Hamba hingga akhirnya

My photo
Aku hanya seorang hamba ALLAH yang kerap buta pada terang cahaya,sering celik pada gelap lorong yang hujungnya mati jiwa, tapi keraguan itu hanya semalam yang caci. Ya ALLAH, relakan aku menangis kerana mendengar kebenaran, jangan biarkan aku ketawa sedangkan di dalamnya penipuan.

Sang Penulis

“Semua penulis akan mati. Hanya karyanyalah yang akan abadi. Maka tulislah sesuatu yang membahagiakan dirimu di akhirat nanti” (Ali bin Abi Thalib).

Saturday, November 5, 2011

Tamu di Masjid Telok Kerang (2)

Tidak disedari masa berlalu. Perbincangan yang indah ini sudah temu waktu rehatnya. Azan Asar berkumandang. Bertemu Tuhan dengan yakin dan ikhlas. Hadir niat menyusul tiap perkataan dan perbuatan. Sedang bercakap dengan-Mu. Berakhir gerak dengan tasyahud dan kata dengan salam. Doa dan Muhasabah tidak pernah tertinggal. Sesudah solat, kami bersama tenggelam membaca Ma'thurat.

"Bila kau kenal Ma'thurat?" Senyumnya mengembang dalam soalan itu.

"Tingkatan 4. Masa tu, aku tanya dekat cikgu Matematik aku...cikgu, apa benda tu, zikir harian ke?" Aku tidak pandai bercerita. Cukup sahaja mengkhabarkan kisah asalnya.

"Kau kenal Ma'thurat tu, sebab kau memang tertarik nak kenal. Baguslah." Dia pula bercerita tentang perkenalannya pada Ma'thurat. Dia kenal semasa tahun 4, kerana ditunjukkan oleh ayahnya akan Ma'thurat itu. Tapi, lama-kelamaan barulah dia memang mahu mengenali isi Ma'thurat yang sangat indah bagaikan penawar.

"Macam tu juga kita kenal ALLAH kan? memang kita mahu berkenalan. Bukan kenal ALLAH kerana untuk jawab kertas soalan Pendidikan Islam dekat sekolah." Secara tiba-tiba, aku berbicara seperti seorang yang mahir agama.

"Itu yang dinamakan kehambaan pada pencipta. Kita berfikir berdasarkan hati dan akal yang menginginkan ALLAH." Jawapannya seakan kamus kehidupan yang melunaskan soalanku.

"Pesona bahasamu melilit aku." Aku menjawab ringkas dan dia hanya tersenyum. Benar dia tidak cantik seperti lain, tapi sungguh menenangkan. Begitu detik hatiku.

"Berbisa, bila mana kita sebagai hamba terseksa kerana tiada Tuhannya." Semakin berbunga-bunga bahasa yang diucapkannya dan semakin mekarlah bunga harapan keampunan yang aku harapkan dari ALLAH.

"Meratib rindu dendam dan kecintaan pada dunia ibarat memboloskan diri sendiri ke dalam api jalang yang dijanjikan ALLAH." Aku membalas kembali kalimah yang meluncur pantas dari lembut lidahnya.

"Minta maghfirahNya, nanti kau mesti dapat ikhlas, syukur dan taqwa sebagai jawapan." Dia jawab sambil memegang tanganku. Hangat terasa. Halus perasaan yang datang. Seakan-akan ALLAH menghadiahkan insan ini sebagai tanda kemenangan yang hampir aku peluk.

"Situasi ini terlalu janggal dan jauh untuk aku alami." Aku mengeluh kerana terlalu usang dalam iman dan amal.

"Kenapa? kau tak suka ke?" Dia bertanya penuh sangsi.

"Bukan gitu. Maksud aku, aku tak pernah rasa. Sebab, kehidupan aku yang boleh dikatakan macam sial." Aku kembali mengungkap masa lalu yang arrgghhh.....!

"Sudahlah...yang sudah tu sudah, ALLAH tak pandang lagi masa lalu kau. Sebab itu wujud istilah taubat setelah tahu buat." Dia mengembalikan semangat aku.

"Tahu buat dosa kan? hihi...pandai la kau ni, ayat ada 'style'." Aku menokok tambah. Dia hanya mengangguk mendengar sambungan ayat daripada aku. Dia mungkin tidak mahu aku terlalu duka dengan dosa setelah dipohon cahaya.

Kami berdiam diri seketika. Entah mengapa.

"Maaf, aku ada soalan nak tanya. Kau pernah buat dosa? Kau pernah tak rasa menyesal dengan benda yang kau buat dulu?" Soalan yang macam apa benda entah. Tak patut aku tanya agaknya.

"Apa benda soalan ni...soalan yang kau boleh jawab sendiri. Mestilah aku pernah buat. kenapa kau nak tahu?" Dia menduga aku. Rasa-rasanya.

"Saja. jawablah soalan aku." Aku mengoncang tangannya.

"Tak. Aku tak pernah menyesal." Dia kata.

"Hah? takkan kau pura-pura depan ALLAH." Aku terkejut. Meloncat secara spontan ayat dahsyat itu.

"Buat apa nak menyesal. Kalau dah benda tu yang matangkan aku. Kalau dah benda tu yang mengubah aku. Bila aku buat dosa, baru aku tahu langit ALLAH tu tinggi ke rendah. Apabila kesilapan ini aku buat, jadi pengajaran yang amat pekat. Minta simpanglah dosa tu berulang." Caranya menjelaskan cukup kemas. Aku jadi tenteram.

"Maaf, aku dah kasar bahasa." Aku rasa bersalah.

"Mana ada kasar. Bahasa kau tu peringatan buat aku dan juga kau. 'Takkan kita pura-pura depan ALLAH'. Terima kasih ek." Sungguh dalam perasaannya.

"Sakit juga berubah ni. Lagi-lagi bila dosa datang terimbas kembali secara mengejut. Pehhh...Allahuakbar. Rasa macam. Macam-macamlah. Macam...Allah. Macam tak layak ada kat dunia ni." Aku terus terang.

"Habis tu, kau dah sedia nak mati? kau menyesal berubah? penat ke bila berubah ni?" Dia pulang paku buah keras pada aku dengan lebih agam.

"Tak. Rasa tenang. Cuma cepat serabut sikit." Aku terus terang sekali lagi.

"Serahkan semua pada ALLAH. Kau pernah bercinta? Berapa lama?" Soalan maut dari dia.

"Pernah. Empat tahun. Kekasih aku dah meninggal. Kenapa tanya?" Aku cukup tergamam.

"Lama tu. Cukup setia. Kau mesti lebih tahu apa maksud setia berbanding aku. Sekarang, aku sedang belajar setia dengan ALLAH. Jadi, sekarang, kau cuba untuk setia dengan ALLAH sampai mati. Bukan cuba, tapi wajib." Dalam nada lembut dia mengulas dengan penuh semangat.

"Dan lagi satu. Jangan sesekali kau tipu ALLAH, bila kau dah datang pada DIA. Kau dah bertaubat jangan tinggalkan DIA. Jangan berjanji palsu." Lebih jelas pengikatan semantiknya.

"Setia dan jangan menipu." Aku mengangguk dan tertunduk. Aku kembali bersandar pada tiang masjid. Aku rasa macam nak gila. Menepuk-nepuk jantungku. Bersalah yang teramat sangat pada-Mu. Istighfar itu macam tak mencukupi. Aku rasa kehilangan yang sempurna. Sempurna dengan jawapan cinta-Nya.

Berlalu beberapa minit. Aku terasa ada sentuhan hangat. Dia memegang bahu aku sambil mendekat. Memelukku seeratnya, diulas lembut belikatku. Dia melepaskan pelukannya perlahan-lahan. Aku melihat bibirnya tersenyum dan matanya menangis seperti mataku. Empangan air itu pecah mengalir di pipinya, dan berderai menitik-nitik pada permaidani masjid.

"Selamat kembali." Dia berkata dengan lembutnya pada telingaku.

"Aku..." Aku hanya mampu menangis teresak-esak macam anak yang kematian ibu.

"Jangan cakap apa-apa. Ambil ini, selamat berindu-rinduan dengan ALLAH, selepas ini jangan mengadu pada orang lain, mengadu pada DIA." Dia menghulurkan Quran tafsir yang dipunyainya sebelum ini. Barang itu pun sudah bertukar tangan. Aku masih ingat semasa dalam perbualan, dia menyatakan Quran tafsir itulah yang paling dia sayang.

"Kau?" Aku harap dia faham dengan soalan itu.

"Aku ada lagi satu dekat rumah. Aku pergi dulu ye. Ada jodoh kita jumpa lagi. Jaga ALLAH, ALLAH akan jaga kau. Assalamualaikum." Dia berlalu sambil mengesat air mata. Macam biasa, dia tetap tersenyum dalam langkah yang sederhana diatur menuju keluar masjid.

"Waalaikumusalam." Aku menjawab perlahan. Semoga hati sejernih air mata. Itu harapan. Tinggalkan segala demi ALLAH. Korbankan segala...Aku mahu hidup kerana ALLAH.

P/s : Alhamdulillah, tamat kisah.


Thursday, November 3, 2011

Tamu di Masjid Telok Kerang (1)


Musim hujan yang mula merancak, membimbing kegusaran hati mendarat tepat pada arah yang terpandu. Sejuk dan sayu. Rintiknya yang amat manja dan nakal, kadang-kadang lebat, kadang-kadang titis perlahan-lahan. Cubaan untuk memutarkan kembali masa seakan gagal total. Semalam tidak bisa didakap semula. Apabila sudah bertandang keampunan dari Rabbul Izzati, tidak mengapa. Oleh sebab masa hanyalah teman kepada perjalanan yang panjang, bermula dari satu langkah.

Di tiang masjid Telok Kerang, bersandar sebatang tubuh manusia hina dengan akal sependek mata kail yang gigih melawan kedalaman lautan samudera. Lalu, kalah dalam perang tempur armada laut. Kapal hati sudah menjadi sarang jenayah maksiat, lantas karam pada dasarnya. Diri mula rebah dan lemah. 

Seluruh tubuh menggigil bukan kerana kesejukan, tetapi ketakutan yang mencengkam saraf kognitif oleh kerana momentum dari kenangan dosa lalu. Dosa itu berirama halus "takkan aku biarkan kau pergi walaupun jasad ini sudah terkubur mati".  Ah! tekad dan motivasi dikumpul semahunya untuk melontar jauh, hati yang kecamuknya terlalu, seakan orang yang tidak bertuhan.

Tidak lagi mahu berdiam diri dalam dosa. Tidak akan hanya menunggu sekuntum kemboja gugur di hujung ranting. Mengikut janjiNYA, pada tanah kembalinya. Tubuh yang bersandar itu separa badannya tertunduk longlai. Lemah lesu jiwanya. Ratapannya ibarat daerah tanpa pagar.

"Kadang-kadang kita jauh, kadang-kadang kita dekat. Assalamualaikum." Terdengar halus bisikan suara dari arah belakang. Selepas sahaja sederap kaki lembut menapak pada lantai rumah Allah.

"Ehem...Waalaikumusalam." Aku berdehem untuk menyembunyikan duka dan lekas-lekas membuat muka ceria. Tersentak juga hati yang sedang mengelamun ini. Terkejut kerana didatangi oleh insan lain.

"Falsafah manusia, puisi manusia, teori manusia yang aku jumpa, tiada yang mampu menyamai kata DIA. Kau ni siapa? macam bukan budak sini, sebab aku tak pernah nampak sebelum ni." Diam-diam ada insan telah mendekati aku. benar-benar bersebelahan kedudukannya. Ruang masjid seakan memahami kami. Sunyi dan menenangkan.

"Aku bukan budak sini, cuma berhenti solat." Dia pandang aku. Bukan pandang. Tapi merenung.

"Oh, apa khabar?" setelah beberapa minit berlalu, barulah dia bertanya khabar.

"Baik, Alhamdulillah." Aku membalas.

"Bukan kau, tapi hati kau?" Dia bertanya sambil memegang bahagian badanku yang terletaknya hati. Aku memandang matanya setepat yang mungkin. Dia membalas pandanganku. Aku kalah.

"Hmm...sesak sikit, macam mendaki bukit sambil bawa beban." Aku tersenyum sikit kerana seakan terikat untuk menangis, lalu dengan pantas menundukkan kepala. Bingung dengan jawapan sendiri.

"Aku faham keadaan kau. Pernah rasa suatu ketika dulu, dan perasaan itu masih segar. Tak perlu mendaki bukit lagi, marilah...kita sudah sampai sebenarnya." Sambil mengenyit mata.

"Apa yang kau faham dari luaran aku?" Aku mulai hairan dengan dia yang membaca pemikiranku. "Macam mana dia boleh tahu?" bisik hatiku. Aku membetulkan kedudukan dan kali ini lebih berani untuk berkongsi suara hati. Jemariku bermain-main dengan benang hujung tasbih semasa menunggu bicara darinya.

"Kalimah ALLAH sudah menjadi jalan kau. Kau sedang menuju satu, sekarang ada dalam medannya. Setiap hamba pasti jumpa jalan pulang. Sekarang kau sudah pulang dan sudah sampai, maka pegang tali ALLAH ini erat-erat, ibarat kuatnya tali yang mengikat butir-butir tasbih pada tangan kau." Kata-katanya perlahan-lahan meresap ke dalam nadiku, dan terus-menerus menyejatkan darah retinaku.

"Kau benar-benar memahami. Terima kasih." Mataku tertutup menahan hiba. Indahnya ukhuwah yang tak disangka.

"Sebenarnya aku tak faham satu pun pasal diri kau, ALLAH saja yang faham, dan kau sendiri juga belum tentu faham." Dia membuka buku persoalan baru.

"Hah?" Aku angkat kening tanda keliru.

"Perancangan ALLAH tu halus dan kemas. Kita manusia cuma perlu siap sedia, termasuklah saat ALLAH panggil kau untuk bercinta denganNYA. Saat sekarang yang kau rasa. Hanya ALLAH yang penuh dalam hati kau. Jangan ikut gerak langkah macam kebanyakan orang lain." Tangannya menyelak Quran tafsir, dia tunjuk pada aku surah Al-An'am ayat 116.

Aku membisu. Dia menepuk-nepuk bahuku.

"Haa...Kan?" Barangkali dia menginginkan sebarang reaksi dari aku selepas membaca ayat ALLAH itu tadi. Cukup comel.

"Biar terasing sikit dari manusia. Janji bukan asing bagi ALLAH. Kebanyakan mereka adalah kebohongan semata." Habis aku simpulkan. Semakin faham.

"Jalan dekat dunia ni terang, kita je yang gelapkan...aku, kau dan manusia lain yang lupa. Harap-harap lupa seketika sajalah." Dia benar. Aku beristighfar mendengarnya.

"Marilah, bacakan aku kecintaan daripada Tuhan." Aku menyerahkan Quran Tafsir kembali pada tangannya.

"Baiklah. Semoga terhibur ye." Dia benar-benar memaksudkanya. Aku mengangguk dengan penuh semangat. Sudah mendapat tenaga baru. Pencerahan yang didambakan. ALLAH bimbinglah aku.

p/s : bakal bersambung...