir usia dia.
Dari Siti sekolah menengah sampai nak habis belajar dekat maktab.
Ingat lagi kan? kita buat apa...seronok layan embah.
Siti tak sabar nak kerja,
Dengan duit tu nak ubat sakit embah. Kita boleh pergi terapi sampai sihat. macam-macam lagi.
Tapi, tengok-tengok embah dah 'pergi', tak kerja lagi ni. Takde apa yang Siti mampu berikan. Maaf ye emak ayah.

Emak ayah tahu kan...
Siti belajar tak pandai cam budak lain. Cikgu pun pernah cakap Siti 'bodoh'.
Tapi, Allah ada untuk Siti. Siti belajar rajin-rajin supaya dapat sambung belajar,
Siti tengok embah mesti boleh sembuh...Siti target dapat kerja gaji besar, boleh ikhtiar untuk embah. Siti nak tolong ayah yang dah penat bawa lori.
Tapi...tak sempat...Siti pun masih belajar lagi. Sedih mak ayah...Siti terkilan.

Lepas ni,
Dah takde rasa lagi nak suap makan embah,
Nak bersihkan najis embah,
Nak salinkan pampers.
Nak sembang dengan embah.
Nak urut kaki dia biar bergerak-gerak.
Memang susah nak jaga orang angin ahmar yang tak boleh respon lagi,
Tapi yang susah itulah yang terindah. Siti ingat pesan ayah.

Emak tahu,
Siti nak ucap terima kasih sebab didik Siti kenal macam mana nak jaga orang tua sakit.
Ayah tahu,
Siti nak ucap terima kasih sebab ajar Siti perkataan 'ikhlas' dalam amal jaga orang tua. Ayah tak pernah didik jaga orang tua kerana harta, nama dan pujian dari orang keliling...

Buktinya, embah tak pernah mengaku sebut anak-anak lelaki dia tu adalah anak dia. Tapi bila ayah datang dekat, embah senang je sebut, "Iki, anak lanang aku, Tahir. Jangan pergi jauh-jauh, dekat dengan mak sini". Padahal ayah cuma menantu lelaki. "Ayah jawab, haaa...don't speaking jawa, Tahir kurang fasih mak...tapi mak masih sayang Tahir walaupun tak pandai cakap jawa kan?" Embah jawab sambil tunjuk pelempang. "Ni nampak ni". Ayah ketawa mengekik.

Siti juga rasa masa sekolah rendah, sebelum jaga embah. Ayah jaga Tok Cucu, ayah jaga emak ayah baik-baik. Siti tahu jiwa ayah sempurna untuk orang tua. Sebab ayah anak yatim. dan sebab itu ayah mampu galas. Ayah dari kecil tak jumpa ayah kandung. Tok Bak dah tinggalkan ayah dari kecil. Tapi ayah jaga emak ayah betul-betul. Tok Cucu ayah berjaya dakap sampai akhir hayat. Sama macam embah lanang dan embah wedok.

Satu persoalan. Siti tak mahu berjanji dengan masa depan. Tapi Siti ada Allah dalam setiap urusan.
Siti mampu ke buat macam ayah? Untuk pihak mertua dan emak ayah sendiri? Hingga hujung hayat?
Bila saat mereka semua meninggalkan dunia. Itulah yang Siti fikirkan sambil merenung wajah emak ayah dari jauh. Tapi ayah ada pesan, "Jangan sibuk jaga emak dengan ayah, selagi kau tak jaga mak ayah mertua kau, bantu suami baru bantu emak dengan ayah". Serius, aku betul-betul sedih bila ayah cakap gitu. Soalan untuk ayah, mengapa asyik berkorban?

Terima kasih juga,
Sebab emak ayah ajar Siti macam mana mandikan, kapankan, solatkan, kebumikan jenazah.
Siti dapat buat masa embah pergi.
Siti harap dapat buat juga masa Emak Ayah pergi.

Bila Siti cakap,
Siti dah takde nenek dan datuk belah emak dan ayah.
Emak jawab,
Sekarang ni, Siti tinggal jaga emak dengan ayah.
Emak dengan ayah nak rasa macam mana Tok Cucu, embah lanang dan embah wedok rasa.

Pengalaman ni, Siti tak dapat dekat maktab.
Emak ayah, Siti nak pangku emak ayah masa hujung nafas nanti.
Siti nak jadi anak yang membisikkan kalimah syahadah pada telinga emak ayah sampai malaikat maut datang bersama tugasnya. Sebab bukan cuma diharap syurga bawah telapak kaki. Siti ingin berbalas budi dengan insan-insan yang bermati-matian untuk hidup satu, dua, tiga, empat dan lima orang anak. Siti tahu, Siti anak paling susah untuk emak lahirkan...Siti juga paling nakal. Tapi...emak ayah... Siti ada harapan bernama doa. Semoga Allah memberi peluang bagi umur Siti menjaga emak ayah. Jika Siti mati dulu. ampunkan anakmu ini kerana seringkali mensia-siakanmu. Allahu Rabbi.

Siti tutup dulu surat ini ye,
Jangan risau kerana kertas seluruh dunia ini tak pernah habis buat ucap terima kasih kepada emak dan ayah.

Wednesday, March 21, 2012

Seorang Lelaki Di hadapan Cermin

Berhentilah mengejar bayang-bayang,
Pergilah mengejar matahari,
Kerana aku bimbang,
Cahaya kau nanti bakal menghilang.



Impian kita redha Allah,
Jangan main-main.

Tuesday, February 28, 2012

Christopher ke Danial?

Bukan sehari dua aku kenal sekolah. Dah naik muak dah. Tapi, macam mana kenal pun kita belum kenal betul-betul lagi. Sedang hati aku resah gelisah tiada tajuk Kajian Tindakan. Aku secara tiba-tiba dapat relief kelas moral. Dengan wajah penuh bermoral aku melangkah masuk ke kelas tahun 6 Setia dan 6 Kreatif. Kelas budak matang, ini pemikiran aku, aku kena duduk borak cara matang. Topik hari itu berhemah tinggi. Aku cerita tentang hemah tinggi. Kita kena kawan dengan semua orang tanpa mengira status tahap sosio-ekonomi. Aku menekankan benda alah ini memandangkan sekolah itu tahap gaya latar belakang mak ayah elit, cendekiawan dan cendawan.

Dalam masa aku duduk bersembang, aku tertarik dengan seorang murid ini. Sebenarnya aku dah lama pandang dia sejak hari pertama lapor diri. Sebab mata dia jenis mata yang simpan seribu satu kisah, mata dia  manis tapi tajam. Tapi dari mata dia aku dapat rasakan sesuatu masa hari pertama lagi. Ya Allah rupa-rupanya, ada kisah sebalik mata dia. Sila ikuti dialog kami di bawah :-

Cikgu : Muka awak macam melayu, masuk moral ke? tak masuk kelas pendidikan Islam? Siapa nama ye?
Christopher : Chris...Christopher. Saya melayu cikgu. Emak saya christ, ayah saya melayu.
Cikgu : Astaghfirullah (dalam hati, macam kena sentap jantung). Maaf, cikgu tanya lagi sekali. Emak awak agama kristian? Ayah awak pula Islam kan?
Christopher : Ye, saya ada dua nama cikgu. Nama saya dulu Danial. Sekarang Christopher. 

Aku sembang sambil tengok nama penuh dekat buku dia. Christopher de Centrino. Hati aku tak habis-habis huru-hara macam berlari berjuta kilometer. Terperanjat. Istighfar.

Cikgu : Cikgu panggil awak danial ye. Macam mana awak boleh kristian. Ikut mak awak ke?
Christopher : Ye, lepas mak ayah saya bercerai, emak saya bawa saya pergi. Ayah saya Islam. Masa itu saya jugak Islam. Dulu saya solat. Saya baca, kenal Quran. Saya dah sampai mengaji Quran cikgu. Bukan biasa-biasa. Saya puasa semua tu.
Cikgu : Emak ayah awak bercerai masa bila.
Christopher : Dua tahun lepas. Saya tahun 4. 
Cikgu : Dari kecil sampai tahun 4. Awak dah kenal Islam kan. Danial, hati awak nak agama mana? Islam atau kristian?
Christopher : Saya nak Islam cikgu. Saya keliru. Saya keliru Islam dan Kristian sudah bercampur dalam hidup saya. Tapi, saya nak Islam.
Cikgu : Awak jangan keliru. Ikut Islam selamanya. Emak awak ada bawa awak pergi church?
Christopher : Ada. tapi saya tolak. Saya kata tak nak ikut. Saya memang tak boleh nak terima ke tempat tu.

Jason menyampuk secara tiba-tiba.

Jason : Buat apa you masuk kristian, you masuk kristian tapi you tak sembahyang kat church. lebih baik you Islam. 
Christopher : Entahlah. Aku ikut mak aku.
Cikgu : Jason, Christopher Islam. Dia masih keliru.
Jason : mix ke cikgu. combine? aiyak...pening ini macam. Kalau saya tak boleh hidup.
Cikgu : Memang. (Jason pun tahu Islam lebih baik)

Aku sambung bercakap dengan dia. Dia bilang dia ada 2 orang kakak. Kakak dia bekerja. ada seorang abang. Abang dia pilih kristian (sedihlah). Kakak dia yang bekerja pilih Islam. 

Cikgu : Danial, awak tengok kakak awak sembahyang kan? solat macam Islam? pakai telekung?
Christopher : ye cikgu. 
Cikgu : Danial, awak baik. awak memang budak baik. cikgu cakap dengan awak. cikgu suruh awak tulis. awak dengar. awak tak nakal. Sayangnya Danial... (cikgu senyap...taknak sambung, sedihlah). Awak ikut apa hati awak ye Danial. Awak nak Islam. Awak pilih Islam selamanya. Ikut kakak awak sembahyang ye. Jangan tinggalkan Islam.
Christopher : Baik cikgu. (dia mengangguk)
Cikgu : Nanti cikgu nak jumpa dengan awak lagi. Kita sembang sama-sama. Hehe...awak nak kan?
Christopher : Nak. 

Aku pandang mata dia dalam-dalam. 
Aku berharap. 
Allah pegang hati dia. 
Allah pegang hati aku. 
Sampai hujung nyawa kami dalam iman Islam.

Aku tahu hati Christopher menderita. Dia keliru. Dia nak Allah, dia nak Islam. 

Aku dengan segera menelefon murabbiyyah. Murabiyyah aku cakap. Allah pilih aku untuk menghadapi Christopher. Jangan dibiar dia tanpa tali. Sampaikan pesan-pesan. Aku terpilih???




Aku wajib selamatkan akidah Christopher,
Dia mahukan Islam.
Aku perlu jadi penguat, bagi semangat,
Ya Allah moga kesulitan menjadi nikmat.
Ya Allah, kau penjaga hati-hati kami,
Tetapkanlah kami atas agama-Mu.

Saturday, February 25, 2012

Jangan Sampai

Danau Perdana...
Jangan sampai tiga bulan aku jadi sia-sia...

Monday, February 6, 2012

Sentap

Allah tidak mengatakan hidup di dunia ini mudah.
Tapi Allah berjanji bersama-sama kita untuk menempuhnya.

Thursday, February 2, 2012

Macam Mana?

Siapa kata kau berteman?

Cuba kau jalan di bawah lampu jalan.
Cuba kau pilih jalan yang makin gelap.
Cuba kau jalan lagi.
Di dalam lorong gelap.
Makin gelap.
Di dalam malam pekat.
Lorong gelap.
Lampu memang sudah dipadam.
Dan hingga itu kau tahu.
Kau tiada teman.
Sedang bayang-bayang juga tidak mahu menemani.
Inikan lagi teman.

Siapa temanmu di alam barzakh nanti?
Ini aku tanya diriku sendiri.



Tapi aku ada teman di dunia untuk perkenalkan apa itu ukhuwah.
Ukhuwah yang mengikat .
Dan satu saat.
Mungkin boleh ditebus kembali janji kita.

Anggap saja stress itu menambah iman.
Syurgawi bukan?
Senyum pada hatimu.
Nanti hatimu akan senyum kembali.

Wednesday, February 1, 2012

Pesan Kiriman

Paling belum menjelma mana tidaknya...
Bersangka baiklah dengan Allah.

Aku takut bertanya pada ALLAH mengapa dikurniakan ujian sebegini rupa?
Sebab selama aku diberikan kebahagiaan, aku tidak pernah bertanya, 
"Ya Allah, mengapa aku diberikan kebahagiaan sebegini rupa?"

Lama-kelamaan ternyata, di saat kau benar-benar mengenali Allah, kau pasti sedar bahawa memerlukan Allah lebih penting dari udara dan seluruh isi dunia.

Allah Maha Mengetahui,
Dia memberikan aku ubat.
Di saat ujian ini melanda,
Aku benar-benar berdebar menantikan keputusan hari khamis ini.
Yang aku sedar usaha itu ada berkepuk-kepuk,
Kini tinggal tawakal,
Dugaan ini ibarat menarik rambut di dalam tepung.
Kami bermain tarik tali.
Biarkan saja.
Allah yang menentukan.

Malam ini,
Hati ini menginginkan nasihat-nasihat lembut dari jiwa-jiwa pejuang tauhid,
Apabila aku bertemu dalam bulatan gembira,
Sebelum ini dengan naqibah,
Malam ini lebih indah,
Ada murobiyyah.

Ada pesan yang dalam-dalam aku serap.
Melihat wajahnya sahaja meresap rasa iman.
Apatah lagi butir kata.
Berpesan-pesan kepada kebaikan.

Tepat pada waktunya Allah mendatangkan aku ubat, walaupun aku tidak bersungguh mencarinya.
Ya Allah, kau mengirimkan kata-kata semangat biar tertiup masuk ke dalam jiwaku,
Kau kirim hantarkan orang lain buat pesan-pesan hikmah.
Aku tahu.
Allah mengirimkan jiwa ini buat ubat jiwa ini.
Kerana menginginkan kebaikan kau tiupkan kefahaman. 
Terima kasih ya Allah.

Celik-celik hatiku,
Biar aku selam,
Rupanya aku manusia masih tidak bersyukur,
Diduga begini hati penuh keluh kesah,
Walau wajah tersenyum.

Sudah tabah agaknya,
Aku yang dulu dikenali paling kuat menangis,
Kali ini mata tidak pandai menangis depan manusia,
Kerana biar senyap sunyi mengalir airmata depan yang Esa,
Kerana aku tidak dapat tahan menangis apabila bertemu meluahkan padaMu,
Kau tahu ya Allah apa yang terbaik buat aku.

Kalau ini jalannya.
Inilah yang terindah.

Aku pandai berpesan pada rakan-rakan sekelas untuk bertabah hati buat perjuangan sisa ini.
Akhirnya aku sendiri tumpas.

Oh, bukan tumpas,
Sedikit longlai.
Aku kuat sebab ada Allah.
Aku ada hari esok pun sebab ada Allah.
Dan malang sekali.
Mengapa niat di hati kerana Allah.
Jarang-jarang berlaku.
Ikhlas cukup untuk jadi ubat sabar.




Ingat,
Bukankah dalam doa kau sering meminta kekuatan?
Maka, Allah hadiahkan ujian untuk memberikan kekuatan itu.

Apa-apa,
Mengadulah pada Allah.
Ini hanya pesanan berhadap ujian, bukan niat mengadu di dalam blog.


Saturday, January 28, 2012

Epik

Hati jadi pahit,
Hakikat ini sengaja ditempah-tempah.

Datang menyinggah jiwa,
Masuk melaju,
Geli,
Jijik,
Mual,
Memandang maksiatku terimbas kembali.
Mahu saja dimuntahkan segala isi hitam.

Buat KAU,
Ya Rabbul Izzati,
Yang di situ,
Sudah tunggu aku berlama-lama,
Di situlah berlama-lama atau tolong,
Jangan biarku lemas,
Aku terlepas.

Dan,
Saat ku pinta itu dan ini,
KAU kata nanti-nanti,
Kerana KAU merindui rintihan ini berlama-lama,
Aku manusia tidak puas satu,
Mahu lagi beribu-ribu.

Tolong Ya Allah,
Didik diriku jadi makhluk bersih noda.
Didik diriku jadi makhluk terima seadanya.

Tundukkan lohongan emosiku,
Arahkan kelembutan,
Cenderungkanlah fitrah sedari lahir itu,
Lorongkanlah fikrah,
Paut hatiku dalam jalan yang lurus,
Tarik kakiku yang telah pesong dari iman.

Lalu,
Kunci akhir kata hatiku,
Doa itu bisa jadi mudah,
Jika tindak tanduk sekencang yang dipohon rayu.
Jika usaha sepadan dengan mahalnya syurga.
Jika cinta akan Allah lebih dari segalanya.




Mengapa sangat sukar laluan ini?
Kerana kau masih dijaga ALLAH.


S





“Sesungguhnya Tuhanmu benar-benar mengawasi.” (Al-Fajr : 14

Wednesday, January 25, 2012

Sebuah Bungkusan


Jangan tinggalkan bungkusan iman kamu di dalam surau atau masjid. 
Jangan tinggalkan bungkusan imanmu di luar kelas, di luar rumah atau di luar bilik.
Sila bawa kemana-mana sahaja kamu berada.
Semasa membawanya jangan dibiarkan tercicir.
Semasa membawanya jangan tertinggal di merata-rata tempat. 
Kerana bungkusan ini tidak akan membuatkan kamu mati kelaparan.




Saturday, January 21, 2012

Suatu saat

Suatu saat dulu kawan aku pernah bertanya, kau nak kahwin dengan siapa dah besar nanti?
"Dengan orang 10 tahun lebih muda, ataupun 10 tahun lebih tua." Aku jawab.
"Kalau takde?" Dia tanya balik.
"Dengan gitar, boleh?"Aku jawab.
Dia kata aku gila.

Kami sekawan ketawa. Masa itu tiada masalah lagi. Masih kecil muda.

Masa muda itulah dikenang semula detik manis.
Dalam celahan detik manis itu rupa-rupanya ada pengajaran buat bekal zaman dewasa ini.

Suatu saat dulu pernah merasa macam mana ponteng sekolah, ponteng kelas, datang lambat, kongsi gelap dengan budak cina, main judi tikam-tikam (ustaz kata haram baru berhenti), baling penyapu dekat budak lelaki yang kacau budak perempuan dalam surau, ada masa kau jadi kaki pukul, main mercun belakang bengkel KH, curi nota kimia dekat makmal, main ceper dekat belakang kelas, tulis sajak tentang cikgu BI dan Add Math yang berkepala botak kerana masalah keguguran rambut, kena baling dengan ais sebab buat lawak masa eksperimen fizik, kena hentak kepala dekat meja sebab main gendang meja macam drummer. Vandalisme bakat terhebat dalam diri kau dan minat itu menebal, perhimpunan pagi baca buku 15 minit, kau baca majalah komik.

Jawatan. Kau benci jawatan. Jawatan pengawas dan pengawas pusat sumber yang cikgu selalu tawarkan, sampai cikgu tanya kenapa benci, kau jawab "saya tak suka sibuk dan mencari publisiti sana sini". Sebelum pergi sekolah, kau make-up mata jadi merah lebam macam kena tumbuk, sampai cikgu disiplin kedua panggil dan tanya kenapa, kau jawab "saya ada kes kat luar cikgu", riak wajahnya seperti risau akan kes itu, kau pula berlalu macam gitu sahaja. Kawan-kawan pelik mengapa diberi jawapan seperti itu, kau cakap "bila lagi nak kenakan cikgu seksi tu."

Suatu saat dulu, kawan baik kau ialah seorang ketua pengawas, kau pula seorang penjenayah sekolah. Tapi masa itu, kau punya nama diangkat jadi ketua sebanyak tiga tahun berkali-kali (menyampah). Yang penting, kau ketua tingkatan yang sporting dan ada niat jahat nak ajak kawan-kawan ponteng kelas fizik, (niat je). Kau juga seorang ketua yang menguasai kelas terbersih setiap minggu dan rasa tercabar apabila kalah dengan budak kelas seni, kau hias kelas kau macam pelamin. Sesiapa buat sampah dalam kelas, kau tulis nama dia 'pembersih itu cantik dan kacak'. Kau sangat sayang pada anak buah kelas kau dan rakan baik kau, iaitu ketua pengawas yang sabar mendidik kau sampai jadi baik sikit perangai, (eceh...baik la sangat). Keistimewaan kau, masa sekolah dulu suka pergi perpustakaan baca buku, disebabkan atas kesedaran kecicirin ilmu kerana terlebih main di dalam kelas. Imej kau ialah budak datang lambat ataupun budak sumber ilmiah (bangga tapi malu-malu).

Dan ayat yang paling diingat.
"Ustaz percaya, kamu akan jadi baik bila besar nanti, biasanya gitu, orang masa kecil-kecil nakal, dah besar ni baik. Ustaz dulu pun gitu. hikhik." Doa ustaz selaku guru disiplin pertama yang baik hati. Ustaz misai aku betul-betul rindukan saat kau mengajar dulu.

Tapi kan...nakal budak zaman dulu, tak sama nakal budak zaman sekarang.

Adik-adik, kakak risau tengok gaya adik-adik zaman sekarang, bukan masalah disiplin sahaja, tapi masalah akidah, adik-adik tahu tak maksud nakal dengan jahat itu berbeza. Kakak tengok, adik-adik ni kecil-kecil bukan main pandai buat 3gp, dah berupaya bagi cucu haram dekat pengetua sekolah, dah salah guna beg plastik hitam. Kelam kabut kami dibuatnya.

Adik-adik, janganlah rasa bersalah terlampau dulu baru ingin menjejak kebenaran. Pabila kita pernah buat salah, sampai satu tahap, rasa bosan dengan kesalahan itu dan ingin hidup dengan betul. Ini lebih selamat, dan menakutkan lagi pabila kita sentiasa merasakan bahawa diri ini baik dan betul sampai lupa sebenarnya kita berdosa. Maka, kerana dosa kita masih beringat. Barangkali.

Janganlah kumpul dosa sikit-sikit lama-lama jadi bukit, ingat nak kumpul duit syiling ke?

***********************************************

Suatu saat dulu kau tak pernah jadi gengster sekolah,
Suatu saat dulu kau pernah jadi pendamai kepada gengster sekolah,
Suatu saat dulu kau pernah jadi gengster sekolah,
Siapa pun kau?
Suatu saat kau yang dulu, jadi kenal suatu saat kau yang sekarang.
Harap faham.




Kalau kau rasa berbuat amal peroleh pahala itu sesuatu yang MAHAL,
Maka, berani-beranilah cuba mengumpul dosa.

Kerana nanti muncul sebuah duka pada akhir jalannya.


Thursday, January 19, 2012

Talian Hayat



Masa kanak-kanak dulu ustaz ajar,
 Masa sekolah rendah dulu, 
Masa tu darjah dua,
kalau awak ada masalah, awak cakap begini pada ALLAH...

Ustaz : Ya ALLAH, banyak sangat masalah aku ni, aku tak larat, aku tinggalkan kejap masalah aku ni atas sejadah ni. nanti aku ambil balik semula.

Anak murid : oh... macam tu ye ustaz...

*******************************************
Apabila sudah besar dewasa,
Baru difahami.

Kenikmatan mengadu padaMU.
DIA yang menjaga bisikan rahsia hamba-hamba.



Dialog berasal dari kisah benar orang lain,
Ilmu tidak pernah usang dan tua,
Ditutur pada zaman dahulu,
Diduga pada zaman kini.

Tuesday, January 17, 2012

Kekosongan Bukan Janji

"Assalamualaikum, ada berita manis ni, der... Johor kosong der." Adik bercakap dengan abang.

"Waalaikumusalam. Dah tu...isilah Johor...tapi kan, wahai buntal, jangan yakin sangat. Sabah, Sarawak tunggu kau. Haha, ketawakan dia." Abang bagi teguran secara tidak membantu sebesar zarah pun.

"Hehe, kejam ek ayat kau." Adik terasa payah dalam hati.

"Eleh...nak nangislah tu. Pergilah Sabah, nanti boleh kurus, Haha, hmm...ni aku nak pesan, jangan bangga sangat dengan kekosongan Johor kau tu. Belum tentu kau balik Johor. Yang penting sekarang, malaslah aku nak cakap lagi, hakikat hidup, hakikat hidup..." Abang malas nak ulang ayat yang dia selalu sebut.

"Haa, faham-faham, hakikat hidup, rezeki Allah yang pegang." Adik membalas.

"Bukan tu je, ada lagi." Abang sambung dengan nada sekata.

"Apa lagi?" Adik tertanya-tanya.

"Doa." Abang jawab pendek.

"Doa...betul la, doa boleh mengubah takdir. Doakan aku juga ek. Biar kuat doa-doa keluarga kita terkumpul. Doa dari mak ayah, dari adik-adik, dan doa dari abang-abang tercinta," Adik mohon doa abang dengan cara sopan santun.

"Tercinta ek, uwekkk....doa tu kau jangan risau la, kau selalu ada dalam doa aku, kau duduk sana belajar je elok-elok. Doa je yang boleh ikat kita dengan Tuhan. Allah takkan lepaskan kita dalam sedih hati." Abang membebel penuh hikmah.

"Harapan itu namanya doa. Aku ingat sampai bila-bila." Adik bersemangat kembali.

"Allah tahu hati kau. Minta pada DIA elok-elok. Sepenuh hati itu penting. Jangan main-main depan DIA. hati penuh tau masa inta. Jangan harapan je lebih, kuat kena ada sekali."  Abang menambah ayat yang membuatkan adik keliru-keliru.

"Kuat?" Adik memang cepat kabur. Sengal.

"Kuat tu maksudnya, kalau kau sudah puas berdoa, tiba-tiba Allah tetap bagi Sabah atau Sarawak. Maka, kau kena kuat untuk hadapi semuanya. Itu maknanya Allah nak duga kau. Doa tertangguh untuk yang lebih baik. Janganlah tak puas hati pula bila tuntutan tidak tertunai. Tapi, janganlah risau, DIA maha penyayang." Abang jawab secara keabangan.

"Janji yakin. Hati yang penuh. " Adik tambah sikit.

"Dah penuh kan? Minta la, doa jodoh sekali. Kau ni lambat la. Hakikat hidup ni." Abang masih dengan trademark lama.

"Hah?...malulah. Nak minta pe? takde apa-apa pun pasal tu." Adik terkesima.

"Cakaplah, Ya ALLAH...kurniakan aku suami yang soleh boleh membimbing aku, memahami, terima diriku dan keluargaku seadanya, dan tidak ketinggalan sentiasa comel di mataku dengan cahaya imannya.  Rupa tak payah minta pun takpe, kau bukan ada rupa pun. hahaha... " Abang cari pasal.

"Aku sedar diri aku siapa. Kau jangan risau." Adik faham gurauan abangnya yang sudah terbiasa.

"Hari tu kan, ada lagi sekali, orang cakap aku baru lepas PMR. Comelnya saya. Gembira sangat hati ni dengar... kau masa darjah 6 orang cakap macam dah kahwin, matangnya muka adik aku. " Abang memang perasan.

"Ok...Assalamualaikum. Nyah! kau dari sini." Adik nak pergi.

"Hahahaha...waalaikumusalam. Jaga diri. " Abang pergi kerana faham.



Setiap apa-apa kita buat,
Untuk keluarga,
Kita risau pasal mereka,
Sampai mati jaga adab depan nyata,
Biar kita tinggal tulang sekerat,
Mata berat,
Titik peluh itu bukan ganti,
Tapi kasih sayang jadi bukti,
Ada sebab ilusi berhenti,
Realiti itu kekunci.

"Johor, simpan namaku untuk bumimu."

Saturday, January 14, 2012

Memujuk Diri

Ramai yang datang sini minta jadi pendengar,
Bila sudah ramai, banyak jugalah rahsia yang telah aku pegang. Amanah.
Aku dengar saja,
Mesti diwajibkan lidah ini untuk membalas kerisauan hati mereka,
Sudah terbiasa, komunikasi dua hala.
Aku balas ikut selera,
Janji aku rasa kata-kata itu masih dalam wahyu dan akal.

Satu malam,
Aku betul-betul tiada idea,
Kering untuk membalas,
Aku cuma kata.

"Boleh kakak cuma jadi pendengar saja. Kakak takde ilham nak cakap apa-apa." Aku berkata dalam nada perlahan.

"Boleh, orang cuma nak ada orang lain yang mendengar saja." Adik rasa puas.

"Sekurang-kurangnya lega. Kak cuma nak pesan, yang sudah tu sudah, sudah terjebak nak buat macam mana? sekarang perjalanan panjang mula dengan langkah pertama. mulakanlah langkah pada DIA. Akak pun tengah terkapai-kapai nak mula. Kira ok apa, dia minta putus, boleh terus bercinta dengan ALLAH." Aku cakap sambil pandang mata dia, macam pandang kamera. Cukup tajam pada aku.

"Adik tahu... tak payah luah masa dulu-dulu, pendam saja." Adik berkata.

"Kakak tak tahu mana yang betul. Pendam ke luah ke? pendam lagi bagus kot. Tapi, urusan cinta ni biar ALLAH uruskan, kita diam-diam saja. Jangan dengar lagu-lagu sedih ni lagi. Ini semua lagu boleh buat orang bunuh diri. Dengar zikir, itu terapi namanya." Aku cakap saja yang terlintas dalam akal dirasakan betul.

"Bunuh diri, ada-ada je kak ni,hehe...akak, adik nak dia je boleh tak...dah sayang sangat ni."

"Kawal baik-baik. Jangan ikutkan sangat. Kakak nak cakap lebih pun, bukan kakak yang bagi hidayah. Bukan kakak yang pegang hati adik dengan hati budak laki tu. Kakak cakap lebih pun, kakak tak tahu apa jadi dengan takdir masa depan. Minta tenang dari DIA. Minta DIA yang jaga. Kakak tak tipu. Dalam sujud adik yang lama tu, adik nampak apa dalam hati?" Dalam hati, pergghhh. Meremang bulu roma aku. Takut ALLAH murka.

"Entah...kadang-kadang. adik khayal...adik penat dengan perasaan cinta ni." Adik berkata-kata dalam keadaan hati yang lesu nampaknya.

"Cuba adik jangan pandang dia. Bukan setakat jangan pandang pakai mata, tapi pakai hati sekali." Aku penat berlawan dengan perasaan dia.

"Adik, tak mampu." Adik tertunduk pilu.

"Sebab itu jangan jatuh. Jatuh ni sakit dik." Aku pun tidak tahu-menahu mengapa ini jadi kesimpulan akhir  bagi perbualan kami.


~~Cerita tidak akan bersambung kerana, 'adik' tersebut sedang masih dalam proses~~





Terlintas dalam hari sanubari aku bahawa memujuk 1000 orang lebih mudah, daripada memujuk diri sendiri...
Bagilah berapa ramai pun.

Orang boleh berhenti menangis kalau kita bagi tisu, kita bagi bahu.
Orang boleh kenyang kalau kita berkongsi makanan,
Orang boleh jadi baik kalau kita bagi nasihat,
Orang boleh jadi memaafkan kalau kita pandai nak minta maaf,
Orang berhenti marah kalau kita pandai mengalah dan berlebih kurang,
Orang boleh berhenti merajuk kalau kita sudi memujuk,
Orang boleh jadi bahagia kalau kita hiburkan hati dia yang sedih,
Orang boleh tersenyum kalau kita buat lawak.

Tapi, apabila ingin memujuk diri sendiri, diri sendiri boleh jadi gagal.
Entahlah, aku tak tahu macam mana?
Yang aku tahu, serah pada Allah. Allah saja boleh pujuk hati aku.




Aku memang tidak sepandai mereka hendak berbagi-bagi nasihat,
Lagi-lagi bab cintan cintun,
Cari kaunselor lain ek,
Aku cuma pesan buat diri dan yang lain,
Kawal hati diri baik-baik,
Allah tahu usaha kau,
Doa boleh ubah rasa-rasa jiwa dan takdir.

"Seram saya dibuatnya."

Wednesday, January 11, 2012

Dalam Bahaya Puja-Puja

Ada pecah kaca,
Kamu ambil serpihnya,
Ukir pada batu-batu dinding,
Biar bergesel kerikil-kerikil.

Pesan itu kamu ukir pada dinding dunia,
Supaya kelak,
Paling tidak,
Ada yang bakal mati melihat,
Dan dia tersenyum menanti Tuhan.

Masih banyak yang bakal tidur itu,
Mengimpikan selain dari takut dan redha.

Banyak juga yang sungguh lebih mahu mati,
Tanpa buat apa-apa santapan,
Meriah sejagat jaga,
Diseret beban noda,
Seyakinnya gembira mahu bertemu Tuhan,
Diharap Tuhan juga gembira bertemu dengannya.




Dan Tuhan itu Satu bukan?
Maka, kenapa masih banyak yang jalannya bagai-bagaikan.


Monday, January 9, 2012

Sudah Tayang 901

Kali ini, aku ingin menyatakan bahawa. Minta tolonglah sangat-sangat, sangat eh, kepada rakan-rakan Ameno agar dapat menerima faham DSAI bebas, tidak bersalah, tiada unsur liwat paksa atau suka sama suka. Perbuatan liwat itu tidak wujud, jangan lagi menfitnah. Janganlah, yang sudah tu sudahlah eh.

Dan wayang yang aku nampak juga ialah,
Abang Jib seakan gagal mengekalkan cintanya kepada Kak Mah,
Mungkin akan datang tiada lagi mencurahkan berlian, emas dan wang ringgit.

Dengan itu, Abang Jib terasa goyang di takhta bersemayamnya.
Abang Jib mungkin tak mampu buat apa-apa,
Dia cuma membiarkan keputusan mahkamah begitu saja, pasrah ye, ini taktiknya...
PM Pergi berjalan-jalan, dia dah sediakan gerigi besi, kasi anjing makan cukup-cukup supaya dapat jaga jalanraya. Tup...tup...aiyoo...tak kena tangkap maa itu Anwar, itu olang tak takde salah maa...Macam mana wa punya jentela ah, tak buat kelije punnn...???

Supaya dia terlihat suci di depan mata rakyat untuk PRU yang bakal menghangatkan lagi.
Abang Jib biar mahkamah 'membersihkan' DSAI.
Maka, Abang Jib pun tak tahu nak buat apa bila DSAI selamat dan bersih, MR.CLEAN.

Abang Jib cuma berharap dia bolehlah menang PRU nanti. sebab dia bercadang..." Kira ok pe, aku dah bebaskan Anwar, nanti mesti orang kata aku bagus. bebaskan orang tak bersalah, naiklah undian Be End, wakakaka...." Abang Jib berimaginasi seorang diri.

Tapi, tak boleh nak cakap juga, ini permainan politik Ameno, budak tadika pun boleh baca...haha (aku tunggu je, sebab itu aku senyum memanjang masa kuliah PT tadi, sebab ada rasa di hati bahawa orang yang dizalimi ini akan menang)

Yang dari seawalnya, aku telah fikir sendiri, DSAI ini tak perlulah didakwa masa liwat 1(zaman Mamak Bendahara) dan liwat 2(Abang Jib), tak perlu sebab memang terang tang tang, sah-sah tak bersalah.

Abang Jib tak cukup kuku besi, Abang Jib cuma kaki perempuan je. Apa? Yela, Abang Jib Cuba tengok zaman Mamak Bendahara boleh je beliau berjaya, sebab nama pun Mamak Bendahara, dia memang kaki putar belit, dah terduduk atas kerusi pun memutar belit. Zaman Abang Jib, janganlah, sebab adik tengok Abang Jib ni macam tak pandai main serang hendap je (kecik-kecik dulu tak reti main senapang kayu ke? adik selalu main benda tu.) Kecik-kecik lagi abang Jib dah main perempuan ek??? ohh3 hoho.... Abang Jib cuma pandai pegang keris je, lepas tu ajar orang bawah meludah merata-rata, pengotor tau cam gitu, tak suka kita tengok. Habis Adam Adli. Walaupun tak kena muka dia.

Hakim ada bran...
Macam ni barulah puas hati kalau budak tingkatan 6 belajar Pengajian Am, (tak macam aku dulu, panas hati je bila baca buku Pengajian Am, sebab silibus tidak sama dengan kejadian depan mata.)
Yang penting ini memang keberanian sistem Kehakiman.
Barulah ada standard rukun negara yang aku lafaz setiap pagi dekat perhimpunan maktab...
Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang.

Gini sahajalah ye, Abang Jib, dan Epol Sodom...
ini tulisan ALLAH, Dia yang tulis. Dia yang tetapkan.
Kau orang cuma hamba, DSAI pun hamba...aku pun. (tidak dilupakan Kak Mah pun hamba)

Aku suka jawapan DSAI, bila wartawan tanya dan Sinar TV.
"DSAI apakah kesudahannya?" wartawan tanya dengan nada serius di akhir wawancara.
"Kesudahannya matilah, sudahnya mati, masuk kubuq." DSAI jawab, tersentuh hati aku.



Kenangan Penjenayah Sekolah :
Tak sia-sia kena tangkap masa kat sekolah dulu sebab asyik berpolitik.
Pada mata cikgu kau penjenayah sebab ketagih reformasi.
Orang masuk bilik kaunseling tanya kerjaya, 
Kau pulak lain halnya.
Kau suka. Tidak Kisah .

Sunday, January 8, 2012

Belum Tayang 901

Ada pun yang menanggung di pundak rasa, yang memberat itu cuma rasa. Kejapan berlalu mengiringi masa perubahan saat roh masih berlegar dalam jasadnya. Hanya serasanya rasa ini punya berjuta-juta perisa. Apabila berhadap tunduk, terpaksa redah cuma yang ada seksa terdesak ingin dilenyapkan biar lepas pada angin laut malam. Biar sekejap cuma, tapi pada siapa-siapa tiada. Jika diberikan pada yang merasa itu benar-benar merasa cuma inilah.

Luka lara yang ada dalam dada singkap-singkap ada hujungnya. Intai cerita lama memang yang ada cuma luka lara duka. Seakan menolak nikmat jika berfikir luka lara tiada sudahnya. Yang merasa dan melihat mahu luka lara ini menjadi ilham bait hari depan, pada kata keliling kawasan hidup punya banyak makna kerana luka lara inilah.

Dipinta bantu, dihulur sambut. Cuma kadang huluran itu tidak pernah akan disambut. Bukan berhenti dari pinta-pinta, cuma diizin Dia jalan begitu rupa. Pinta-pinta pada Dia tidak memusnahkan harap selaut segunung. Yang jadi dewasa manusia inilah, cuba rasa mengecap nikmat sebentar cuma atas muka bumiNya jika selagi daya. Maka, sampingan itu dirasa juga luka lara dan menjadi dewasa.

Moga dibuka pintu rasa yang melambung huru-haranya hanya buat yang berhak. Satu dalam ribu itu cuma satu. Dan ribu itu, ribu-ribu yang harus diterokai untuk jumpa yang satu itu.

Cuma masih mahu satu itu buat persinggahan ini berlama-lama.

Pernah kau tahu tentang hadis ini, ini pesan rasul, orang yang Allah kasih, Kalau kau tak mengerti, lambat-laun akan mengerti. Daripada Abdullah bin Abbas ra, Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud, : "Takutilah doa orang yang dizalimi, sesungguhnya tiada hijab di antaranya dengan ALLAH swt." (Riwayat al-Bukhari)


Ketagihan ini buat aku jadi sedih,
Boleh jadi berlaku sekali lagi menanggalkan dan meninggalkan.
Kerana bagiku, ikhlas itu sangat halus dari mata jarum. 

Saturday, January 7, 2012

Tiada Berita

Dia tidak tahu hendak dibuat apa tepung pulut yang tinggal sedikit berbaki di dalam tong putih itu, daripada dibiar baik dibuat makanan, bibirnya berbisik. Dia potong halus gula melaka. Dia bancuh tepung pulut itu, diletak sedikit tepung gandum biar pejal tidak melekat-lekat pada tekak semasa dimakan nanti. Dia uli tepung sampai sesuai padunya.  Dia membulatkan tepung itu kecil-kecil setelah diisi dengan gula melaka potong di dalamnya. Air panas dibiar mendidih di atas dapur, daun pandan dicampak ke dalam periuk itu mewangikan aroma Buah Melaka semasa direbus. Kelapa parut sudah bergaul garam untuk lidah rasa lemak-lemak. Buah Melaka yang siap direbus tadi, digolekkan atas kelapa parut itu. Ayah makan saja, tidak kisah siapa air tangannya, sama ada emak atau anak perempuannya. Petang cuma itu menunya. Buat manis mulut orang di dalam rumah. Dapur dibiar sunyi. Iza mencari ayahnya di meja luar rumah.

"Ayah, kadang-kadang tiada berita itu ialah berita yang baik, kan?" Iza berkata sambil menghulurkan sepinggan Buah Melaka pada ayahnya.

Hanya Iza dan ayahnya sama-sama merasa angin menyapu pipi. Damai sungguh halaman ini. Rumah ini benar-benar cuma ada pokok sekelilingnya. Biar orang bilang hutan, janji ini syurga kami. Iza pandang pokok pisang yang sudah mula masak. Pokok petai pula lambat lagi agaknya hendak berhasil. Pokok rambutan sudah mati musimnya. Tapi masih ada cintanya, pokok itu bukti cinta ayah dan emak semasa baru berkahwin.

"Kenapa petang ni lain macam je?" Ayahnya mula pelik dengan ayat yang diutarakan Iza secara tiba-tiba. Ayahnya membetulkan duduknya.

"Ayah perasan tak? sejak kecil ayah terpisah jauh, kerja jauh, kita hidup baik-baik saja walaupun jauh." Iza tak pandai meluahkan kata-kata yang bersesuaian.

"Maksudnya, makin jauh makin bagus?" Ayahnya terus bertanya.

"Bukan, hmm...ye..." Keliru mahu menjawab.

"Haha, tak habis-habis keliru. Bilalah nak pandai buat ayat keputusan yang muktamad ni." Gaya seorang ayah menegur anaknya. Biar melangkah dewasa tetap juga patut ditegur. 

"Hee...hmm...macam gini, bila ayah duduk jauh dari kita orang, kita orang semua jadi pandai berdikari dengan emak. Tiada khabar berita pun masih lagi boleh hidup. Macam gitulah." Iza menjawab.

"Ayah tahu anak-anak semua selamat. Ada ALLAH dalam hati. Kita boleh hidup aman walaupun terpisah." Ayah jawab bersahaja. Ayah membetulkan hujung tudung anaknya sesudah dihempas angin yang agak kuat.

"Hakikatnya kita memang akan terpisah ayah. Memang." Iza cuma menunduk. Dia tahu ayahnya tahu bicaranya.

"Ye, kita hidup untuk terpisah dari nikmat. Iza merupakan salah satu nikmat dalam hidup ayah. Kehilangan boleh berlaku bila-bila masa." Ayahnya redha, ini hakikat.

"Bila-bila masa." Iza diam selepas halus keluar bahasa itu.

"Iza tahu, ayah cuma guna hati, untuk tahu hati anak juga tahu hati ayah." Ayah membalas.

"Subhanallah, kuatnya perasaan tu. Ayah tak rasa kecil hati kalau kita kadang-kadang terlalu sibuk sampai lupa mesej dan telefon ayah?" Iza bertanya.

"Ayah tak nak memaksa kasih sayang anak, sebab itu macam Iza cakap tadi, tiada berita ialah berita yang baik. Cukuplah ayah khabarkan berita itu dalam doa." Ayah menutup perbualan.

"Terima kasih ayah atas khabar berita itu." Iza menyahut lembut. Dia nampak ayahnya memendam tabah dalam derita, pada kedut-kedut wajah dia seorang lelaki yang selalu gembira, hendak marah-marah, jarang sekali. Segala kepayahan ayah buang di luar pintu rumah, tidak sekali-kali dibawa masuk tunjuk depan anak-anak. Ayahnya lelaki yang paling dihormati biar dia tidak sehebat ayah orang lain.

"Sejak dari dulu, ayah tiada bekal wang untuk Iza belajar, tak macam anak orang lain merasa senang. Maafkan ayah, nak. Jangan risau, lepas ayah sihat dari sakit ni, ayah bina kekuatan untuk kerja balik semula, semangat emak seratus peratus dalam diri ayah. Semangat anak-anak berganda-ganda dalam diri ayah." Ayahnya mahu menghentikan perbualan. Ayah Iza telah memperempuankan mata lelakinya.

"Bagi saja duit itu untuk keperluan adik-adik belajar, Iza tak perlu dirisaukan, Iza dah ada elaun. Ayah, kita menangis bukan untuk semalam, kita tersenyum juga bukan untuk hari ini, kita sesudahnya hanya kenal mati. Ayah berjuang sampai hujung nyawa, Iza faham. Ayah jangan penat-penat kerja ye. Iza risau." Iza  memadamkan perbualan. 

Cuma tinggal hanya dua tangan bergenggam erat di atas meja kayu. Tanda kasih dan kekuatan.

*******************************

Dalam situasi lain yang kejauhan,

"Allahuakbar...Allahuakbar..." Azan berkumandang di masjid. 

Iza menyarung telekung, dengan segera menapak ke surau yang berada dalam asrama perempuan. Memudahkan dia menghilangkan kerunsingan. Dalam hati, "cepat-cepat jalan, sempat untuk berjemaah ni." Selesai itu, bina kumpulan kecil perbincangan buat peringatan. Meneruskan sunnah Rasul. Berkongsi sedikit ilmu yang ada. Ini sungguh menenangkan. Damai. Semacam lain, rasa sejuknya hati.

Benar, tiada berita itu ialah berita yang baik.
Ye, tiada khabar itu ialah khabar yang baik.
Kerana khabar dan berita itu telah menjadi doa.
Kami selamat walaupun masing-masing berjauhan.
Kerana khabar itu dihubungkan oleh Tuhan Maha Menjaga.

Kita perlu merasa jauh untuk mengenal dekat. 

Thursday, January 5, 2012

Imaginasi Menguasai Hidup

SEKAPUR SIRIH

Imaginasi pada aku ialah berangan...ye berangan. Berangan tak habis-habis. Pelabuhan untuk aku berangan yang terunggul sekali adalah dekat Telok Kerang sampai Rambah. Ini kampung aku, ada laut untuk senja dan malam untuk aku renung redup. Bila aku benar-benar ingin keseorangan dan kedamaian, aku akan cari laut untuk dipandang dalam 10 hingga 20 minit. Ciptaan Allah benar-benar ada kelebihan. Memang cantik hasil Ilahi. Sebab itu aku kurang senang belajar hidup di Kuala Lumpur, tiada laut tuan-tuan dan puan-puan ye...tiada.

Imaginasi boleh menipu ruang lingkup hakiki manusia. Tapi, ada satu imaginasi yang membuatkan matlamat jadi indah untuk menuju. Contohnya, kita diberi bayangan syurga itu bagaimana, bukan? Itulah imaginasi hakikat yang betul-betul indah boleh memangkin amal dan tingkah kepada lebih baik.

Sebagai seorang manusia, kita suka berimaginasi yang seronok-seronok. Mengikut arus remaja yang aku dah lalui, kawan-kawan nak pakwe 'sweet'. Aku tak fikir apa-apa, benda couple ini benar-benar mengelirukan aku. Aku tidak menerima kekeliruan. Adik aku cakap, bercinta itu buang karen, cinta dekat sekolah itu cinta monyet. Bagi sesiapa yang bercinta di sekolah itu, maka, disahkan bahawa beliau seekor monyet bukan manusia. Inilah yang dipanggil belajar dari kanak-kanak.

Mengikut arus kedewasaan yang aku alami bersama rakan-rakan, sekarang nilah. Umur tahap-tahap nak kahwin, masing-masing berangan nak suami memahami, terima seadanya dan macam-macam. Hakikatnya, perkahwinan bukan suatu yang mudah. Lihat saja kisah hidup cinta emak dan ayah kita, bukan mudah bukan, banyak ujian.

Atas ini mukadimah sahaja, bawah ini baru isinya :

Imaginasi ini kebiasaannya melibatkan angan-angan kesempurnaan yang ingin diaplikasikan dalam kehidupan. Memecahkan fantasi kepada realiti. Sehinggakan seseorang berasa marah apabila berhadapan dengan seseorang yang tidak sempurna. Imaginasi manusia ini bahaya sebab menolak ketidaksempurnaan bulat-bulat tanpa melihat situasi semasa.

Bagi aku, KETIDAKSEMPURNAAN ITU IALAH KESEMPURNAAN

Ketidaksempurnaan boleh menyebabkan hati kita rasa sedih. Ini kebenaran bukan penafian. Contohnya, "aku tak mampu jadi kawan yang baik, tak macam kawan-kawan lain." Sudah sedih gitu pula.

Manusia ini takkan pernah sempurna. Baik dalam melangsaikan tanggungjawabnya (masya'Allah), mahupun berlaku adil dalam hidup dan dirinya sendiri. Manusia itu sendiri dicipta untuk bergantungan. Tanpa kita tahu atau sedar manusia itu tidak pernah penuh dan selesai tanpa perkongsian.

Tipulah kalau ada orang cakap kat kau, "Hi, Mr. Perfect".  Jangan percaya dia sedang menipu.
Kalau ada orang puji begini, kau jawablah "ALLAH lagi perfect, DIA yang bagi aku sedikit perfect ni."

Manusia perlu bergantung. Bergantung yang macam mana ye? bergantung yang berupa pergantungan sepenuhnya pada ALLAH. Kita berkongsi segala dengan ALLAH. Takkan bercerai simpulan janji hidup bersama dengan ALLAH, runtuh gulungan emosi yang melambung tinggi, malahan lebih manis, hilang jiwa insan dalam setiap nafas taqwa. Beginilah, sama-sama kita buat sehabis baik dalam pekerjaan, selebihnya pulang pada ALLAH. Kerana ALLAH Maha Mengetahui, Percaya hanya ALLAH yang sempurna.

Aku pernah bertanya pada kawan aku,"Kau muka macam ada masalah je, ceritalah kat aku."
Dia jawab biasa-biasa,"Tak payahlah cerita, Aku masih ada yang kat ATAS."

Ringkas. Dia budak kampung macam aku, dia budak biasa yang dalam hatinya bertuhankan ALLAH. Melalui ringkas jawapan dia. Aku boleh nampak terang, bahawa kesempurnaan ALLAH telah melengkapkan jiwanya. Kerana dia melengkapkan ketidaksempurnaannya pada tempat yang betul, pada ALLAH.

RANCANGAN MANUSIA PADA KEHENDAK BUKAN KEPERLUAN

Percaturan hidup manusia ini, sejujurnya aku nak cakap. Mereka melebihkan kepada kehendak berbanding keperluan. Hati mahukan Hyundai Sonata tapi dapat Myvi lagi best je. Hati mahukan rumah Hartamas, tapi dapat rumah limas. Hati mahukan gunung, tapi dapat lembah. Hati nak pakai Galaxy tab tapi, dapat Nokia E71 je, yang mewah-mewah itu bukan keperluan, lainlah kau orang kalangan peniaga, pendakwah atau komposer. Pergi sana sini perlukan benda ni. Hati nak pakai benda alah tu, tup-tup, tengok-tengok kau guna buat main Angry Bird je. Macam budak-budak.

Jadi mahu salahkan siapa kalau kau tak dapat pakai yang gah-gah ni. Nak salahkan mak ayah selalu minta duit dekat kampung untuk biaya adik belajar? Nak salahkan ALLAH, rezeki kau sempit. Nak salahkan kos hidup tinggi dekat KL. Diri sendiri sudah terima seadanya belum?

Paling baik, bersyukur dengan apa yang ada. Apa yang dikurniakan itu, ada atau tiadanya itu adalah satu kurniaan, adalah satu ujian dari ALLAH untuk melihat tingkat iman kita.

Untuk belajar erti syukur, kau perlu kenal apa itu hakikat.
Dan aku kerap bilang kata-kata ini dalam hati, kekayaan itu ujian, kemiskinan itu nikmat. Muktamad.

Monday, January 2, 2012

Monalisa

Senyuman manis terbingkai gambar,
Dalam lataran alit,
Kala malam puisi ini direka.

Dua warna kesayangan,
Dari lubuk hati,
Warna hitam meluah hajat, sedih dan ketakutan,
Warna merah menyuara sisi berahi pada batasnya.

Terlukis wajah termahal,
Ada dua dalam padu,
Hitam dan merah yang kau jalinkan,
Berkilau menyilaukan.

Tidakkah kau gelisah?
Kilauan terlalu menyerlah,
Akan menghantui hadapan,
Mengaburi jeratan hujung,
Membawa sumpah hari-hari yang datang.

Punahlah kembang kuntum terkulai layu,
Biar pada tugasmu,
Namun kau buru suara nafsu,
Kerana kau buru suara lagu,
Menceritakan kisahmu,
Mendendangkan nasib dirimu.

Wanita kau bukan santapan tatapan,
Persis Da Vinci menagih senyuman wajah Monalisa,
Buat pujaan lukisan,
Persis Da Vinci mengimej lirikan bebola mata Monalisa,
Buat pujaan lukisan.

Tulennya dalam ada wajah terpendam sembunyi,
Dan itu sesuatu yang tidak boleh siapa tahu.


Gambar Sekadar Hiasan