Hamba hingga akhirnya

My photo
Aku hanya seorang hamba ALLAH yang kerap buta pada terang cahaya,sering celik pada gelap lorong yang hujungnya mati jiwa, tapi keraguan itu hanya semalam yang caci. Ya ALLAH, relakan aku menangis kerana mendengar kebenaran, jangan biarkan aku ketawa sedangkan di dalamnya penipuan.

Sang Penulis

“Semua penulis akan mati. Hanya karyanyalah yang akan abadi. Maka tulislah sesuatu yang membahagiakan dirimu di akhirat nanti” (Ali bin Abi Thalib).

Saturday, December 31, 2011

Target

Menjenguk terowong masa yang melarat lambat,
Melicinkan saraf-saraf kognitif,
Yang memang semakin tua.

Momentum memaksa mengaku lemah,
Bukan kalah.

Kita,
Tidak sama,
Kerana kejujuran membezakan ranjau.

Biar tumbuh macam pepohon,
Sedikit-sedikit,
Menyedut nafas percuma.

Setiap di sini untuk di sana,
Apa cerita tahun baru kita?
Target yang cantik,
Aku suka.



Friday, December 30, 2011

Umpan

Kita berdiri di tepi sungai, melempar umpan, harusnya pada tempat yang kosong, yang kita yakin ada mangsa bakal menyusul sambut, biar perlahan-lahan datang mencari jeratnya yang sedap.

Kenapa begitu?

Pada pandang ketahuan kita, seharusnya mangsa lebih terpedaya dengan benda yang dilihatnya. Namun, mangsa seperti sudah sebati dengan hal ini, seperti sebahagian dari kejadian biasa dalam hidup mereka. Secara terang-terangan mereka boleh lari dalam kalut takut, semasa umpan itu terjah ke dalam laut depan-depan pandang.

Begitu juga dengan bapak tua dari simpang cahaya,

Menasihat kamu, pasti  mengundang minda tafsiran jiwa bebas dengan adrenalin kasar menujah yang tidak-tidak itu dan ini. Kamu ingin lari selaku jiwa muda, sangkal bicara tua yang banyak garamnya.

“Siapa kau ingin menasihati aku? Anak sendiri sudah kucar-kacir, bukan semua benihmu jadi yang baik-baik, ada juga yang makan duit keruk.” Prasangka.

Takkan mungkin,

Membiar kamu memberi curi segala isi dunia. Meratah khayalan jadi merasa dosa. Melayan alat permainan di sini, hingga lupa babak di sana. Culas hingga merasa derita di hujung bahagia.

Maka,

Pakcik, membantu hulur kamu keping-keping susun suai gambar itu, biar kamu tempelkan sendiri bina ingatan sempadan, pasti saja impaknya lebih dari yang lain. Oleh sebab, pengalaman nasihat dari orang luar itu lebih tembus dalam sekosong-kosong jiwa.

Pesanan secebis ini, ijazah terhebat dari jalanan. Jangan kau hinanya kerana tua dari dosa-dosa lalunya, kerana dia muda pada imannya yang sekarang.

Dan terima kasih bapak tua di simpang cahaya. 
Jika halnya baik-baik, ambil pesannya seperti pesan dari ayahanda.


Ingat,
Boleh jadi anak kecil, bukan sahaja bapak tua yang menasihati.
Dan lebih menarik lagi, boleh sahaja seorang jahil yang memberi ingat tentang baik buruk.
Siapa kita? Cuma hamba yang dalam urusannya ada DIA.



Thursday, December 22, 2011

Bocah Bakal Dewasa


Kain putih masa lahir,
Moga hingga nanti,
Masih suci di akhiran.

Lenyapkan warna anasir hitam.
Membobok merubah atma.

Iman itu bukan harta,
Seolah boleh diwarisi,
Yang kau ada hanya berus warna, kanvas dan cat-cat.
Lukis sebaiknya.
Kerana bocah bakalan menjadi dewasa.

Sunday, December 18, 2011

Cermin Paradoks 2 Kali 5


"Apa nak jadi la kau ni, nama je artis, kita kena tunjuk contoh yang baik pada orang lain, yang kau perangai cam gini nape, kau nak tunjuk video dan gambo tak senonoh macam gini kat orang lain, dah takdek adab, takdek budaya, takde agama."

"Apa jadahnya mamat ni kawen dengan jantan, mak ayah dia tak bimbing agama ke? gay,anak haram."

"Setaraf dengan pelacur low-class, jalang. neraka tempat kau."

"Kalau macam gini aurat kau jaga, baik tukar agama. dosa melambaung la betina oiii...."

***********************************

Sampai macam gitu sekali komen-komen yang diberikan sebagai lambang marah pada lambakan blog gosip Malaysia. Sampai suruh tukar agama, dari kes gagal menjaga aurat, seseorang itu terus menghukum agar lebih baik tukar agama. Dahsyat ehh otak manusia. Kes gagal jaga aurat boleh kasi bimbing, kes murtad ini lebih berat. 

Susunan linguistik manusia yang amat berbahaya ini boleh menimbulkan ayat "Ye, tak ye jugak ek" dan "betul tu, aku sokong" dalam hati orang lain tatkala membaca komen-komen. Menjadi pemangkin prasangka.

Dari sudut pandang sisi yang lainnya, aku harap............

Ye, aku berharap, penaip pengutuk seperti di atas, tidak bergeselan dengan kekasihnya di panggung wayang sambil makan popcorn, tidak berbalas mesej mesra dengan penuh manja dan gurau senda, tidak berhubung di mana-mana laman sosial dengan lelaki ajnabi, tidak juga melayan hubungan sejenis, tidak keluar berendut , apatah lagi berpegangan tangan dan lebih-lebih dari itu, tidak bersuapan makanan, tidak melakukan aktiviti yang tidak bermoral, tidak berpakaian seksi membakar mata lelaki, tidak tinggal sembahyang, tidak lupa membaca quran setiap hari, tidak lupa menambah iman. Tidak apa lagi...? sudah besar, fikir sendiri, tambah sendiri.

Dan yang paling aku harap, pengutuk seperti di atas bukanlah para pejuang tauhid. Ya, bukan... kerana janganlah islamnya berciri maya pada ruangan Facebook, twitter, blogger, tumblr dengan segala perkongsian ilmu. Di ruang maya lain, dia lain. 

Kerana aku tidak sedap hati melihat laman gosip Malaysia yang meninggalkan sikap malu mereka di merata-rata tempat. Tidak kiralah mereka yang diceritakan, yang menceritakan dan juga yang menghangatkan cerita.

Puas berbakul-bakul kata-kata hina, caci, maki dan jelek mereka hamburkan dalam bentuk padu. Apalah salah jika kau mendoakan mereka itu. Busuk-busuk pun sebaris jadilah.  Lebih baik ada dari tidak, lebih baik doa dari hina. Kemaruk nak komen sangat, komenlah macam gini.

"Semua, doakan dia baik-baik."

Mengajak pada baik itu janganlah dilibat keaiban dan penghinaan. Bagus ada rasa sensitif, namun biarlah dengan cara masih manusia, soal neraka syurga itu bicara Tuhan, soal dosa pahala itu bahasa Tuhan. Hidayah mungkin dicampak, siapa tahu?

Cuba direnungkan, cara kau menghina, kau boleh jadi sama seperti insan terhina di atas, wahai pengkomen di bawah. Kerana apalah sedapnya memaki dalam bentuk kau bajet halal (gosip dan menghina, padahal...) 

Bukan aku menghadirkan isu semacam ini untuk menghina orang yang suka menghina orang.
Anggap sahaja ini sebuah tulisan dari hamba untuk hamba.

Tuesday, December 13, 2011

Ini Pasal Terima Kasih

Sudah berkurun lama tidak mengaktifkan huruf-huruf pegun diserambi ini. Mungkin orang yang membaca blog ini boleh menghidapi selsema kerana habuk yang membukit sana sini.

Jika aku tiada cerita yang membawa faedah untuk ditayangkan. 
Maka, tiadalah...itu sudah konsep dipegang.(bajetnya minah ni...)

Pada suatu hari yang tipikal, setelah kekecewaan menggunung himpit hati aku kerana Mee Rebus Haji Wahid dekat Stulang sudah tutup (pindah kot). Aku lapik kekecewaan dengan berjalan-jalan dalam pusat beli belah Jusco Bukit Indah dengan angin damai. Kadang-kadang saja mata terbakar melihat kelaku budak baru nak up budak zaman sekarang. Apa kiranya yang bakal berlaku pada budak zaman nanti, sudah zaman sekarang begini gayanya. 

Ideologi abstrak aku untuk bersangka buruk dihentikan dengan sepantas kilat. Aku lekas-lekas kirim doa lalu hati, barang sebaris pun jadilah. Siapa aku untuk menilai dosa orang lain, kenang dosa sendiri saja belum temu habisnya.

Terpampang papan tanda effu, kami (aku dan adik lelakiku yang tahan panas) pun masuk ke dalam kedai tersebut. Ye, kedai yang berkemungkinan mengurangkan keping-keping dalam dompet, jikalau berkenan akan barangannyalah. 

Aku dengan rakusnya menapak ke arah baju kemeja. Biasalah adik nak masuk belajar. Dia minta macam-macam, baju kemeja antaranya. Dia yang nak belajar, aku pula yang semangat membeli belah, dia bilang nak jenis tailored fit, berasaskan mata hati yang fokus aku cari bertungkus lumus di setiap celahan gantungan kemeja. Cari punya cari, tak jumpa. Tak kecewa pun. Kedai lain banyak. 

Sedang asyik kami bergurau senda bersama-sama sambil mencari kemeja. Gurau senda dikurangkan kerana serius mencari baju. 

Secara tiba-tiba, aku merasakan ada seorang budak comel telah menarik hujung lengan baju kurungku. Aku pun menoleh dengan wajah tamat tarikh luput. Akibat dari kepenatan mencari kemeja jenis begitu. 

Pandang punya pandang. Budak cina rupanya. Umur dalam 4 tahun. Anak cina memang comel. Putih gebu. Mata manja. Rambut lurus hitam kilat macam Jasmine. Dia kurang senang melihat muka sepuluh sen aku. Aku pun mengembang senyuman. Dia senyum kecil, comel je.  Apabila berdiri depan budak comel, kita wajar kelihatan comel untuk dia.

Perlahan-lahan budak tu menghulurkan Hello Kitty kecil ada spring ke arah aku. Apa fungsi spring tu aku tak tahu. Yang penting aku berbunga-bunga tengok aksi dia. Seluruh firasat aku mengatakan budak ini sangat comel. Subhanallah, comel sungguh ciptaan ALLAH. Sudahlah comel, berperangai comel pula. Tambahan lagi, aku memang suka Hello Kitty (pengakuan ini amat memalukan). 

Dengan penuh perasaan pelik, sangsi, musykil dan tertanya-tanya, bertubi-tubi masuk ke dalam saraf otak aku  "kenapa bagi benda alah ni kat aku ek?" 

Aku membulatkan mata secara tragik sambil kening terangkat kedua-duanya. Bulat mata bukan tanda marah. Tapi tanda tanya. Dia cuma buat muka tak faham apa-apa. Dia tetap teguh menghulurkan Hello Kitty itu pada aku. Aku tak ambil-ambil dari tadi. Angan-angan tentang tanda tanya sebentar tadi cepat dipadamkan, dan segera Hello Kitty itu aku ambil dari tangan dia.

Dia mengundur ke belakang sambil buat muka comel. Aku senyum saja, tak tahu nak buat apa. 

Dalam hati berbisik, "Kau tak reti ucap terima kasih ke? budak tu pandang kau dari tadi tau. Nak terima kasih dari kau kot. cepatlah cakap."

Dia tengok lama-lama, agak lama sambil mengundurkan langkah. Aku pun panggil dia dengan isyarat jari dan mata terkenyit sebelah. Dia mendekat perlahan-lahan. Cerdik budak ni. Dia dekat, aku pun mencangkung dan ucapkan "Terima kasih adik."

Dia tak faham aku cakap apa. Bahasa Melayu kan, dia kecil lagi, tu yang tak faham kot. Aku alih kepada bahasa Cina."Xie xie."

Dia senyum puas sambil menganggukkan kepalanya. Aku sempat cubit pipi dia. Dia melambaikan tangan dan cepat-cepat berlari-lari anak ke arah emaknya. Aku lambai balik. 

Selepas itu, aku dengan adik pun keluar dari kedai effu, masuk pula ke kedai F.O.S, aku tengok dari jauh, budak comel tu main sorong troli dengan adik dia dekat luar kedai, rupa-rupanya pada tangan dia ada BEN 10, benda sama macam aku, aku punya HELLO KITTY. (walaupun zaman Angry Bird...kami tak kesah pun)

Nota Buku Lali : Pengajaran yang aku dapat, aku perlu biasa dengan ucapan TERIMA KASIH Jangan sibuk tertanya-tanya, sangsi, musykil dan sewaktu dengannya. Ucapan ini sebagai tanda menjaga hubungan baik sesama manusia. Begitu juga, ucapan Alhamdulillah apabila terima nikmat ALLAH. 

Aku tanya adik aku, "kenapa dia bagi Hello Kitty ni kat aku ek?" 
Adik aku menjawab, "Sebab muka kau macam kucing gemuk".

Thursday, December 1, 2011

Harimu...Harimu!

(Ada kawan dalam maktab bilang aku, Split Personality)


"Eh, sengal la kau ni...asik wat lawak je."
"Haha, gila-gila la perangai, tak pernah potong stim mood orang, kasi orang happy je, suka aku ada member macam kau"
"Cam mana nak jadi macam kau ek? bahagia je, cam takde masalah."

~~memang ini ayat yang selalu diberi dengar kepadaku~~

Hakikatnya, kalau kau boleh bedah dada aku hidup-hidup, pergi toreh kulit ini dengan pisau mata tajam, kau boleh nampak betapa rapuh dan reputnya jiwa aku, hancur luluh dimakan duga-dugaan, dengan ragam hati yang sedang menahan sabar seakan-akan jerit meminta dicincang halus lagi. Aku bertahan kerana hadiahnya orang yang sabar, rela dan syukur itu cukup tinggi. Indah syurga tidak siapa mahu menolak, indah dugaan juga sama. Maaf kepada yang lain, kerana tawa dan senyum ini hanya sebahagian dari kepura-puraan dalamanku. Benar, tidak semua perkara bisa terluah. Biar aku telan dan serap, bicara dengan ALLAH itu lebih sedap.

Apa yang aku dendangkan dalam hati hanyalah...
"Kehidupan dunia tidak pernah mulus,
Selepas satu musibah,
Datang lagi musibah.
Kerana ujian diduduki untuk belajar.
Hanya tinggal sebuah pesan : Jangan bersedih!"

Nota hayat : Ada lagi yang lebih sukar...

Saturday, November 5, 2011

Tamu di Masjid Telok Kerang (2)

Tidak disedari masa berlalu. Perbincangan yang indah ini sudah temu waktu rehatnya. Azan Asar berkumandang. Bertemu Tuhan dengan yakin dan ikhlas. Hadir niat menyusul tiap perkataan dan perbuatan. Sedang bercakap dengan-Mu. Berakhir gerak dengan tasyahud dan kata dengan salam. Doa dan Muhasabah tidak pernah tertinggal. Sesudah solat, kami bersama tenggelam membaca Ma'thurat.

"Bila kau kenal Ma'thurat?" Senyumnya mengembang dalam soalan itu.

"Tingkatan 4. Masa tu, aku tanya dekat cikgu Matematik aku...cikgu, apa benda tu, zikir harian ke?" Aku tidak pandai bercerita. Cukup sahaja mengkhabarkan kisah asalnya.

"Kau kenal Ma'thurat tu, sebab kau memang tertarik nak kenal. Baguslah." Dia pula bercerita tentang perkenalannya pada Ma'thurat. Dia kenal semasa tahun 4, kerana ditunjukkan oleh ayahnya akan Ma'thurat itu. Tapi, lama-kelamaan barulah dia memang mahu mengenali isi Ma'thurat yang sangat indah bagaikan penawar.

"Macam tu juga kita kenal ALLAH kan? memang kita mahu berkenalan. Bukan kenal ALLAH kerana untuk jawab kertas soalan Pendidikan Islam dekat sekolah." Secara tiba-tiba, aku berbicara seperti seorang yang mahir agama.

"Itu yang dinamakan kehambaan pada pencipta. Kita berfikir berdasarkan hati dan akal yang menginginkan ALLAH." Jawapannya seakan kamus kehidupan yang melunaskan soalanku.

"Pesona bahasamu melilit aku." Aku menjawab ringkas dan dia hanya tersenyum. Benar dia tidak cantik seperti lain, tapi sungguh menenangkan. Begitu detik hatiku.

"Berbisa, bila mana kita sebagai hamba terseksa kerana tiada Tuhannya." Semakin berbunga-bunga bahasa yang diucapkannya dan semakin mekarlah bunga harapan keampunan yang aku harapkan dari ALLAH.

"Meratib rindu dendam dan kecintaan pada dunia ibarat memboloskan diri sendiri ke dalam api jalang yang dijanjikan ALLAH." Aku membalas kembali kalimah yang meluncur pantas dari lembut lidahnya.

"Minta maghfirahNya, nanti kau mesti dapat ikhlas, syukur dan taqwa sebagai jawapan." Dia jawab sambil memegang tanganku. Hangat terasa. Halus perasaan yang datang. Seakan-akan ALLAH menghadiahkan insan ini sebagai tanda kemenangan yang hampir aku peluk.

"Situasi ini terlalu janggal dan jauh untuk aku alami." Aku mengeluh kerana terlalu usang dalam iman dan amal.

"Kenapa? kau tak suka ke?" Dia bertanya penuh sangsi.

"Bukan gitu. Maksud aku, aku tak pernah rasa. Sebab, kehidupan aku yang boleh dikatakan macam sial." Aku kembali mengungkap masa lalu yang arrgghhh.....!

"Sudahlah...yang sudah tu sudah, ALLAH tak pandang lagi masa lalu kau. Sebab itu wujud istilah taubat setelah tahu buat." Dia mengembalikan semangat aku.

"Tahu buat dosa kan? hihi...pandai la kau ni, ayat ada 'style'." Aku menokok tambah. Dia hanya mengangguk mendengar sambungan ayat daripada aku. Dia mungkin tidak mahu aku terlalu duka dengan dosa setelah dipohon cahaya.

Kami berdiam diri seketika. Entah mengapa.

"Maaf, aku ada soalan nak tanya. Kau pernah buat dosa? Kau pernah tak rasa menyesal dengan benda yang kau buat dulu?" Soalan yang macam apa benda entah. Tak patut aku tanya agaknya.

"Apa benda soalan ni...soalan yang kau boleh jawab sendiri. Mestilah aku pernah buat. kenapa kau nak tahu?" Dia menduga aku. Rasa-rasanya.

"Saja. jawablah soalan aku." Aku mengoncang tangannya.

"Tak. Aku tak pernah menyesal." Dia kata.

"Hah? takkan kau pura-pura depan ALLAH." Aku terkejut. Meloncat secara spontan ayat dahsyat itu.

"Buat apa nak menyesal. Kalau dah benda tu yang matangkan aku. Kalau dah benda tu yang mengubah aku. Bila aku buat dosa, baru aku tahu langit ALLAH tu tinggi ke rendah. Apabila kesilapan ini aku buat, jadi pengajaran yang amat pekat. Minta simpanglah dosa tu berulang." Caranya menjelaskan cukup kemas. Aku jadi tenteram.

"Maaf, aku dah kasar bahasa." Aku rasa bersalah.

"Mana ada kasar. Bahasa kau tu peringatan buat aku dan juga kau. 'Takkan kita pura-pura depan ALLAH'. Terima kasih ek." Sungguh dalam perasaannya.

"Sakit juga berubah ni. Lagi-lagi bila dosa datang terimbas kembali secara mengejut. Pehhh...Allahuakbar. Rasa macam. Macam-macamlah. Macam...Allah. Macam tak layak ada kat dunia ni." Aku terus terang.

"Habis tu, kau dah sedia nak mati? kau menyesal berubah? penat ke bila berubah ni?" Dia pulang paku buah keras pada aku dengan lebih agam.

"Tak. Rasa tenang. Cuma cepat serabut sikit." Aku terus terang sekali lagi.

"Serahkan semua pada ALLAH. Kau pernah bercinta? Berapa lama?" Soalan maut dari dia.

"Pernah. Empat tahun. Kekasih aku dah meninggal. Kenapa tanya?" Aku cukup tergamam.

"Lama tu. Cukup setia. Kau mesti lebih tahu apa maksud setia berbanding aku. Sekarang, aku sedang belajar setia dengan ALLAH. Jadi, sekarang, kau cuba untuk setia dengan ALLAH sampai mati. Bukan cuba, tapi wajib." Dalam nada lembut dia mengulas dengan penuh semangat.

"Dan lagi satu. Jangan sesekali kau tipu ALLAH, bila kau dah datang pada DIA. Kau dah bertaubat jangan tinggalkan DIA. Jangan berjanji palsu." Lebih jelas pengikatan semantiknya.

"Setia dan jangan menipu." Aku mengangguk dan tertunduk. Aku kembali bersandar pada tiang masjid. Aku rasa macam nak gila. Menepuk-nepuk jantungku. Bersalah yang teramat sangat pada-Mu. Istighfar itu macam tak mencukupi. Aku rasa kehilangan yang sempurna. Sempurna dengan jawapan cinta-Nya.

Berlalu beberapa minit. Aku terasa ada sentuhan hangat. Dia memegang bahu aku sambil mendekat. Memelukku seeratnya, diulas lembut belikatku. Dia melepaskan pelukannya perlahan-lahan. Aku melihat bibirnya tersenyum dan matanya menangis seperti mataku. Empangan air itu pecah mengalir di pipinya, dan berderai menitik-nitik pada permaidani masjid.

"Selamat kembali." Dia berkata dengan lembutnya pada telingaku.

"Aku..." Aku hanya mampu menangis teresak-esak macam anak yang kematian ibu.

"Jangan cakap apa-apa. Ambil ini, selamat berindu-rinduan dengan ALLAH, selepas ini jangan mengadu pada orang lain, mengadu pada DIA." Dia menghulurkan Quran tafsir yang dipunyainya sebelum ini. Barang itu pun sudah bertukar tangan. Aku masih ingat semasa dalam perbualan, dia menyatakan Quran tafsir itulah yang paling dia sayang.

"Kau?" Aku harap dia faham dengan soalan itu.

"Aku ada lagi satu dekat rumah. Aku pergi dulu ye. Ada jodoh kita jumpa lagi. Jaga ALLAH, ALLAH akan jaga kau. Assalamualaikum." Dia berlalu sambil mengesat air mata. Macam biasa, dia tetap tersenyum dalam langkah yang sederhana diatur menuju keluar masjid.

"Waalaikumusalam." Aku menjawab perlahan. Semoga hati sejernih air mata. Itu harapan. Tinggalkan segala demi ALLAH. Korbankan segala...Aku mahu hidup kerana ALLAH.

P/s : Alhamdulillah, tamat kisah.


Thursday, November 3, 2011

Tamu di Masjid Telok Kerang (1)


Musim hujan yang mula merancak, membimbing kegusaran hati mendarat tepat pada arah yang terpandu. Sejuk dan sayu. Rintiknya yang amat manja dan nakal, kadang-kadang lebat, kadang-kadang titis perlahan-lahan. Cubaan untuk memutarkan kembali masa seakan gagal total. Semalam tidak bisa didakap semula. Apabila sudah bertandang keampunan dari Rabbul Izzati, tidak mengapa. Oleh sebab masa hanyalah teman kepada perjalanan yang panjang, bermula dari satu langkah.

Di tiang masjid Telok Kerang, bersandar sebatang tubuh manusia hina dengan akal sependek mata kail yang gigih melawan kedalaman lautan samudera. Lalu, kalah dalam perang tempur armada laut. Kapal hati sudah menjadi sarang jenayah maksiat, lantas karam pada dasarnya. Diri mula rebah dan lemah. 

Seluruh tubuh menggigil bukan kerana kesejukan, tetapi ketakutan yang mencengkam saraf kognitif oleh kerana momentum dari kenangan dosa lalu. Dosa itu berirama halus "takkan aku biarkan kau pergi walaupun jasad ini sudah terkubur mati".  Ah! tekad dan motivasi dikumpul semahunya untuk melontar jauh, hati yang kecamuknya terlalu, seakan orang yang tidak bertuhan.

Tidak lagi mahu berdiam diri dalam dosa. Tidak akan hanya menunggu sekuntum kemboja gugur di hujung ranting. Mengikut janjiNYA, pada tanah kembalinya. Tubuh yang bersandar itu separa badannya tertunduk longlai. Lemah lesu jiwanya. Ratapannya ibarat daerah tanpa pagar.

"Kadang-kadang kita jauh, kadang-kadang kita dekat. Assalamualaikum." Terdengar halus bisikan suara dari arah belakang. Selepas sahaja sederap kaki lembut menapak pada lantai rumah Allah.

"Ehem...Waalaikumusalam." Aku berdehem untuk menyembunyikan duka dan lekas-lekas membuat muka ceria. Tersentak juga hati yang sedang mengelamun ini. Terkejut kerana didatangi oleh insan lain.

"Falsafah manusia, puisi manusia, teori manusia yang aku jumpa, tiada yang mampu menyamai kata DIA. Kau ni siapa? macam bukan budak sini, sebab aku tak pernah nampak sebelum ni." Diam-diam ada insan telah mendekati aku. benar-benar bersebelahan kedudukannya. Ruang masjid seakan memahami kami. Sunyi dan menenangkan.

"Aku bukan budak sini, cuma berhenti solat." Dia pandang aku. Bukan pandang. Tapi merenung.

"Oh, apa khabar?" setelah beberapa minit berlalu, barulah dia bertanya khabar.

"Baik, Alhamdulillah." Aku membalas.

"Bukan kau, tapi hati kau?" Dia bertanya sambil memegang bahagian badanku yang terletaknya hati. Aku memandang matanya setepat yang mungkin. Dia membalas pandanganku. Aku kalah.

"Hmm...sesak sikit, macam mendaki bukit sambil bawa beban." Aku tersenyum sikit kerana seakan terikat untuk menangis, lalu dengan pantas menundukkan kepala. Bingung dengan jawapan sendiri.

"Aku faham keadaan kau. Pernah rasa suatu ketika dulu, dan perasaan itu masih segar. Tak perlu mendaki bukit lagi, marilah...kita sudah sampai sebenarnya." Sambil mengenyit mata.

"Apa yang kau faham dari luaran aku?" Aku mulai hairan dengan dia yang membaca pemikiranku. "Macam mana dia boleh tahu?" bisik hatiku. Aku membetulkan kedudukan dan kali ini lebih berani untuk berkongsi suara hati. Jemariku bermain-main dengan benang hujung tasbih semasa menunggu bicara darinya.

"Kalimah ALLAH sudah menjadi jalan kau. Kau sedang menuju satu, sekarang ada dalam medannya. Setiap hamba pasti jumpa jalan pulang. Sekarang kau sudah pulang dan sudah sampai, maka pegang tali ALLAH ini erat-erat, ibarat kuatnya tali yang mengikat butir-butir tasbih pada tangan kau." Kata-katanya perlahan-lahan meresap ke dalam nadiku, dan terus-menerus menyejatkan darah retinaku.

"Kau benar-benar memahami. Terima kasih." Mataku tertutup menahan hiba. Indahnya ukhuwah yang tak disangka.

"Sebenarnya aku tak faham satu pun pasal diri kau, ALLAH saja yang faham, dan kau sendiri juga belum tentu faham." Dia membuka buku persoalan baru.

"Hah?" Aku angkat kening tanda keliru.

"Perancangan ALLAH tu halus dan kemas. Kita manusia cuma perlu siap sedia, termasuklah saat ALLAH panggil kau untuk bercinta denganNYA. Saat sekarang yang kau rasa. Hanya ALLAH yang penuh dalam hati kau. Jangan ikut gerak langkah macam kebanyakan orang lain." Tangannya menyelak Quran tafsir, dia tunjuk pada aku surah Al-An'am ayat 116.

Aku membisu. Dia menepuk-nepuk bahuku.

"Haa...Kan?" Barangkali dia menginginkan sebarang reaksi dari aku selepas membaca ayat ALLAH itu tadi. Cukup comel.

"Biar terasing sikit dari manusia. Janji bukan asing bagi ALLAH. Kebanyakan mereka adalah kebohongan semata." Habis aku simpulkan. Semakin faham.

"Jalan dekat dunia ni terang, kita je yang gelapkan...aku, kau dan manusia lain yang lupa. Harap-harap lupa seketika sajalah." Dia benar. Aku beristighfar mendengarnya.

"Marilah, bacakan aku kecintaan daripada Tuhan." Aku menyerahkan Quran Tafsir kembali pada tangannya.

"Baiklah. Semoga terhibur ye." Dia benar-benar memaksudkanya. Aku mengangguk dengan penuh semangat. Sudah mendapat tenaga baru. Pencerahan yang didambakan. ALLAH bimbinglah aku.

p/s : bakal bersambung...

Monday, October 31, 2011

Kemewahan



Bagi orang miskin, 
Apabila sudah lepas dari segala hutang piutang,
Itulah namanya kemewahan.

Bagi orang kaya,
Apabila datang penyakit tamak sukar diubati 
Itulah namanya kemiskinan.

Entahlah,
Aku tiada tahu-menahu akan hal orang kaya,
Kerana tidak pernah merasa,
Kerana tidak mahu merasa.



Friday, October 14, 2011

Bahasa Mati


Berhari-hari,
Senjata penuh darah,
Tentera sudah berpencak di dalam arena,
Dengan rentak waja jiwa rancak,
Tiada tidur.

Sekali-sekala Jeneral menjerit memaki hamun,
"Jangan undur ke belakang!"

Kaki masih pandai menipu,
Melangkah pada kelibat bayang yang seakan mengejek,
Ada masa debu dosa menggodanya,
Kembali keletihan.

Tiada insan melihat dalam yang ragam,
Rajanya kalah,
Pemimpinnya Lemah.

Tidak siapa tahu bahawa istana itu kosong.

Monday, October 10, 2011

Filantropi




Merenung mentari dalam hujan panas,
Adakah kekal suram begini?

Kiranya sayap rama-rama milikku bak helang,
Leka sudah bertebaran membawa mereka terbang.

Langit biru terlalu kecil,
Buat si rama-rama berjiwa besar.

Yang termampu,
Hatiku kehujanan,
Senyuman lama berganti duka,
Wajah kita sama rasa,
Doa menjadi payung utama,
Ujianlah yang terindah.

Ayah,
Puteramu akan ke sekolah,
Jari-jarimu yang menggigil,
Mencari lubang emas untuk digali.

Aku melalui penjelasan,
Pada matamu yang retak,
Berkerdip kepayahan derita yang masih hangat,
Sebelumnya perang ulung kerap berlangsung.

Kau bertanya penuh waspada,
"Anak perempuanku, siapa yang menuang hujan dan menyidai matahari?"
Kembalilah padaNya,
Begitu bicaramu,
Takkan bisaku menderhaka.

Ampunkan aku Ya Allah,
Tidak kuat untuk takdir ini,
Kerana diri cuma tahu menangis sejak dari kecil.

Di sini,
Kerelaan melepaskan,
Menjadi lemah segala raga,
Masih terasa geseran tapak tanganmu yang kasar,
Sementara menoleh,
Lewat pada wajah anak perempuan,
Suara serakmu berbisik halus,
"Duhai rama-rama, siksakah engkau punya kekasih dan kepak longlai tak bermaya?"

Nota : kekasih di dalam rangkap akhir sajak membawa maksud 'bebanan atau ujian'. 

Friday, October 7, 2011

Time is (L)over


Fajar terlalu muda untuk dipersia,
Terbiar menyingsing,
Senja tentu sekejap,
Boleh juga,
Menyapa, membawaku pergi,
Malam entahkan ada,
Besok jangan ditanya,
Semalam sudah memberitahu kematian,
Hari ini jangan menepikan mimpi.


Wednesday, October 5, 2011

Untung Silap Kau Rugi

Kadang-kadang kita terlalu mengeluh,
Merungut selagi ada ruang.

Mencelah hati hitam dalam juram dalam,
Menyerlah pedang tajam menghambur ketidakpuasan hati,
Bukankah yang memberi itu Ilahi?

Kenapa kita takut  memandang tangga yang tinggi,
Sebab tidak mahu memanjatnya...

Sudah beruntung tangga siap sedia,
Bagaimana pula dengan insan yang masih gagah dan sabar membina tangga,
Lalu, dia teruskan mendaki tangga tersebut sesudah terbina.

Siapa lagi gagah?
Siapa lagi megah?
Silaplah kalau kau yang untung selepas merungut,
Rugilah kalau kau silap rasa beruntung.

Tuesday, September 20, 2011

Kisah Pelangi

Jejak masih belum habis sempurna,
Kerana diri cuma pelangi 6 warna.

Sesukar mana,
Perarakan awan kumulonimbus,
Seru aku,
Memapah lesu.

Hati yang tercepat puas dengan cetek usaha,
Lemah dalam sangkar nanar.

Kerana akal melonjak tahu,
Tiada yang terbaik,
Selagi boleh diperbaiki.

Mengejar pelangi 7 warna.
Selengkap ini.
Sempurna baki.

p/s : Mana ada manusia sesempurna pelangi 7 warna. Kita sama-sama bawa dosa. Sssshhhh...

Sunday, September 18, 2011

Selagi Kepala Ke Langit

Baguslah...
Kau umpan pakai hiburan...
biar bertambah BAKA HARAM dekat Malaysia.
Dengan bangganya masuk 'paper'.
lepas satu.
Satu.

Memang berjayalah transforma...si.
Satu Hiburan ke Satu Malaysia?
Nak kasi bangsa lain datang kau hantar orang Hong Kong.
Nak kasi nampak gerek kau turun padang.
Bawa bini melengang-lengang.

Mana mungkin konsert serupa itu boleh mengingatkan kita pada kesyukuran biar sedetik kelibat.
Mana mungkin konsert seperti ini terjaga batas pergaulan.
Kalau dah terkinja-kinja.
Monyet pun turut hairan melihat tingkah laku manusia kini.
Mana mungkin konsert seperti ini mendekatkan diri kita pada ALLAH!

Itulah konsert SUARA KAMI yang dinanti-nantikan semua dan telah memecah haram di kaca televisyen pada 17 September...adik aku pun pelik tengok konsert tu...lagi la orang tua macam aku...sedih la tengok...serius! Jangan tanya kalau bersepah-sepah 'kondom' selepas konsert selesai...(maaf, terpaksa taip perkataan itu, sebab ini memang kisah benar). Aku betul-betul panas...

P/S : Orang Besar memerlukan lebih ramai penulis ingkar.

Monday, September 12, 2011

Jatuh Sunyi, Persembahkan Seutuhnya...

Aku merenung api lilin,
Terliang liut bermanja-manja dengan angin yang menyapa kerap,
Ia juga berteman sama.

Memang begitu sunyi hatiku,
Tidak seperti api lilin,
Riuh keadaan sebelah-menyebelah yang sengit bingit,
Dipandang kosong.

Betapa di sini aku telah utuh senyap,
Tak mungkin cuba meninggalkan memori,
Sesali frasa usia sebenar-benarnya.

Mencakus,
Cakna tentang fasa plot hidup,
Peduli soal lara tertanggung.

Biarku persembah seluruh,
Dalam hati rancak berarak genderang roh.

Kerna aku tahu...
KAU memang dekat,
Tak mungkin jauh.
Tak mungkin aku jatuh sunyi lagi...


''Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu (Muhammad) tentang aku, Maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, Maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.'' (2:186)

Nota : Aku betul-betul sunyi walaupun masih tersenyum. Oleh sebab, cerita kini sudah berubah terjadi kegusaran. Jangan tinggalkan aku ya ALLAH...biarku persembahkan seutuhnya. 

Hati Untuk Dua

"Kadang-kadang kita bosan dengan dunia yang penuh pancaroba, tapi adakah kita sudah sedia untuk ke sana?"
_Najwa Tahir_


Pada aku cinta ibarat matematik...serupa sahaja
1) Selagi otak kau yang geliga memikirkannya, selagi itu kau masih berkira-kira...dan masih bersamanya.
2) Selagi kau boleh tolak, tambah, darab, bahagi....selagi itu kau masih ada cinta...
3) Cinta akan dapat jawapan yang tepat macam matematik...mana ada jawapan matematik kau tulis...'lebih kurang 30 agaknya..." Tak macam jawab soalan BM, BI ke....selagi hati cikgu yang tanda soalan tu sejuk tengok jawapan kau yang logik akal...selagi itulah dia akan bagi betul je...'adik-adik UPSR, doa banyak, minta kat ALLAH, sejukkan hati penanda kertas jawapan'.
4) Dan yang paling seronok ialah, setiap hari kau akan menggunakan Matematik...setiap harilah kau akan ada cinta. 24 jam itu apa? Kita hidup menggunakan masa untuk segala hal terutamanya solat...Topik 'TIME' ada dalam HURAIAN SUKATAN PELAJARAN MATEMATIK. kan cikgu kan? haha...
5) Cinta mula dari kosong...macam Matematik...kita perlu ajar murid dari kosong sebagai menunjukkan nilai tiada apa-apa (bukan mula dari satu)...barulah wujud satu...dua, tiga dan seterusnya infiniti...
6) Yang aku maksudkan cinta yang ibarat Matematik ini, ialah cinta kepada ALLAH...kita mengaku kita menggunakan matematik dalam hidup...begitulah pengakuan kita pada Cinta kepada ALLAH dalam hidup. Sentiasa Bersama...

Memang kan?
1) Hati kita kosong...kosong tiada apa-apa saat kita mula terleka dengan pujuk rayu dunia...ARgghhh!!! Tapi, dalam diam kita mencari...mencari cinta ALLAH...
2) Maka, hati kita menjadi Satu...Cinta yang Satu...Siapa yang tahu isi hati kau? Siapa yang tahu sebalik wajah tenang kau...ada ALLAH dalam hati...siapa yang tahu sebalik senyuman kau...ada ALLAH dalam hati.
3) Itulah hati yang terisi...

Hati Untuk Dua...Janganlah!
1) Kau orang selalu kan bilang yang hati ini untuk cinta yang Satu..."cinta aku saja je..." Aku setialah, cinta aku sorang je" "Weh...dia yang satu...takde lain dah dalam hati ni." (ayat dibina berdasarkan pengalaman rakan sekeliling)
2) macam itulah cinta kau pada agama ALLAH...cinta kau pada ISLAM...cinta kau padaNYA...hati kau perlu sentiasa dalam kebaikan.
3) Hati yang untuk dua ni bahaya...sebab kita tak masuk keseluruhan...semalam boleh buat benda baik...esok boleh buat benda jahat...Fuhh...janganlah lupa akan siapa sedang memandang kita?
4) Kau masih ada hati lagi...bila kau rasa lain macam apabila buat dosa...'MASIH ADA HATI YANG BERNYAWA'
5) Ingat...kita takkan boleh tinggalkan ALLAH...sebab DIA sentiasa bagi peringatanNYA melalui bacaan, pendengaran dan penglihatan kita...macam-macam lagi.
6) Beruntunglah jika hati rasa tak sedap saat bikin dosa...beruntunglah kalau kau dapat rasa gundah gulana ketika Hati terbahagi untuk dua...
7) nama pun...dosa atau pahala...ada dua pilihan sahaja...hati untuk satu...bukan dua...

Tunjukkan Hati Yang Sebenar
1) Tunjukkan hatimu yang sebenar...hati yang sucilah yang sebenar-benarnya...
2) Kalau kita tak tunjuk yang sebenar pun...ALLAH tahu apa yang dalam sudut hati paling dalam. Jangan sembunyi...
3) haha...serius...cerita pasal hati takkan habis sampai bila-bila...sebab kita tak nampak.

Pesanan Ringkas : Aku nak pesan satu hal lagi, menilai peribadi orang lain melalui status facebook, cara memberi komen dan sebagainya kadang-kadang boleh membawa kepada kerosakan hati...selagi pemilik Facebook masih hidup...dia akan tulis statusnya...selagi itu kita akan terbaca dan dalam keadaan sengaja atau tidak, hati akan menilai peribadi orang lain...Hati Memang Mahal. Hati untuk SATU.Sekian.


Thursday, September 8, 2011

Sivik dan Kenegaraan

'Moral' Merupakan Senjata Perebutan Kuasa
Noktah.

Wednesday, September 7, 2011

Runut Bunyi



Simfoni berlagu sepi,
Mengganggu gugat,
Prestasi linguistik,
Melabuhkan sauh di atas kertas,
Suara mati,
Tanpa lirik dan melodi.

Mobiliti masa terus bergiat pantas,
Transisi kronologi mulai bertindak ganjal,
Tidak sesuai dengan naratifnya.

Hati lenyap seperti asap,
Gelombang angin tercatat statik,
Mendesah seakan tanah yang membina lubang gua,
Hanya debu yang terpuruk di fikiran.
Hal ini tidak boleh terhapuskan ibarat tatu.

Harapan bukan angan,
Menerawang rawan,
Setiap situasi bertukar runut bunyinya,
Cukup indah permainan emosi.

Meninggalkan,
Jangan menoleh ke belakang,
Bimbang nanti kacau langkah.
Lari rentak-rentak hangat itu.


Nota Bergasak Fakta : hidup aku pun macam filem...ada runut bunyi tersendiri...aku pilih bunyi AZAN sebagai runut bunyi...aku harap sampai mati runut bunyiku tidak berubah...

Monday, September 5, 2011

Pondok Tanpa Atap

Memang hidup manusia ni banyak berdendam!
Ye...manusia yang memandang dunia lebih dari segala!

Begitulah hati Amsyar bergadang dalam sunyi seiring dengan keadaan biliknya yang gelap. Maklumlah,sudah seminggu rosak mentolnya. Dia masih panas hati mendengar kisah lahanat bapa saudaranya pagi tadi yang datang ke rumah bukan untuk beraya, tetapi dengan niat ingin menjual tanah pusaka. Dia menapak menuju ke singki untuk membasahkan wajahnya yang merah padam. Sekali Sekala disusun langkah mengambil wuduk apabila sabarnya mula memecah. Penat ibu dan bapanya berjuang agar tanah itu tidak tergadai pada tangan tuan doktor yang sudah kaya itu, takkan mungkin perjuangan dibalas dengan debu. dua puluh dua tahun dipertahankan. Biar dibilang bermulut bacin dan bertangan hancing, asalkan nasib dan hak orang tuanya terbela.

Amsyar melihat dari jauh, sudut perbincangan harta antara adik-beradik emaknya dengan mata kecil dan jiwa besar.

Selepas kematian arwah datuknya, semakin huru-hara keluarga besar itu. Memang benar, keluarga emak lagi busuk hati kerana sikap Pak Ngah yang suka menabur fitnah dan mengadu domba. Biarlah seperti adik-beradik ayah yang suka menghina secara berdepan, bersua mata parang sekalipun, memang buas ibarat lanun Bugis. Namun tidak menambahkan barah seperti adik-beradik emak yang bermuka-muka. Sudah genap empat tahun, keadaan nenek yang ditimpa angin ahmar, tiada tangan yang ingin menyambut kecuali Pak Uteh dan Mak Uteh. Ibu bapa kepada Amsyar. Adik-beradik lain tidak ingin membantu kecuali Maksu. Mengharapkan Mak Long memang tidaklah kerana dia sendiri sudah tua, minta dibelai anak-anaknya. Mak Andak dan Pak Uda lepas tangan semampu yang mungkin. Mak Andak dengan hasrat ingin membina keluarga yang miskin, padahal sudah kaya melimpah ruah. Pak Uda pula dengan alasannya yang duduk jauh di Temerloh sana, dia bimbang jika menyukarkan saudara-mara untuk menziarah nenek. Sudahlah, bilang sahaja itu alasan. Pak Ngah pula hanya pandai menyalak macam anjing setiap saat menggilakan harta yang tidak seberapa.

Amsyar merenung ciptaan Tuhan dalam-dalam. Pagi nyaman dan indah di desa penghujung benua Asia kali ini, diganggu dengan aura iblis yang dibawa oleh Pak Ngah. Bunyi geseran tayar kereta Kenari Pak Ngah pada batu kerikil lorong rumahnya telah menggugat hati Amsyar untuk meyumpah seranah.

"Argggahhhhh...." Orang tua bangsat sudah sampai. Hati Amsyar memaki hamun. Dia membuka pintu untuk Pak Ngahnya itu. Kemudian, dalam beberapa saat, Mak Uteh berganti posisi dengan anaknya untuk menyambut tetamu yang tidak diundang.

"Bang Ngah datang ni, nak bincang soal jual kebun sawit bapak kat Rengit tu. Bang Ngah nak jual dekat Sumiah, anak Wak Maat yang kerja doktor tu." Pak Ngah berkata sambil berdiri tercegat di depan pintu rumah kami. Tanpa salam dan tanpa mesra. Memang niat mahukan harta.

"Masuk dululah Bang Ngah. Kita bincang dekat dalam. Bang Ngah mamper nang ngomah Adah arep nyoal kebun sawit nang wetan apo nang baruh bang?"" Mak Uteh menjemput baik abang kandungnya itu. Mak Uteh bertanya penuh kelembutan dalam bahasa Jawa. Dia menyoal adakah abangnya ingin bertanya tentang kebun sawit di timur atau di laut kampung Rengit itu.

"Aku orak gelem tanah nang wetan, aku ngarep seng nang baruh." Pak Ngah menjawab.

"Ojo dijual Bang Ngah. Isuk-isuk, kualat kue. Kapok an." Maksu menjawab ringkas. Dia berkata, jangan dijual tanah itu, nanti ketulah barulah padan dengan muka. Amsyar memahami setiap tutur kata Pak Ngah, Maksu dan emaknya. Dia merupakan anak yang paling pakar dalam bahasa Jawa berbanding abang dan adiknya.

"Itu kan hasil titik peluh bapak kau Ngah, takkan lah hendak digadai macam gitu je." Bilang Pak Uteh  sebagai menantu. Dari celah mana Pak Uteh muncul juga menyebabkan kami semua terkejut. Pak Uteh tidak memahami langsung bahasa Jawa, dia tidak berminat untuk mempelajari bahawa Jawa walaupun beristerikan orang Jawa. Namun, Pak Uteh memahami maksud ayat itu kerana, jejaknya kaki Pak Ngah ke rumah kami tidak lain dan tidak bukan hanya ingin menjual tanah tersebut.

"Biarlah, itu harta bapak aku, bukan bapak kau. Kau orang luar. Apa kau tau?" Pak Ngah melawan dengan angkuh.

"Tapi, sesendat mana pun otak kita, kita kena fikir jauh untuk masa depan, tanah tu boleh bela nasib kita adik-beradik, memang saya menantu dalam keluarga ni, tapi inilah yang pernah terjadi dalam keluarga saya dulu Ngah. Saya tak nak perkara ni terjadi dalam keluarga ini." Bercepidau hujah keluar dari mulut Pak Uteh.

Memang tanah hanya sekangkang kera itu tidak layak untuk dipertahankan. Namun, itulah nilai pusaka. Betapa kepercayaan disandarkan penuh kepada-Nya. Pak Uteh berharap hanya ALLAH yang bisa memberikan kefahaman dalam hati Pak Ngah. Pak Uteh tidak menyerah kalah untuk membela hak keluarga itu, biarlah dibilang sebagai orang luar. Ke mana lagi rumah indah akan bertapak kalau bukan di atas sebidang tanah. Ke mana lagi hasil rezeki ALLAH akan bertaburan kalau bukan di tanah basah. Memang tanah hanya harta, kita mati takkan ke mana. Namun itu sahaja yang ada untuk membela nasib kita.

"Bang Ngah, tanah tu bukan hak kita seorang untuk digadaikan. Masih hidup lagi seorang insan yang berkorban melahirkan kita. Mak kita tu ha... Dia masih ada hak faraidnya." Balas Maksu, menambah fakta pada kata-kata Pak Uteh.

Mak Uteh tidak seberani Maksu. Mak Uteh seorang yang suka memendam perasaan kecil hatinya. Perasaan sedih, geram dan marah itu diluahkan pada suaminya sahaja.

"Bang Ngah, sudah-sudahlah, emak yang terbaring atas katil tu masih bernyawa lagi. Dia belum pergi lagi Bang Ngah dah berani suara tentang harta." Pak Uteh menyedarkan Pak Ngah yang bagaikan dirasuk iblis.


"Kalau tanah tak boleh jual. Aku nak tanya pasal duit sawit. Mana duit hasil sawit, duit tu perlu dibahagi-bahagikan." Bentak Pak Ngah pada Mak Uteh.

"Abang Ngah nak duit sawit tu? abang kena dukung emak sekali bawa balik Puchong. Jaga emak dapatlah duit sawit tu. Saya bukan nak kurang ajar dengan Abang Ngah, tapi itulah yang arwah bapak pesan pada Adah dulu sebelum meninggal." Pak Uteh membela isterinya yang sudah berdiam diri ibarat patung.

"Bapak kata apa dekat Adah? aku tak dengar pun. Aku tak tahu pun." Pak Ngah menjawab.

"Memanglah kau tak dengar, kau sibuk menengkuk cari harta untuk bini kau yang cantik tu, untuk anak beranak kau yang gila glamour tu. Ini...muka-muka inilah yang menghadap arwah bapak sampai nafas terakhir, cuma aku anak beranak je, adik-beradik lain pergi mana entah." Pak Uteh menunjuk muka isteri dan anak-anaknya. Memang benar, kali ini darah Bugis Pak Uteh mula mendidih.

"Tak ada bukti yang mengesahkan kata-kata kau tu. Aku tak percaya." Kata Pak Ngah.

"Baiklah, kau tunggu sini, aku gali kubur arwah bapak kejap. Nanti kau tanya soalan dekat bapak ye. Macam itu yang kau nak kan?" Pak Uteh menjawab dalam keadaan tenang dan cukup sinis.

"Aku balik dulu, rumah ni panas la. macam neraka. Memang sesuai dengan penghuninya." Pak Ngah mengeluarkan kata-kata yang cukup-cukup biadap.

"Bang Ngah bukan ALLAH, yang menentukan kami sekeluarga ahli syurga atau neraka. Balik rumah nanti, cermin hati Bang Ngah dulu lepas tu datang sini semula ye." Pak Uteh menahan sabar dengan menyerahkan segala-galanya pada ALLAH.

Pak Ngah telah pulang ke rumahnya. Memang panas barangkali rumah ini. Tapi biarlah panas pada hatinya.  Asalkan rumah ini terbina dengan tauladan. Bukanlah seperti rumah tanpa jendela.


Tiba-tiba, Amsyar teringat kembali ayahnya pernah meluahkan perasaan hati.

"Ayah bukan apa Am, emak kau tu, sedihnya diluah dekat ayah. Ayah kayuh lori cari rezeki, duduk jauh dari emak kau, ayah tak dapat nak pujuk dia. Ayah cuma mampu pujuk dalam telefon. Ayah risaukan dia. Dihina adik-beradik, dicaci maki padahal dia yang jaga nenek tu Am. Apalah dosa emak kau." Pak Uteh mengadu pada Amsyar sambil memaku papan untuk dibina sebuah garaj.

" Emak tu pun satu ayah...dia suka pendam, adik-beradik kutuk maki, dia diam je. Amsyar tengok pun panas." Amsyar mengeluarkan patah perkataannya dengan cukup baran.

"Ayah taknak kau marah dekat emak macam gitu, yang salah adik-beradik emak kau." Pak Uteh memesan anaknya.

"Ayah, boleh tak Amsyar 'sound' je Pak Ngah tu, biar busuk muka Amsyar, janji emak dengan ayah tak dihina." Amsyar membalas.

"Jangan nak, selagi ayah ada, biar ayah yang bela nasib emak kau, biarlah emak marahkan ayah sebab kurang ajar dengan abang dia sendiri, janji emak kau tak dihina lagi." Pak Uteh Menyusun kata-katanya demi Amsyar memahami apa itu nilai kasih dan sayang.

"Ayah betul-betul sayangkan emak...hehe..." Amsyar mengusik ayahnya.

"Laki mana tak sayang bini, nak oi...tapi janganlah sayangkan bini sampai terbuang orang tua. Sebab itu ayah sanggup angkat nenek yang sakit angin ahmar tu, kerjasama jaga nenek, ayah usaha cari rezeki lebih dapat beli ubat, makan, dengan lampin nenek kau. Tapi, ayah rasa terhina juga bila Pak Ngah caci maki keluarga kita macam ni. Padahal haknya ibu itu atas anak lelaki, bukan menantu lelaki." Pak Uteh menyudahkan ayat dengan bermacam nasihat.

"Macam-macam la dunia ni. Ayah, kenapa orang bugis gaduh main parang, orang jawa main cakap belakang macam adik-beradik mak tu?" Amsyar bertanya.

"Eh, Orang Jawa yang macam Pak Ngah kau tu je main cakap belakang. Jangan ikut perangai macam tu ye. Kau pun tadi baru main kutuk belakang. Kau kutuk Pak Ngah kau. Tak perasan ke?" Amsyar berhenti berkata-kata. Dia terkena dengan ayat ayahnya sebentar tadi, hendak saja dipilih darah Bugis. Biarpun wajahnya lebih mirip orang Jawa tidak sama macam abang-abangnya yang seperti orang Bugis.

Amsyar berhenti dari mengelamun. Amsyar bimbang akan keadaan hati ibunya yang semakin parah. Dia mendapatkan ibunya. Dia cepat-cepat memujuk ibunya agar bersabar.

"Emak...sabar ye. Ini namanya dunia emak." Amsyar memberi pesan pada ibunya.

"Iya Am. Dunia kok...ginilah jadinya." Ibu Amsyar menjawab ringkas sambil air mata berjuraian.

"Airmata tu yang Am benci nak tatap. Emak, jangan menangis lagi ye...Am, abang dengan adik ada dekat sini. Ayah pun ada untuk emak." Amsyar memujuk benar hati ibunya yang pecah menjadi kaca halus.

"Kenapa hak ada nilai ringgit ye, Am? Kenapa pengorbanan ada nilai mata wang ye, Am?" Ibunya bertanya dengan nada penuh kecewa.

"Sebab hati buta emak. Emak jangan layan perasaan sedih tu." Am memeluk ibunya dengan berharap itu boleh jadi pengubat segalanya.

"Am, jangan dendam ye nak...nanti Am sakit, emak tau...kau jatuh sakit bila hati kau betul-betul sakit. Kau tak pernah jatuh sakit atas sebab lain. Nanti kau dapat demam pula." Emaknya berpesan agar Amsyar segera mengubat hatinya yang berdendam itu. Kerana sudah kebiasaan anaknya itu jatuh sakit apabila hatinya terluka dan marah.

"Tapi emak, sakit yang emak rasa, lebih hebat sakit yang Am rasa sebagai anak." Amsyar berdolak-dalih.

"Hentikan Am. Emak pun merelakan segala apa-apa yang orang buat dekat emak. Emak pasrah Am." Mak Uteh mengasuh anaknya agar jangan menyimpan rasa benci dalam hati.

"Baik mak...Amsyar buang jauh-jauh." Amsyar menyedapkan hati ibunya.

Luka. Luka itu masih dalam hingga meninggalkan parut yang tidak boleh terubat kecuali dengan kemaafan. Kata-kata yang ibarat petir boleh meragut jantung dan mencengkam segenap penjuru urat darah. Memang air dicincang takkan putus. Namun, hati dicincang pasti putus.

Amsyar jatuh sakit kerana marah yang infiniti.
Memang benar sakit itu datang dari hati.
Panas batin, zahir yang menanggungnya.

Nota bergasak fakta : Kadang-kadang, hari raya macam tak raya...persundalan jiwa gila harta bisa menikam batin menjadikan zahir sebagai mangsa. Jangan sakit hati nanti demam...demam bukanlah berpunca dari banyaknya kuantiti lemang dengan rendang yang kita belasah...tapi sebab sakit hati sebenarnya. Tak percaya...? buatlah eksperimen sendiri...Hindari sakit hati walaupun memang akan sakit juga kalau dah 'hardcore' kena tipak dengan orang macam watak di atas. Rasa dendam dan benci bukanlah agenda kita selepas RAMDHAN!!! Aku serius bagi nasihat kali ni.

Nasihat lagi : nak tahu nilai kehidupan kau...kau lihat pada kehidupan orang lain...baru kau tahu erti syukur! lagi satu, jangan jadi macam Pak Ngah ek, dah la gila harta lepas tu tak reti nak jaga orang tua ...anak lelaki pula tuhh ("Tak jantan langsung."kata jiran depan rumah aku)

Friday, August 19, 2011

Braille


HARAP MAKLUM

''Wanita bukanlah tulisan Braille yang perlu disentuh untuk mengenalinya''

Dari anggota hingga hatinya sekalipun,
Jangan sesekali disentuh selagi kau tiada janji halal di depan ALLAH.

Thursday, August 18, 2011

Cedok dan Bungkus





dari kiri : faiz, hafiz, syaifuddin, afiq (solo warna biru), haikal (solo warna putih), daniel, aliff, syarifuddin

"Inilah hasil bimbingan guru praktikum"
...haha...
ayat cikgu Asri selepas persembahan nasyid 4 Produktif sudah selesai...
aku tertunduk malu akan ucapan itu,
sebab mereka menyanyikan lagu Kemuliaan Ramadhan dalam keadaan malu-malu.

Apa pun, aku dapat nikmat seronok kerana berjaya latih budak nasyid seorang diri,
Tapi sedih sebab tiada seorang pun yang bertepuk tangan,
Cikgu-cikgu pun mulut terlopong melihat persembahan ini...
Kerana apa?

Kerana 4 Produktif merupakan kelas yang paling nakal,
tiada guru yang akan pandang sebelah mata apatah lagi dengan mata.
Apabila mereka berada di atas pentas...
Semuanya terpegun...
Jeng3...

ada murid yang cakap persembahan tak sedap,
tapi ustaz dengan ustazah kata sedap...
Aku percaya kata-kata ustaz dengan ustazah je...huhu...

Lagi pun, kepercayaan sudah dibina dalam diri aku dan mereka,
kimia sudah terjalin dalam kelembutan dan ketegasan
biarlah mereka yang mengeluarkan potensi dalam kebaikan...
Biarlah persepsi insan lain berubah walau sukar.

Cikgu dan murid terkejut akan penampilan kelas 4 Produktif,
yang sebegitu,
Mereka sangat sopan di atas pentas,
yang penting kandungan lirik lagu tu yang membawa kebaikan nilai bulan Ramadhan.
 jika ingin mengajar nasyid bukan hanya ajar nyanyi,
Yang penting ialah ajar makna lirik lagu itu.
Allahuakbar...
Mereka cepat faham...
mereka sangat suci berbanding dengan aku yang ada banyak dosa.

Dalam gambar ni ada 4 orang sudah tahu menangis kerana silap sendiri...
Selepas diceramah oleh aku dengan suara komanden selama 3 minit
Mereka yang masih kecil tersedar dan menangis akan silap sendiri,
Apabila aku melihat mereka menangis,
Hatiku jua turut menangis kerana...aku berkira-kira khabar tentang hatiku
Apakah masih tahu kenal erti silap dan salah?
Apa sama macam hati mereka?
Adakah sudah sakit, mati atau hidup?
Apakah keadaan warnanya?
Adakah aku akan faham dan tahu menangis apabila melakukan silap sendiri seperti mereka.
Apakah aku tahu nilai dosa,
Baik buruk yang aku cedok dan bungkus selama ini...
Aku simpan ketat-ketat jangan sampai masuk angin.

aku pukul dia orang sikit lepas bagi ceramah,
lepas kena pukul,
aku cerita tentang pejuang Islam Sultan Muhammad Al-Fateh,
yang masa kecilnya juga nakal,
kerana tidak mahu belajar,
Namun Sultan Muhammad Al-Fateh juga pernah merasakan sakit suatu pukulan itu,
hanya Syeikh Kurani yang diizinkan untuk memukulnya.
Akhirnya, Sultan Muhammad Al-Fateh telah menjadi pejuang Islam yang membuka kota Kostantinopel.
Yang namanya diucap oleh nabi terbuku dalam hadis yang ulung
Yang namanya sangat gagah dan gigih.

~~Maka, pada aku untuk mereka, wajar dipukul sedikit demi merasakan apakah itu perubahan~~
yang penting ialah sahsiah mereka

Mereka tidak memarahi tindakan aku...
Malahan mereka suka mendengar tentang kisah Sultan Muhammad Al-Fateh.
Lepas kena pukul,
Masing-masing nak jadi macam baginda...


Nota bergasak Fakta : ingat...cikgu taknak kamu hanya menyanyikan lagu nasyid...tapi, sahsiah kamu jauh berbeza...sebab orang akan ikut kita melalui perbuatan bukan kata-kata sahaja... (Awak semua manja la, minta pakaikan samping, padahal dah pandai pakai sendiri...hee...comel, comel, comel....suka3...)

Sunday, July 31, 2011

Cakap ke Buat?

''Mendidik bukan dengan perkataan dan tulisan
Mendidik didahului dengan perbuatan.''

Akhlak itu indah,
Memang berseni kalah lukisan Uncle Leonardo Da Vinci yang dia lukis aunty Monalisa.

Akhlak boleh diuji dengan berlaku spontan...
Contohnya, bila terkejut nampak cicak bertukar jadi biawak,
Kita sebut...
Opocot mak kau mak aku (ni melatah style gatal)
atau
Kita akan sebut
Allahuakbar, Subhanallah...!

Atau bila ada orang sepak bola kena kepala kita,
Kita jerit...Woi...Hoi...Wei...Wak lu...sepak kena kepala aku.
Atau kita amik bola tu...
Dan serahkan kepada empunya dengan ucapan,
"Main hati-hati ye dik...Takut kena dekat orang lain..."

Macam cikgu-cikgu juga la,
Cikgu pesan dekat anak murid jangan bising masa dalam bilik darjah,
Tapi masa perhimpunan cikgu sendiri bercakap-cakap dekat belakang masa Guru Besor tengah berucap.

Maka, didikan bermula dengan perbuatan...
dan diiringi kata-kata.


''Jangan marah bila anak murid pijak becak,
 kerana cikgu sendiri yang tak reti-reti nak tambus guna tanah.''

Saturday, July 23, 2011

Aku, Murid dan ALLAH

Assalamualaikum dunia...

Ya dunia...memang semua manusia dekat dunia ini berbeza-beza.
Ada manusia pandai, ada manusia kategori lemah (nak cakap bodoh tak manis bunyinya).
Aku seorang yang bermula dari bawah...memang lemah.
Aku tak sepandai orang dekat luar sana,
cepat tangkap...cepat masuk dalam isi tempurung kepala.
Aku pernah rasa kategori lemah...macam murid pemulihan.
Tamparan cikgu lebih aku hafal berbanding kotak sifir.
Ya...memang susah jadi orang lemah.

Habis tu...
Ingat senang jadi orang pandai...
kawan baik aku...budak paling pandai dalam sekolah,
Tanya saja nama S mesti kenal...mesti kena skor A masa UPSR,PMR bawa ke SPM.
Kalau cikgu tengok slip dia ada B, rasa macam pandang dosa...kotor.

Aku tanya kat dia...macam gini.
"Apa perasaan jadi budak pandai macam kau ek? semua orang sayang kat kau?"
Dia jawab macam gini.
"Aku tertekan, aku rasa semua orang berharap, susah bila orang dah pandang tinggi dekat kita."

Aku keliru nak jadi pandai ke bodoh...haha, lama-lama aku pun pilih yang lebih baik. Faham? aku tak suruh korang jadi bodoh tau...aku suruh korang fikir budak pandai pun tertekan juga, bukan budak bodoh je tertekan bila tak pandai-pandai belajar. aku suruh korang fikir dalam-dalam...jangan salah faham ek.

Maka, kadang-kadang kita selalu asyik kutuk diri kerana jadi orang bodoh...
Sebenarnya, kita punya semangat membodohkan diri itu yang membodohkan kita.

Namun, aku nak tekankan dekat sini bahawa usaha dengan doa ibarat kekasih...
Bukan cuma semasa kita sedang berada dalam kawasan bodoh...malahan, masa kita sudah menjadi pandai.

Aku datang dari keluarga yang hidup susah, 
Kebetulan pula aku belajar macam perlahan-lahan gitu...
Bukan aku sengaja...tapi dah memang lambat...
Ada arwah cikgu aku dulu...cikgu Firdaus nama dia.
Dia kata..."takpe kalau awak dapat C...sekurang-kurangnya awak dah berubah dari D kepada C, itu maknanya awak semakin pandai."

Mana ada cikgu macam gini, biasanya cikgu cakap macam gini...
"Awak ni asyik dapat D dengan C je...saya dah ajar dah, tu pun tak faham-faham lagi. Jawabnya, sampai bila-bila awak tak dapat A."

Suatu masa dulu,
Aku sangat nakal dan tak suka belajar...
Sebab aku fikir "dah bodoh buat apa belajar lagi"
Bapak aku ni seorang pemandu lori...Mak aku suri rumah, mak aku pun tekad...ikut bontot lori bapak aku...dari Pontian menuju ke arah Nilai...sikit lagi mak aku nak corner pergi Jengka...sebab bapak aku selalu hantar barang lori ke sana. 

Mak aku bawa naik kereta...
Mak aku diam sepanjang perjalanan...
Mak aku cakap dua potong ayat saja.

"Tengok sekarang pukul berapa?" Mak aku bertanya.
"Pukul 3 pagi." Aku jawab perlahan dalam irama mengantuk.
"Kau tengok bapak kau bawa lori pagi-pagi gini, sebab nak cari rezeki, nak beli barang sekolah kau. orang lain tengah tidur sekarang ni." Mak aku cakap sikit.
"Nampak mak." Aku menjawab sambil airmata mengalir tiba-tiba.

Pertama kalinya masa darjah tiga aku menangis sebab kesian tengok ayah aku...sebelum ni, aku menangis sebab kena marah dengan mak, ayah dan cikgu. 

Tahap kesedaran aku makin bertambah sikit demi sedikit, lepas aku sedar berapa peluh bapak aku menitis ke bumi? sebab cari rezeki halal untuk aku. Berapa air liur mak aku memercik ke bumi? sebab selalu mengingatkan aku yang tuli ni.

Aku sehari dapat seringgit je pergi sekolah...
Cukuplah tu, memadai apa?
Aku tak makan...aku lepak dekat perpustakaan atau surau seorang diri...sebab itu aku tak suka jadi pengawas, nanti kena berlegar-legar dekat kawasan sekolah...aku lagi rela jadi ketua kelas...
Aku tak makan sebab nak kumpul duit beli buku rujukan "PELANGI" yang korang selalu beli tu.
Banyak nak kena beli, bukan satu dua je...
Aku kumpul-kumpul duit...baru cukup rm10...
tiba-tiba lauk dekat rumah dah habis...aku bagi mak aku duit tu, aku suruh mak aku beli sardin dengan telur.
Kesian dekat adik-adik tak makan...asyik makan nasi dengan gula je.
Akan datang aku kumpul lagi, dah cukup rm27, nak beli buku ni...
Adik-adik aku mengadu dekat mak, dah lama tak makan ayam...
Aku bagi duit dekat mak aku...tak jadi nak beli buku.
"Mak...amik la ni, pergi beli ayam ye...kesian kat adik-adik teringin nak makan ayam."
Nak tunggu ayah balik rumah lama lagi...ayah dekat sana...kita orang dekat sini.

Apabila tiada duit untuk beli buku dan aku pula lambat faham masa cikgu ajar. Aku pun belajar dekat perpustakaan sampai balik lewat dari sekolah...sebab aku nak berjaya. 
Aku nak bagi tahu yang aku ni tak bodoh lagi.

Kalau kau orang pernah makan nasi dengan gula atau garam...
kita dah boleh kongsi cerita dah...
kalau kau orang pernah makan nasi dengan kicap, 
kita dah boleh kongsi cerita dah...

Bila sekarang aku masuk ke alam sekolah selama 8 minggu. Aku masuk ke kelas tahun 4...kelas hujung sekali...serius, aku tak sampai hati nak marah...sebab, dia orang bukan sahaja ada masalah kewangan, malahan masalah keluarga...mak ayah bercerai, mak tinggalkan ayah, ayah tinggalkan mak...ayah jadi samseng...macam-macam lagi, cara hidup dia orang lagi kurang kasih sayang. lepas aku bual mesra dengan sorang-sorang...satu kelas ada 22 orang. sikit... tapi semua buat kepala...kalau dekat kelas lain, cuma tiga empat orang je yang buat kepala. senang nak tegur. 

Aku tak kira lagi Rancangan Pengajaran Harian...Aku tulis saja...tapi aku buat aktiviti yang memang untuk dia orang...aktiviti yang boleh tolong dia orang..."TOLONG DIA ORANG".
Semuanya bekas pemulihan, memang simpati...

Tambahan lagi, cikgu lain pandang kelas 4 Produktif tu macam takde mata...aku rasa lagi syahdu...
Walaupun suara aku tak kuat untuk kawal kelas...tapi aku tetap nak cuba...

Rancangan Pengajaran Harian hanyalah rancangan di atas kertas...yang penting aku, murid dengan ALLAH.

Aku tak nak lupakan rasa masa susah dulu...masa bodoh dulu...
Dia orang sama macam aku...
Aku bersyukur bila dapat kelas hujung...
Biar la apa nak jadi dengan markah observe...
yang penting kepentingannya ialah mereka, bukan aku.

Nota bergasak Fakta : Kerana kesungguhan itu tiada batasnya. Mereka ibarat cerminan diriku...
Aku : dalam kelas tahun 4 tu, ada seorang budak masa dia tahun 1 pergi sekolah, masa tahun 2 dengan 3 tak pergi sekolah...masa tahun 4 pergi sekolah semula...dia tidak pandai baca langsung. tragik bukan?

Thursday, July 21, 2011

Bila Rasa...

Taat,
Bagaimana penerimaan?
Pendosa,
Berlorong lagi.

Sisa rasa huru hara,
Ibarat kola yang terkuras hilang desisnya.

Sunday, July 3, 2011

Kekasih Lama Sudah Mati

Sayang...
Warkah buat kekasihku yang dicintai dengan penuh sengsara.
Ini surat terakhir abang...
Sayang...abang cuma belajar benda-benda jahat saja.
Baca la benda jahat yang abang belajar ni...baca tau...

Haha, memang tak patut la pakai bahasa ni.
Awak bukan hak saya pun.
Nak berabang sayang bagai...

*********Imbas kembali dosa kita ye sayang*********

Awak...awak nak tau tak...Awak suka jual mahal tau...tu yang saya lagi suka tu...
Saya takkan mengalah untuk dapatkan awak,
Mamat kacuk Cina Ukraine macam saya ni awak nak rejek...
Tapi memang awak dah rejek berkali-kali pun,
Saya tetap cuba,
Bila saya usik, makin awak malu-malu.
Kalau awak malu nampak sangat-sangat...tunduk tersipu siap macam nak cium lantai.
Tak macam awek-awek lain, tergedik-gedik...
Sebab itu saya suka awak, 
walaupun saya samseng sekolah awak pula macam ustazah...
Meskipun, zaman kita takde telefon genggam, cuma pakai ayat manis dan surat jiwang je.
Akhirnya saya dapat juga status "pakwe awak"...

"Tapi awak...saya sedih la,Sebab saya berjuang dapatkan awak...saya lupa, saya ada penjaga yang setia dekat kiri kanan saya, Dia catat apa yang saya buat la awak. Awak...saya malu, sebab saya tak berjuang untuk agama...Sekarang ALLAH tanya...kenapa saya tak amar makruf nahi munkar...saya nak jawab apa? takkan nak jawab, berjuang dapatkan cinta awak pula. cinta ALLAH, agama ALLAH macam mana?"

Awak saya ingat lagi, saya payungkan kepala awak pakai fail keras warna biru...
Saja nak romantik-romantik...lepas balik sekolah.
Biarkan saya tertinggal bas balik rumah,
Janji awak selamat sampai.
Saya lupa la awak...sebenarnya ALLAH yang jaga awak...bukan saya.
Saya hantar awak sampai depan lorong rumah,
Saya tak nak kepala awak kena panas...
Saya marah matahari tengah hari.

"Sekarang padan muka saya...kepala saya pulak yang panas...Kena bakar...sebab mengada-ngada kutuk matahari ciptaan ALLAH."

Awak saya pernah belikan awak bunga,
Saya tinggalkan atas meja awak,
Awak cium bunga tu,
Awak bersin-bersin sebab tak tahan cium bau bunga,
Saya tengok awak dari jauh...kesiannya, ada resdung ke?
Saya pun tukar belikan awak belon,
Comel kan...comel kan?

"Tapi lagi comel kalau saya buang duit tu dekat tabung masjid...Sekarang ALLAH tuntut...ALLAH tanya dekat mana saya hanyutkan duit saya? pada jalan apa? takkan saya nak jawab belikan belon untuk awak tiap-tiap hari"

Awak nampak ayu bila tengah menyapu sampah...
tiap-tiap hari awak saja yang menyapu...tak aci la...
Awak, saya ni gila kan? Saya sanggup menyanyi rapping untuk awak dekat pintu kelas,
Saya menyanyi awak pula menyapu...
Saya saja nak tarik hati awak,
Tak sangka la...awak pun suka lagu-lagu rap,
Saya hafal lirik-lirik lagu rap yang panjang berjela tu,
Demi awak...sampai kawan-kawan semua panggil saya Joe Flizzow...
awak je yang panggil nama saya yang ala-ala Arab tu.
Suatu hari nanti, kalau awak jadi vokal utama, sayalah rappernya...

"Malang sekali awak, suatu hari itu telah manjadi kini, hari-hari yang malang selamanya di alam saya...saya lupa untuk mengaji setiap hari sebab saya tau menyanyi saja...Saya dalam kamar kecil bertanah ini gelap gelita...tak ada cahaya yang suluh saya...awak tau apa...awak tak boleh pun tolong saya bagi lampu suluh ke... jamung ke...lampu stadium lagi la jauh"

Awak...
Saya selalu bagi awak air kotak susu strawberi dan roti jagung.
Hehe...awak makan macam budak-budak...
Comel sangat...dah la mulut tak berhenti bercakap...
Pot pet pot pet...saya senyum je dengar fiksyen awak.
Stail awak yang saya suka sampai bila-bila...
Awak ni pemalu...masih malu-malu macam mula-mula dulu
Walaupun dah kenal....
Saya suka tengok mata awak yang bulat bila biasa-biasa tapi sepet bila senyum...
Awak sedar saya renung awak...awak kan pantang ditenung...
Cepat-cepat awak suruh saya tengok tempat lain...
Eleh... awak tu mengintip saya senyap-senyap boleh pula,
Saya tau lah saya kacak.

"Awak...saya nak mengadu dekat awak, mata saya kena bakar sebab tatap wajah manja awak setiap inci, saya tengok awak dalam-dalam tak berkedip...saya geram tengok aksi comel awak... awak tau kan? saya terbakar menjadi arang, dilenyapkan satu-satu, diwujudkan semula fizikal, dihancurkan hangus semula, berulang-ulang, tanpa kompromi dan tawar-menawar...tak dipedulikan pun awak segala rintihan saya dalam kuali panas ni, seperti mana tak pedulinya saya pada perintah dan larangan ALLAH."

Awak,
Awak istimewa sangat tau...
Setiap hari saya cerita fasal awak dekat member saya, sepupu saya dan orang-orang yang terlibat.
Kawan-kawan saya pun naik meluat.
Saya cakap awak ni ayulah, manislah, sopanlah, kelakarlah, pandailah,
Bestnya kalau awak jadi bini saya,
Padahal masih zaman sekolah lagi tu, baru tingkatan satu...aneh-aneh kan?

"Apa yang saya dapat sekarang? saya minum air yang pelik-pelik awak, sebab selalu cerita fasal awak, awak kan ajnabi buat saya, saya tak boleh cakap-cakap pasal awak. Salah rupanya di sisi undag-undang. walaupun awak awek saya...~~awek je pun...bukan bini~~"


Awak...
Saya tak sangka suatu hari tu,
awak minta putus...saya macam nak gila tau tak...?
Saya hampir bunuh diri...
awak pun tau kan?
Saya dah tak hisap rokok,
Berhenti belasah budak,
Tak pandai ponteng kelas apatah lagi ponteng sekolah,
Ini semua atas nasihat awak,
Saya dah berubah demi AWAK...
Kenapa awak nak pergi ni?
Takpe, 
"Sayang...kamulah pemilik D-majorku"
Saya sudah cipta melodi dari sajak-sajak awak...puas hati? 
Saya tau awak dah cair dengan sikap romantik saya. kita tak jadi putus.

"Awak...saya takut...sebab saya permainkan agama...saya kepanasan dekat sini awak...saya bukan ikhlas berubah kerana ALLAH, ada peluang ke masuk syurga kalau tak ikhlas? huhu...lepas tu, boleh pulak saya melagha sepanjang detik asyik fikir pasal awak...asyik fikir pasal melodi untuk setiap sajak awak..."


Awak... saya ingat lagi kali terakhir,
Masa itu kita tingkatan empat,
Saya makan dekat kantin sekolah dengan awak,
Mula-mula awak halau saya, sebab awak tak suka dating.
Tapi saya goda awak sampai berjaya.
Awak minta kicap dekat makcik kantin,
"Awak suka makan kicap ek?" Saya bertanya dengan serius.
"A'ah...hee...(sambil tersenyum manis)" Awak menjawab dengan manja.
Saya balik rumah...dan petang itu saya berkira-kira,
Saya nak keluar rumah beli kicap,
Rumah saya takde kicap...takut satu rumah jadi hitam...hee...
Petang ituu saya buat dosa lagi,
Dengan amarahnya keluar rumah kerana emak saya tak bagi saya pergi sebab dah nak habis senja masa tu,
Saya bekeras juga...tak kira apa,
Saya nak rasa macam awak rasa...sedap ke kicap tu?
Baru saja saya keluar lorong rumah ke jalan besar...
Tiba-tiba, ada sebuah kereta mercedes telah mencium punggung motosikal saya,
Saya tercampak melambung ke langit dan jatuh ke bumi dengan disambut oleh kereta BMW pula,
Tragik bukan awak?

"Saya mati dengan cara derhaka pada orang tua...saya kecilkan hati mak saya...saya menengking mak saya. dosa besar...awak tau...demi kicap awak, saya mati...cukup gerun wajah-wajah malaikat memandang saya. Bukan lagi wajah manja awak yang saya tatap. Sakit sehhh kena pepah dekat sini, awak tak tanggungjawab pun."

"Fuhh...selamatlah awak tak bagi saya pegang tangan awak...kalau tak, saya tak tau la apa jadi dekat saya...bertambah parah jawabnya."

Esok pagi pengumuman di sekolah,
Awak terdiam mendengar saya sudah mati...
Terdiam kenang abang ke? kenang dosa? sayang...
Yelah, biasanya kan orang cakap...
"Sedihnya pakwe dia dah meninggal, biarlah putus je, janganlah putus sebab mati"
Takde maknanya sayang ayat-ayat tu...menipu nista cuma.

1000 tahun macam sehari sayang...seminit macam nak mati...
Macam tu lah rasa dekat SINI,
Semoga sayang dekat sana tak bermain cinta lagi.
Takut-takut dekat sini main dengan kala jengking dan binatang berbisa lain,
Mulut dah tak berfungsi sayang, yang ada cuma anggota bercakap-cakap,


Surat ni abang tulis dari neraka,
Abang titipkan salam Malik sekali buat sayang,
Maafkan abang sayang sebab bawa sayang masuk ke dunia bahagia macam celaka!

Terakhir kalinya, Kenangku didalam dosamu!

AKU : Ini entri terakhir aku, aku nak rehat selama dua bulan dari arena mengetik dan menaip, Aku nak pergi mengajar dekat sekolah, doakan kejayaan aku semasa praktikum fasa 2 ni, aku ada masalah nak kawal bilik darjah sebab suara perlahan sangat dan tiada intonasi. Serius...depan anak murid aku bertukar 100%... Semoga segalanya menjadi semakin baik daripada praktikum fasa 1. Untuk pengetahuan awam, budak-budak sekolah rendah sangat comel untuk dimengerti...