Hamba hingga akhirnya

My photo
Aku hanya seorang hamba ALLAH yang kerap buta pada terang cahaya,sering celik pada gelap lorong yang hujungnya mati jiwa, tapi keraguan itu hanya semalam yang caci. Ya ALLAH, relakan aku menangis kerana mendengar kebenaran, jangan biarkan aku ketawa sedangkan di dalamnya penipuan.

Sang Penulis

“Semua penulis akan mati. Hanya karyanyalah yang akan abadi. Maka tulislah sesuatu yang membahagiakan dirimu di akhirat nanti” (Ali bin Abi Thalib).

Saturday, January 7, 2012

Tiada Berita

Dia tidak tahu hendak dibuat apa tepung pulut yang tinggal sedikit berbaki di dalam tong putih itu, daripada dibiar baik dibuat makanan, bibirnya berbisik. Dia potong halus gula melaka. Dia bancuh tepung pulut itu, diletak sedikit tepung gandum biar pejal tidak melekat-lekat pada tekak semasa dimakan nanti. Dia uli tepung sampai sesuai padunya.  Dia membulatkan tepung itu kecil-kecil setelah diisi dengan gula melaka potong di dalamnya. Air panas dibiar mendidih di atas dapur, daun pandan dicampak ke dalam periuk itu mewangikan aroma Buah Melaka semasa direbus. Kelapa parut sudah bergaul garam untuk lidah rasa lemak-lemak. Buah Melaka yang siap direbus tadi, digolekkan atas kelapa parut itu. Ayah makan saja, tidak kisah siapa air tangannya, sama ada emak atau anak perempuannya. Petang cuma itu menunya. Buat manis mulut orang di dalam rumah. Dapur dibiar sunyi. Iza mencari ayahnya di meja luar rumah.

"Ayah, kadang-kadang tiada berita itu ialah berita yang baik, kan?" Iza berkata sambil menghulurkan sepinggan Buah Melaka pada ayahnya.

Hanya Iza dan ayahnya sama-sama merasa angin menyapu pipi. Damai sungguh halaman ini. Rumah ini benar-benar cuma ada pokok sekelilingnya. Biar orang bilang hutan, janji ini syurga kami. Iza pandang pokok pisang yang sudah mula masak. Pokok petai pula lambat lagi agaknya hendak berhasil. Pokok rambutan sudah mati musimnya. Tapi masih ada cintanya, pokok itu bukti cinta ayah dan emak semasa baru berkahwin.

"Kenapa petang ni lain macam je?" Ayahnya mula pelik dengan ayat yang diutarakan Iza secara tiba-tiba. Ayahnya membetulkan duduknya.

"Ayah perasan tak? sejak kecil ayah terpisah jauh, kerja jauh, kita hidup baik-baik saja walaupun jauh." Iza tak pandai meluahkan kata-kata yang bersesuaian.

"Maksudnya, makin jauh makin bagus?" Ayahnya terus bertanya.

"Bukan, hmm...ye..." Keliru mahu menjawab.

"Haha, tak habis-habis keliru. Bilalah nak pandai buat ayat keputusan yang muktamad ni." Gaya seorang ayah menegur anaknya. Biar melangkah dewasa tetap juga patut ditegur. 

"Hee...hmm...macam gini, bila ayah duduk jauh dari kita orang, kita orang semua jadi pandai berdikari dengan emak. Tiada khabar berita pun masih lagi boleh hidup. Macam gitulah." Iza menjawab.

"Ayah tahu anak-anak semua selamat. Ada ALLAH dalam hati. Kita boleh hidup aman walaupun terpisah." Ayah jawab bersahaja. Ayah membetulkan hujung tudung anaknya sesudah dihempas angin yang agak kuat.

"Hakikatnya kita memang akan terpisah ayah. Memang." Iza cuma menunduk. Dia tahu ayahnya tahu bicaranya.

"Ye, kita hidup untuk terpisah dari nikmat. Iza merupakan salah satu nikmat dalam hidup ayah. Kehilangan boleh berlaku bila-bila masa." Ayahnya redha, ini hakikat.

"Bila-bila masa." Iza diam selepas halus keluar bahasa itu.

"Iza tahu, ayah cuma guna hati, untuk tahu hati anak juga tahu hati ayah." Ayah membalas.

"Subhanallah, kuatnya perasaan tu. Ayah tak rasa kecil hati kalau kita kadang-kadang terlalu sibuk sampai lupa mesej dan telefon ayah?" Iza bertanya.

"Ayah tak nak memaksa kasih sayang anak, sebab itu macam Iza cakap tadi, tiada berita ialah berita yang baik. Cukuplah ayah khabarkan berita itu dalam doa." Ayah menutup perbualan.

"Terima kasih ayah atas khabar berita itu." Iza menyahut lembut. Dia nampak ayahnya memendam tabah dalam derita, pada kedut-kedut wajah dia seorang lelaki yang selalu gembira, hendak marah-marah, jarang sekali. Segala kepayahan ayah buang di luar pintu rumah, tidak sekali-kali dibawa masuk tunjuk depan anak-anak. Ayahnya lelaki yang paling dihormati biar dia tidak sehebat ayah orang lain.

"Sejak dari dulu, ayah tiada bekal wang untuk Iza belajar, tak macam anak orang lain merasa senang. Maafkan ayah, nak. Jangan risau, lepas ayah sihat dari sakit ni, ayah bina kekuatan untuk kerja balik semula, semangat emak seratus peratus dalam diri ayah. Semangat anak-anak berganda-ganda dalam diri ayah." Ayahnya mahu menghentikan perbualan. Ayah Iza telah memperempuankan mata lelakinya.

"Bagi saja duit itu untuk keperluan adik-adik belajar, Iza tak perlu dirisaukan, Iza dah ada elaun. Ayah, kita menangis bukan untuk semalam, kita tersenyum juga bukan untuk hari ini, kita sesudahnya hanya kenal mati. Ayah berjuang sampai hujung nyawa, Iza faham. Ayah jangan penat-penat kerja ye. Iza risau." Iza  memadamkan perbualan. 

Cuma tinggal hanya dua tangan bergenggam erat di atas meja kayu. Tanda kasih dan kekuatan.

*******************************

Dalam situasi lain yang kejauhan,

"Allahuakbar...Allahuakbar..." Azan berkumandang di masjid. 

Iza menyarung telekung, dengan segera menapak ke surau yang berada dalam asrama perempuan. Memudahkan dia menghilangkan kerunsingan. Dalam hati, "cepat-cepat jalan, sempat untuk berjemaah ni." Selesai itu, bina kumpulan kecil perbincangan buat peringatan. Meneruskan sunnah Rasul. Berkongsi sedikit ilmu yang ada. Ini sungguh menenangkan. Damai. Semacam lain, rasa sejuknya hati.

Benar, tiada berita itu ialah berita yang baik.
Ye, tiada khabar itu ialah khabar yang baik.
Kerana khabar dan berita itu telah menjadi doa.
Kami selamat walaupun masing-masing berjauhan.
Kerana khabar itu dihubungkan oleh Tuhan Maha Menjaga.

Kita perlu merasa jauh untuk mengenal dekat. 

No comments: