Hamba hingga akhirnya

My photo
Aku hanya seorang hamba ALLAH yang kerap buta pada terang cahaya,sering celik pada gelap lorong yang hujungnya mati jiwa, tapi keraguan itu hanya semalam yang caci. Ya ALLAH, relakan aku menangis kerana mendengar kebenaran, jangan biarkan aku ketawa sedangkan di dalamnya penipuan.

Sang Penulis

“Semua penulis akan mati. Hanya karyanyalah yang akan abadi. Maka tulislah sesuatu yang membahagiakan dirimu di akhirat nanti” (Ali bin Abi Thalib).

Thursday, September 9, 2010

Drama Raya...Emak...

Deru enjin kereta semakin perlahan...mencecah halaman rumah Mak Nah. Seorang budak perempuan keluar dari kereta sambil di tangan membawa makanan. Makanan itu dibungkus buat ibu saudaranya di rumah. Rumah ibu saudaranya tidak jauh...cuma makan masa tiga minit sahaja. Cuma Soto Nasi untuk menambah selera berbuka puasa Mak Nah yang makin larut. Puasa Mak Nah tanpa teman, sudahlah hidup menjanda mati suami, anak-anak tiada di sisi...raya nanti entah balik entahkan tidak.

"Assalamualaikum Mak Nah...jauh menung...fikir apa lah tu kan..." Kata Laila dalam nada mengusik.
"Waalaikumusalam...Laila, masuklah...Mana ada Mak Nah termenung." Mak Nah sedikit terkejut kerana lamunannya terhenti. Mak Nah sembunyikan sesuatu daripada Laila.

"Mak Nah...rindukan anak-anak ye?" Soal Laila sambil melabuhkan punggungnya di sebelah Mak Nah. Laila mencari tangan Mak Nah dan digenggam lembut.
"Bertuah budak ni, pandai meneka ye dia...mak mana tak rindu anak Laila." Balas Mak Nah sambil matanya seperti mengharap sesuatu yang sepatutnya dimiliki tapi menjauh.

"Mak Nah janganlah sedih, raya nanti baliklah dia orang." pujuk Laila menyakinkan ibu saudaranya.
"Entahlah...memang tak balik...Abang Noor kau balik Kelantan, Kak Lina balik Jengka, Abang Din balik Kulai, Abang Ajib Balik Kelantan juga. Tinggal Mak Nah sorang kat sini." Mak Nah membalas, seperti mengeluh nada yang dilepaskan. Perlahan-lahan tangan Laila dileraikan. Dia menyeka air matanya kerana bening jernih itu mengalir jua akhirnya di garisan kedut bawah matanya.

Laila merasakan sendu hati Mak Nah. Mak Nah sudah seperti tiada kepercayaan lagi untuk mendengar kata-kata bahawa anaknya akan balik. Laila terus melayan Mak Nah yang seakan-akan selesa untuk meluahkan perasaannya. Laila cuba menjadi pendengar yang baik. Hati orang tua bukan senang dibaca. Laila cuma terjemah kata-kata Mak Nah melalui pengalaman yang dilihat. Dia sendiri melihat dan menyelami perasaan atuknya yang tiada anak sudi pulang menziarah. Kalau pulang pun, raya yang kelima. kata orang 'dah takde feel dah'...

Tiba-tiba Laila teringat kata-kata ayahnya...

"Orang tua kalau berharta, anak semua sayang, tapi bila dah takde apa-apa...nak cuit pun tak selera."

Laila kembali menyambung perbualan dengan Mak Nah, mereka terhenti sebentar tadi kerana Mak Nah menitiskan airmatanya. Laila tidak sanggup bertanya lebih. Dia tidak mahu Mak Nah bertambah sedih.

"Abang Ajib mesti balik raya...dia kan buah hati pengarang jantung Mak Nah. Dia balik Kelantan sehari dua je tu. Nanti balik la ke Johor." Kata Laila.

"Dah takde dah buah hati ke...buah jantung ke...Mak Nah takde apa-apa lagi Laila, dia ada bini dia." Mak Nah menjawab dalam nada sekata. Dia seperti sudah tawar hati dengan anak bongsunya. Anak yang disangkakan tempat bergantung sakit pening masa tuanya. Kini, menjadi lelahan kasih yang semakin pupus.

"Mak Nah jangan la cakap macam gitu, anak lelaki kan hak atas ibunya...Abang Ajib ada Mak Nah dulu, baru bini dia..." Laila berkata seperti di angin lalu kerana hati Mak Nah ibarat kaca berderai. Bisa hatinya sangat dalam walaupun tidak berdarah.

"Mak Nah ingatkan Abang Ajib macam ayah kau, anak bongsu...ajak bini duduk serumah dengan mak mertua, mampu jaga mak sampai akhir hayat. Kalaulah bini Abang Ajib macam mak kau, sanggup satu rumah dengan mak mertua...sujud syukur Mak Nah dibuatnya. Ini tidak, dia orang laki bini nak jenguk pun tak sudi." Mak Nah semakin berkecil hati.

Laila rasa serba salah kerana membuka cerita tentang Abang Ajib. Laila cuba menggembirakan Mak Nah dengan mengaitkan nama anak bongsunya tetapi keadaan menjadi sebaliknya, bertambah muram. Abang Ajib sudah berubah sejak berkahwin. Dia lebih selesa menurut permintaan isterinya berbanding ibunya. Dia sepatutnya lebih menjaga ibunya yang sudah janda, tinggal seorang diri di kampung. Dunianya kini sudah terbalik.

"Mak Nah masih boleh beraya dengan Abang Din. Dia cuma balik Kulai je kan...nanti boleh la balik Pontian." Laila meneruskan kata-kata yang sewajarnya dituturkan. Dia juga lemah segala urat apabila melihat nasib orang tua jadi begini.

"Abang Din kau kata, dia nak Mak Nah sambut raya pertama kat Kulai, rumah mak mertua dia...Mak Nah malu la Laila. Macam Mak Nah ni takde rumah pula. Nak beraya kat rumah orang." Mak Nah menerangkan dengan penuh semangat.

"Mak Nah, tak pernah dibuat orang beraya kat rumah besan. Lebih baik Mak Nah beraya kat rumah Laila. Takkan la Mak Nah nak sambut sorang diri kat rumah ni. Pagi raya nak pergi masjid takde sesiapa nak hantar. Kalau beraya kat rumah Laila. Boleh pergi sembahyang raya sama-sama. Ayah Laila tu adik Mak Nah, lebih baik beraya kat rumah adik daripada rumah besan." Bersemangat Laila mengajak Mak Nah untuk menyambut raya pertama di rumahnya.

"Eh...tak payah susah-susah...Laila...Mak Nah boleh hidup sorang-sorang." Mak Nah menjawab dengan tegas. Dia seperti menunjukkan bahawa dirinya kuat.

Laila tidak senang hati mendengar kata-kata Mak Nah. Apalah rasa menyambut hari raya pertama seorang diri. Dia ingin mengajak Mak Nah tetapi tidak tahu lagi cara untuk memujuk. Laila hanya berharap Mak Nah sihat dan selamat duduk seorang diri di rumah ini. Laila mendiamkan diri. Dia melihat Mak Nah mencedok lauk ke dalam bekas makanannya. Mak Nah memberikan roti jala bagi membalas makanan berbuka puasa yang diberikan oleh Laila seawal tadi.

"Takpe la Laila... Mak Nah tunggu je la, Abang Noor balik dari kelantan nanti, dia kata raya ketiga nak datang sini. Nak mengharap Kak Lina balik kampung sini dah tak boleh. Dia milik suami." Mak Nah berkata dengan tabahnya sambil tersenyum.

"Laila harap, Mak Nah jangan sedih-sedih lagi tau...senyum macam ni la baru manis, kalau sedih nanti masam muka, cepat tua..." Laila cuba melebarkan lagi senyuman Mak Nah sambil tangannya menggeletek badan ibu saudaranya.

"Nak muda macam mana lagi, memang dah tua pun...ada-ada je budak ni." Mak Nah tersenyum sambil memiat telinga Laila.

Mereka berdua tertawa kecil. Laila terfikir sejenak...apakah yang akan berlaku pada dirinya, adik-beradiknya dan ibu bapanya apabila semua sudah berkahwin dan mempunyai keluarga masing-masing. Adakah masih ada waktu terluang buat ibu bapanya? Apakah dia mampu melakukan hal yang sama seperti ayahnya? Laila tidak mahu hanyut dengan angan-angan tentang masa depan. Dia juga tidak berani berjanji dengan masa depan. Dia hanya mahu cuba melakukan yang terbaik dalam hidup.  

tips : kalau nak balik kampung, rancang betul2...kalau tahun ni Abang Long balik kelate...Ucu balik la Johor...Kalau tahun ni kak Ngah balik Jengka...Abang Uda balik la Pontian...l.epas tu, raya tahun depan pusing la balik semula...ganti2...MAKA, TAK LA MAK TU BERAYA SORANG2...KESIAN...

PESANAN : SILA GUNAKAN AKAL SEBAIKNYA DAN BERBINCANG DALAM KELUARGA DEMI KEGEMBIRAAN IBU DAN BAPA ANDA....SELAMAT HARI RAYA...MAAF ZAHIR DAN BATIN