Hamba hingga akhirnya

My photo
Aku hanya seorang hamba ALLAH yang kerap buta pada terang cahaya,sering celik pada gelap lorong yang hujungnya mati jiwa, tapi keraguan itu hanya semalam yang caci. Ya ALLAH, relakan aku menangis kerana mendengar kebenaran, jangan biarkan aku ketawa sedangkan di dalamnya penipuan.

Sang Penulis

“Semua penulis akan mati. Hanya karyanyalah yang akan abadi. Maka tulislah sesuatu yang membahagiakan dirimu di akhirat nanti” (Ali bin Abi Thalib).

Thursday, November 3, 2011

Tamu di Masjid Telok Kerang (1)


Musim hujan yang mula merancak, membimbing kegusaran hati mendarat tepat pada arah yang terpandu. Sejuk dan sayu. Rintiknya yang amat manja dan nakal, kadang-kadang lebat, kadang-kadang titis perlahan-lahan. Cubaan untuk memutarkan kembali masa seakan gagal total. Semalam tidak bisa didakap semula. Apabila sudah bertandang keampunan dari Rabbul Izzati, tidak mengapa. Oleh sebab masa hanyalah teman kepada perjalanan yang panjang, bermula dari satu langkah.

Di tiang masjid Telok Kerang, bersandar sebatang tubuh manusia hina dengan akal sependek mata kail yang gigih melawan kedalaman lautan samudera. Lalu, kalah dalam perang tempur armada laut. Kapal hati sudah menjadi sarang jenayah maksiat, lantas karam pada dasarnya. Diri mula rebah dan lemah. 

Seluruh tubuh menggigil bukan kerana kesejukan, tetapi ketakutan yang mencengkam saraf kognitif oleh kerana momentum dari kenangan dosa lalu. Dosa itu berirama halus "takkan aku biarkan kau pergi walaupun jasad ini sudah terkubur mati".  Ah! tekad dan motivasi dikumpul semahunya untuk melontar jauh, hati yang kecamuknya terlalu, seakan orang yang tidak bertuhan.

Tidak lagi mahu berdiam diri dalam dosa. Tidak akan hanya menunggu sekuntum kemboja gugur di hujung ranting. Mengikut janjiNYA, pada tanah kembalinya. Tubuh yang bersandar itu separa badannya tertunduk longlai. Lemah lesu jiwanya. Ratapannya ibarat daerah tanpa pagar.

"Kadang-kadang kita jauh, kadang-kadang kita dekat. Assalamualaikum." Terdengar halus bisikan suara dari arah belakang. Selepas sahaja sederap kaki lembut menapak pada lantai rumah Allah.

"Ehem...Waalaikumusalam." Aku berdehem untuk menyembunyikan duka dan lekas-lekas membuat muka ceria. Tersentak juga hati yang sedang mengelamun ini. Terkejut kerana didatangi oleh insan lain.

"Falsafah manusia, puisi manusia, teori manusia yang aku jumpa, tiada yang mampu menyamai kata DIA. Kau ni siapa? macam bukan budak sini, sebab aku tak pernah nampak sebelum ni." Diam-diam ada insan telah mendekati aku. benar-benar bersebelahan kedudukannya. Ruang masjid seakan memahami kami. Sunyi dan menenangkan.

"Aku bukan budak sini, cuma berhenti solat." Dia pandang aku. Bukan pandang. Tapi merenung.

"Oh, apa khabar?" setelah beberapa minit berlalu, barulah dia bertanya khabar.

"Baik, Alhamdulillah." Aku membalas.

"Bukan kau, tapi hati kau?" Dia bertanya sambil memegang bahagian badanku yang terletaknya hati. Aku memandang matanya setepat yang mungkin. Dia membalas pandanganku. Aku kalah.

"Hmm...sesak sikit, macam mendaki bukit sambil bawa beban." Aku tersenyum sikit kerana seakan terikat untuk menangis, lalu dengan pantas menundukkan kepala. Bingung dengan jawapan sendiri.

"Aku faham keadaan kau. Pernah rasa suatu ketika dulu, dan perasaan itu masih segar. Tak perlu mendaki bukit lagi, marilah...kita sudah sampai sebenarnya." Sambil mengenyit mata.

"Apa yang kau faham dari luaran aku?" Aku mulai hairan dengan dia yang membaca pemikiranku. "Macam mana dia boleh tahu?" bisik hatiku. Aku membetulkan kedudukan dan kali ini lebih berani untuk berkongsi suara hati. Jemariku bermain-main dengan benang hujung tasbih semasa menunggu bicara darinya.

"Kalimah ALLAH sudah menjadi jalan kau. Kau sedang menuju satu, sekarang ada dalam medannya. Setiap hamba pasti jumpa jalan pulang. Sekarang kau sudah pulang dan sudah sampai, maka pegang tali ALLAH ini erat-erat, ibarat kuatnya tali yang mengikat butir-butir tasbih pada tangan kau." Kata-katanya perlahan-lahan meresap ke dalam nadiku, dan terus-menerus menyejatkan darah retinaku.

"Kau benar-benar memahami. Terima kasih." Mataku tertutup menahan hiba. Indahnya ukhuwah yang tak disangka.

"Sebenarnya aku tak faham satu pun pasal diri kau, ALLAH saja yang faham, dan kau sendiri juga belum tentu faham." Dia membuka buku persoalan baru.

"Hah?" Aku angkat kening tanda keliru.

"Perancangan ALLAH tu halus dan kemas. Kita manusia cuma perlu siap sedia, termasuklah saat ALLAH panggil kau untuk bercinta denganNYA. Saat sekarang yang kau rasa. Hanya ALLAH yang penuh dalam hati kau. Jangan ikut gerak langkah macam kebanyakan orang lain." Tangannya menyelak Quran tafsir, dia tunjuk pada aku surah Al-An'am ayat 116.

Aku membisu. Dia menepuk-nepuk bahuku.

"Haa...Kan?" Barangkali dia menginginkan sebarang reaksi dari aku selepas membaca ayat ALLAH itu tadi. Cukup comel.

"Biar terasing sikit dari manusia. Janji bukan asing bagi ALLAH. Kebanyakan mereka adalah kebohongan semata." Habis aku simpulkan. Semakin faham.

"Jalan dekat dunia ni terang, kita je yang gelapkan...aku, kau dan manusia lain yang lupa. Harap-harap lupa seketika sajalah." Dia benar. Aku beristighfar mendengarnya.

"Marilah, bacakan aku kecintaan daripada Tuhan." Aku menyerahkan Quran Tafsir kembali pada tangannya.

"Baiklah. Semoga terhibur ye." Dia benar-benar memaksudkanya. Aku mengangguk dengan penuh semangat. Sudah mendapat tenaga baru. Pencerahan yang didambakan. ALLAH bimbinglah aku.

p/s : bakal bersambung...

No comments: