Hamba hingga akhirnya

My photo
Aku hanya seorang hamba ALLAH yang kerap buta pada terang cahaya,sering celik pada gelap lorong yang hujungnya mati jiwa, tapi keraguan itu hanya semalam yang caci. Ya ALLAH, relakan aku menangis kerana mendengar kebenaran, jangan biarkan aku ketawa sedangkan di dalamnya penipuan.

Sang Penulis

“Semua penulis akan mati. Hanya karyanyalah yang akan abadi. Maka tulislah sesuatu yang membahagiakan dirimu di akhirat nanti” (Ali bin Abi Thalib).

Monday, May 3, 2010

Rumah Berkat (Bahagian 1)


Dia memandang dan merenung bumbung Gerbang Selatan sambil sekali-sekala matanya mencuri pandang pada kenderaan yang berpusu-pusu pulang dari kerja di laluan lebuhraya menghubungkan antara Johor Bahru dan Woodlands. Sistem perhubungan jalanraya yang tidak sistematik ini menyebabkan kesesakan lalulintas kepada semua orang. Matanya masih melihat laluan itu, orang ramai menuju ke arah berlainan sama ada Pusat Bandaraya Johor Bahru atau Singapura. Dia yang bernama Adam, sering sepi kerana kurang kasih sayang akibat terhimpit dek masalah ayah dan ibunya. 
Adam lebih rela memainkan lagu buntu dihati, madah sendu di jiwa, nada longlai dalam nyawa yang kanan dan kiri tiada bahagia. Adam hanya memandang dunia dan tertanya mengapa aku tidak bahagia seperti keluarga lain...?  Sepi yang berakar hanya diluahkan dengan menikmati wayang dunia dengan ragam manusianya, angin sepoi-sepoi bahasa yang bertiup di sudut balkoni rumahnya yang berada di tingkat tujuh Kuarters Polis Bukit Chagar, melegakan hati Adam yang sepi dan tersepit antara marah dan nilai hormat. Adam hanya mendiamkan diri atas perkara yang dilakukan oleh ayahnya.
“Ayah, wangi semacam ni, nak pergi mana? Ayah, mak tengah sakit kat hospital, ayah masih lagi nak...” belum sempat Adam menghabiskan ayatnya.
“Ayah ada urusan, Adam sibuk-sibuk ni kenapa? Mak sakit nanti sihatlah...apa susah.” Balas Pak Mail yang telah memotong ayat anaknya.
“Ayah...Adam ingat nak tengok mak malam ni, kalau boleh nak ganti abang jaga mak kat hospital, kesian abang penat, dia dah jaga mak seminggu.” Pinta Adam pada Pak Mail.
“Kau pergi la sendiri, tak payah ajak ayah...,ayah nak keluar malam ni,” kata Pak Mail.
“Ayah nak pergi jumpa Cik Sara kan?” soal Adam sambil mukanya agak tidak puas hati.
“Adam, kamu jangan kurang ajar,” balas Pak Mail.
“Adam kurang ajar, atau ayah yang kurang ajar selama ni?” soal Adam dengan marahnya.
Satu penampar yang bukan lagi sulung menyinggah muka Adam yang putih bersih itu. Kulit cerahnya menyerlahkan kesakitan tamparan hingga kemerah-merahan. Tegangnya urat Adam tidak setanding tegangnya perasaan hati terhadap ayahnya. Adam tidak hairan dan pelik lagi, dia sudah terbiasa dengan tamparan dari ayahnya. Wajah yang jadi cerminan diri hanya layak untuk ditampar, ditumbuk, dipijak dan disesah oleh ayahnya, itulah perkara yang tersemat dalam kepala Adam.
“Hah! Sudahlah, malas aku layan budak mentah.” Teriak Pak Mail.
Adam hanya terduduk diam kerana kepala yang berpinar-pinar masih terasa selepas ditampar. Dia bangun kembali dengan segera dan mengejar ayahnya hingga ke lif, dia sedaya upaya ingin menghalang ayahnya. Tetapi gagal.
Adam kembali menapak lemah menuju ke rumahnya. Tidak disedari jam kini menunjukkan waktu hampir Maghrib. Dia tersedar setelah disapa dengan laungan azan Maghrib yang berkemundang di corong surau Rumah Berkat. Rumah yang menjadi tempat anak-anak yatim Johor Bahru berteduh dan melangsungkan hidup. Masa yang menjadi tanda kebahagiaan bagi anak-anak ini ialah lawatan atau kunjungan pihak sukarelawan luar. Mereka akan terhibur dengan layanan dan keprihatinan masyarakat luar. Tetapi, bukan semua masyarakat memandang kehadiran anak-anak yatim ini yang sentiasa inginkan bantuan dan sokongan.
Adam sangat gemar mendengar laungan azan yang lunak dan merdu itu. Lebih sedap dari suara Siti Nurhaliza dan Mawi AF3. Adam tahu yang itu ialah suara Zaim. Zaim ialah rakan sebaya yang tiada ibu dan ayah sejak umurnya empat tahun. Zaim merupakan anak contoh dalam teratak indah itu. Zaim seorang yang berkebolehan dalam segala hal, dan dia juga seorang anak yang taat pada Allah dan mampu menerangkan ruang lahad arwah ibubapanya di alam barzakh sana.
Setiap kali azan, mesti Adam akan menuju ke ruangan balkoni untuk mendengarnya dengan khusyuk. Surau Kuarters Polis Bukit Chagar turut sama melaungkan azan tetapi lambat tiga minit selepas laungan dari surau Rumah Berkat.
Adam dan Zaim ialah teman rapat. Namun, hubungan mereka dipisahkan oleh pagar hijau yang menjadi penghalang antara Rumah Berkat dan Kuarters Polis tersebut. Adam dan Zaim selalu berbual sambil duduk pada longkang kecil di tepi pagar itu. Bukan mudah bagi orang luar masuk ke dalam ruangan Rumah Berkat itu. Lagi-lagi budak macam Adam, nampak macam budak jahat. Maka, mereka hanya menjalinkan persahabatan yang dihalang oleh pagar besi hijau yang barkait silang itu.
Adam menutup pintu balkoni dan menuju ke bilik mandi untuk mengangkat air sembahyang. Dia berlari-lari anak menuju ke lif untuk mengejar Surau di bawah bagi bersama-sama mengerjakan solat maghrib secara berjemaah.
“Assalamualaikum warahmatuh Allah...” Imam mengucapkan salam akhir selepas tahiyat akhir dan diikuti oleh makmum.
Imam dan makmum membaca wirid dan doa. Jatuh berderai air mata Adam apabila mendengar ayat “Kasihi dan kasihanilah kedua ibubapaku sepertimana dia mengasihiku sejak dari kecil...”
 nota kecil : akan bersambung...

No comments: