Hamba hingga akhirnya

My photo
Aku hanya seorang hamba ALLAH yang kerap buta pada terang cahaya,sering celik pada gelap lorong yang hujungnya mati jiwa, tapi keraguan itu hanya semalam yang caci. Ya ALLAH, relakan aku menangis kerana mendengar kebenaran, jangan biarkan aku ketawa sedangkan di dalamnya penipuan.

Sang Penulis

“Semua penulis akan mati. Hanya karyanyalah yang akan abadi. Maka tulislah sesuatu yang membahagiakan dirimu di akhirat nanti” (Ali bin Abi Thalib).

Friday, May 14, 2010

Rumah Berkat (Bahagian 4)


Zaim sudahpun menelan tiga biji ubat pada subuh tadi. Walhal dalam induk akal fikirannya, dia sudah penat menyusurkan dadah ini dengan air suam pada kerongkong tekaknya. Dadah ini hanya untuk menahan sakit bukan merawatnya.  Zaim tahu dirinya semakin senja. Andai pada waktu ini rakan yang lain masih lagi mampu tegak berdiri. Dia sudah punya daya yang lemah longlai, kaki yang semakin longgar untuk menapak dibumi, sesekali rebah tidak tentu pasal. Hanya orang dalam Rumah Berkat yang mengetahui.
Tidak bagi Adam mengetahuinya, itu pendirian Zaim.
Zaim mengatur langkah menuju ke Hospital Sultanah Aminah. Mukanya sedikit pucat. Hujan yang gugur merintik semakin rancak dan galak, menyukarkan perjalannya. Dia takut dengan hujan, kerana kepalanya akan segera sakit jika dihentam air asid ini, lagi-lagi sedang beraksi ganas pada ketika ini. Zaim harap topi keledar yang dipakai mampu melindungi kepalanya. Hari ini merupakan pertemuan antara dia dan lelaki berjubah separuh putih itu. Ini bukan janji temu yang pertama.
Zaim menjalani kemoterapi...sakitnya yang amat. Rambutnya gugur setiap kali menjalankan rawatan yang menyakitkan ini. Zaim cuba menenangkan dirinya sendiri, semasa nyawaku dijemput adalah lebih sakit berbanding rawatan ini, begitulah pada pundak fikirannya. Rasa sakit tiada nilai dipertaruhkan, hanya terganti dengan kolam jernih yang bergenang di tubir mata.
“Terima kasih doktor Salam, dua minggu lagi saya datang lagi.” Kata Zaim setelah menjalani kemoterapi. Zaim sangat lemah. Mukanya pucat manai macam orang tak makan seminggu.
“Saya cuma menjalankan, kamu yang menghidapi dan menghadapi, ternyata kamu kuat semangat Zaim, kamu tak menjerit kesakitan macam pesakit lain, susah saya nak layan, hehe...” Balas bicara dari doktor Salam sambil tertawa kecil.  Doktor Salam merupakan doktor yang mengawal tahap perkembangan penyakit yang dihidapi Zaim.
“Saya minta diri, balik dulu ye doktor Salam.” Zaim mengundur diri untuk pergi.
“Baiklah, jangan lupa ambil ubat ikut waktu, jangan fikir banyak masalah tau. Hati-hati dekat jalan raya nanti.” Pesanan dari doktor Salam bagaikan pesanan dari seorang ayah.
“Assalamualaikum...” salam dihulur dari lidah Zaim.
“Waalaikumusalam...” Dibalas oleh Doktor Salam.
Zaim pergi dan mulai hilang dari pandangan mata doktor Salam. Doktor Salam hanya menitipkan doa di dalam hati, agar Zaim semakin tabah tanpa ibubapa di sisi. Dia mampu mengharunginya sendiri... doktor Salam mengangguk lembut kerana kagum pada ketabahanya, diwajah Zaim masih ada simpulan senyuman yang menguntum.
*********************************
Adam sudah lama di ruangan Menunggu Giliran, dia ke hospital untuk melawat ibunya. Adam berjalan di laluan itu untuk menuju ke kantin. Tiba-tiba, tanpa disedari dia terlihat Zaim keluar dari Bilik Kemoterapi sambil berbual dengan doktor. Adam mengesyaki sesuatu setelah melihat wajah Zaim sangat pucat berbanding biasa. Adam memerhatikan Zaim dan doktor tersebut dari jauh.

Seperti biasa, doktor Salam menjenguk wad 8, bagi meneruskan tanggungjawabnya pada pesakit lain pula. Tiba-tiba ada suara menyapa...
“Doktor, pesakit tadi...dia sakit apa?” Soal Adam.
“Dia sakit... Anak ni siapa?” doktor Salam tidak meneruskan jawapan, dia tertanya-tanya siapa agaknya gerangan yang bertanya ini.
“Saya Adam, kawan Zaim...kawan baik, kawan rapat...doktor dia sakit apa? Tolonglah bagi tau saya, tak mungkin kan dia datang sini saja-saja.” Adam mengasak doktor Salam dengan rayuan.
“Dia sakit, hmmm... kanser otak.” Lama sekali doktor Salam ingin mengatakannya.
“Ya Allah betul ke doktor?” sa...sa...saya nak cari dia. Saya pergi dulu. Terima kasih atas maklumatnya.” Adam berlari meninggalkan doktor Salam untuk mencari Zaim, walaupun dia tidak tahu Zaim di mana, dia tetap ingin mengejarnya.
“Sama-sama...” doktor Salam menyahut seperti berkata seorang diri kerana adam sudah lari begitu saja.
Adam masih mencari-cari jejak bayang Zaim. Dia mengagak Zaim mungkin berada di tempat letak kenderaan. Ternyata firasatnya tidak tersasar jauh. Zaim memang berada di situ.

Zaim berada di atas motosikalnya. Dia sudah bersedia untuk menempuh jalan raya yang ganas dengan penggunanya yang tamak dan pentingkan diri. Pulang ke Rumah Berkat untuk merehatkan dirinya yang sungguh penat ialah haluan terbaik, setelah lelah bertarung dengan kuasa kimia yang menghiris-hiris.
Melalui celah-celah motosikal yang tersusun itu. Adam menjelmakan diri dahagakan kepastian dari Zaim.
“Zaim...baik kau terus terang dengan aku. Kau tengah sakit kan sekarang. Siapa aku bagi kau, sampai kau simpan rahsia ni? Hah...!” Adam sedikit menengking sambil menggenggam erat tangan Zaim.
“Apa kau merepek ni. Aku sakit? kau demam ek...merapu tak tentu pasal. Aku sihat je, kau nampak kan...” Zaim membalas dengan gaya berpura-pura tidak tahu apa-apa.
“Tak payah la, buka kopiah kau kejap.” Pinta Adam.
“Nak buka kopiah apa pulak...aku sekarang tengah pakai topi keledar bukan kopiah, hehe...” Zaim tergelak menjawab permintaan Adam.
“Hah, yelah...topi keledar tu, bukan kopiah. Loyar buruk pulak budak bertuah ni.” Adam membetulkan kata-katanya.
“Aku dah nak balik lah...nanti-nantilah. Jumpa kat tepi pagar. Kau nak tengok ‘style’ rambut aku ke?” Zaim ingin pulang ke Rumah Berkat segera. Dia sebenarnya mengelak daripada pertanyaan Adam.
“Macam ni lah kawan...” balas Adam ringkas.
“Adam, budak lelaki merajuk nampak buruk lah...” Zaim cuba bergurau manja.
“Memang aku merajuk dengan kau. Kata nak balik sangat tadi, tunggu apa lagi?” Adam memang marah dengan Zaim kerana merahsiakan cerita sebenar.
“Assalamualaikum abang sayang...haha.” Ucap salam dari Zaim.
“Waalaikumusalam...sayang-sayang, meluat aku.” Adam memang tengah berasap.
Zaim meneruskan perjalanan pulang ke Rumah Berkat. Adam pula menjenguk ibunya di ruang Rawatan Kecemasan.
Pada waktu petang esoknya, mereka berjumpa seperti biasa di tepi pagar hijau. Namun, Adam tetap tidak berjaya mendapatkan rahsia dari mulut Zaim.
************************************
Dua minggu berlalu sudah...
Pada petang yang indah, tatkala haiwan bersayap sedang terbang melintasi dada awan dengan bebasnya. Matahari petang bertukar menjadi senja. Para penghuni di rumah anak yatim juga sedang menyegarkan diri dengan aktiviti riadah bermain bola sepak. Selepas penat bermain dan berkejaran ke sana kemari, di atas padang Rumah Berkat. Zaim dan anak-anak kecil pergi berehat dan bersiap untuk menunggu solat Maghrib. Mereka berebut-rebut menggunakan bilik mandi. Ada yang sabar menunggu giliran.
“Abang Zaim! Kawan-kawan, te...teng...tengok...pengsan...” jerit Nikman tergagap-gagap.
“Cepat sama-sama tolong angkat Abang Zaim.” Khalid memberi arahan seperti ketua, kerana dia yang paling tua di dalam bilik mandi pada waktu itu.
Zaim telah  di bawa ke hospital. Kanser otaknya sudah semakin menebal. Dia kini telah menjadi penghuni tetap sebuah bangunan yang menjadi tempat sama ada manusia itu kembali atau pergi selamanya. Tetapi ajal mautnya bukan pada jarum suntik, dadah buatan, dan mesin hayat. Ajalnya pada kehendak Allah. Dia tidak mahu membicarakan soal ini. Zaim pasrah andai daun telah gugur dari pohonan. Zaim tidak mahu tenggelam dengan alam khayalan dan mengelamun. Dia gusar jika dosanya tidak terampun sebagai hamba yang penuh dengan debuan.
“Assalamualaikum...ini kau kata tak ada apa-apa.” Adam muncul tanpa diduga.
“Waalaikumusalam...Adam, kalau kau masih nak marah dengan aku, teruskanlah. Tapi, aku nak minta maaf.” Maaf dipohon dari bibir kering yang merekah kerana keadaan sakit yang tertanggung memakan zahir dirinya.
“Aku sayangkan kau Zaim, kau satu-satunya sahabat aku. Tempat aku kongsi masalah, tapi...masalah kau, aku tak tau pun. Ini tak adil buat diri kau.” Balas bicara dari Adam yang sangat mengasihi sahabatnya.
“Adam, itu semua aku tak kisah, yang penting kau bahagia, kalau aku dah takde, kau ambil kotak coklat, atas rak hijau dalam surau Rumah Berkat. Kat dalam tu, aku simpan buku-buku agama. Mesti kau minat nak baca.” Zaim memberi pesanan yang dianggap hadiah kepada Adam.
“Zaim, apa kau cakap ni, doktor kata masih boleh sembuh lagi. Kau janganlah putus asa.” Kata nasihat dari Adam bagaikan angin lalu di telinga Zaim. Nyawanya bagaikan di hujung nafas.
“Mak kau macam mana?” soal Zaim yang masih mengambil berat terhadap Mak Esah.
“Mak aku, kata doktor tinggal hari ni je. Dah dua minggu berlalu Zaim. Apakan daya...hmmm” Adam sedikit mengeluh.
“Kau tak dapat lagi penderma jantung tu ke?” soal Zaim penuh simpati sambil merenung Adam, mungkin buat terakhir kalinya.
“Aku harap ada.” Adam tetap menunggu khabar berita yang baik-baik.
“Mesti ada nanti, kau jangan risau. Insya Allah...” Zaim masih memberi kata-kata semangat buat sahabatnya.
“Kau pun bedah jugak kan nanti?” Soal Adam.
“Ye... 5:00 petang, kau doakan aku di tempatkan dalam kalangan orang dikasihi-Nya tau.” Pinta Zaim dengan pandangan mata yang mendalam tertumpu pada Adam.
“Ada gitu, aku patut doakan kau sihat walafiat, pulih macam biasa.” Adam berkata sambil menggeleng kepala.
“Ok la Adam, kita jumpa lagi, InsyaAllah...doktor Salam dah sampai.” Zaim berkata dalam nada lemah sambil memuncungkan mulutnya pada arah doktor Salam.
Doktor Salam datang ingin membawa Zaim untuk bersiap sedia ke ruangan pembedahan. Zaim perlu bersedia di dalam sebuah bilik, sebelum masuk ke bilik pembedahan selama satu jam.
Jam menunjukkan tepat pada waktu 5:00 petang.
“Adam...mak dah dapat penderma jantung. Mak boleh menjalani pembedahan sekarang. Adam setuju ke nak buat sekarang, atau esok?” Abang Din bertanya akan pendapat adiknya.
“Sekarang la bang, saya tak sanggup tengok mak menderita lagi. Tapi siapa yang derma?” Adam ingin tahu siapa pendermanya.
“Entahlah, doktor kata...hamba Allah, penderma tak nak bagi tahu nama dia.” Jawab abang Din.
“Alhamdulillah, dapat juga penderma akhirnya.” Adam sangat bersyukur akan limpah nikmat yang diberi Allah.
Abang Din menenyeh mata pen pada kertas putih yang doktor hulurkan, bagi membubuh tandatangan mempersetujui proses pembedahan jantung dijalankan.
Zaim dan Mak Esah berada di bilik pembedahan yang sama. Berbekalkan suluhan cahaya lampu dalam bilik itu. Zaim mencuri pandang, melihat wajah Mak Esah yang sedang koma, menitis air mata Zaim. Dia hanya mengharapkan, jantung yang diberinya mampu membahagiakan kehidupan insan bernama Adam. Zaim kini menjadikan dirinya korban demi melihat orang lain tersenyum.
Para pakar perubatan membelah, menggorek, dan memotong urat-urat yang berselirat dalam badan manusia. Proses memindah milik jantung kini bertukar, jantung Zaim berada dalam jasad Mak Esah.
Pembedahan kanser otak Zaim sememangnya tidak berjaya. Maka, dia membenarkan untuk doktor memindahkan jantungnya pada Mak Esah. Itulah amanah yang  dipertuturkan pada doktor Salam, mendermakan jantung pada Mak Esah. Mak Esah berjaya menjalani pembedahan pemindahan jantung dengan selamatnya. Pada waktu yang sama. Ada satu nyawa terkorban...
Zaim kembali ke rahmatullah... dari-Nya kita datang dan kepadanya kita kembali.
Pada keesokan harinya, Adam melihat keadaan ibunya yang selamat dengan jayanya. Adam memegang erat tangan ibunya. Lalu, menitis airmata Adam selepas melihat sebentuk cincin tersarung di jari Mak Esah. Cincin itu sangat dikenali dan sudah terbiasa baginya melihat cincin itu. Cincin milik Mohd Zaim bin Othman. Adakah ini benar...?
Adam membaca sepucuk nota kecil yang diuntaikan buatnya oleh Zaim. Barangkali ini ialah kata-kata akhirnya. Pada surat itu, terlihat beberapa titisan merah darah yang menjadi lakaran latar belakang tulisannya. Merah ini, darah Zaim yang menitis semasa menulis surat. Lakaran madah dan kata membuatkan Adam sangat kagum akan pengorbanan sahabatnya.
Nota kecil dari Zaim yang menampilkan tarian abjad...

Aku hanya mampu, 
Bicara dalam sesak nafas,
yang akan,
Menjadi di bawah batu nisan penamatnya.

Mata terpejam dari melihat dunia fana,
dan melihatmu anugerah hatiku.

Jiwa yang terbang terpisah,
Melayang beralih pada,
Jasad yang melahirkanmu.

nota akhir : Aku tinggalkan sepotong sajak buatmu, dan sebentuk cincinku di jari manis tangan kanan ibumu, wahai sahabatku...dan sebuah tafsir Al-Quran di atas kotak coklat, serta buku-buku di dalam kotak itu. Hanya ini yang mampu aku lakukan untuk kau. Maafkan aku dari awal hingga akhirnya...
Assalamualaikum, kenangku dalam doamu.


Adam kelu tanpa bicara setelah membaca surat dari seorang teman yang mulia hatinya. Pemergiannya demi sebuah kebahagiaan hati insan lain. Penderma jantung ibunya ialah Zaim...itulah kenyataan dihadapinya kini.

Nota Kecil : Takdir tidak pernah kejam...maafkan aku seandainya karya ini ada  terdapat kesilapan gaya penulisan dan membosankan. Aku manusia lemah..............


No comments: