Hamba hingga akhirnya

My photo
Aku hanya seorang hamba ALLAH yang kerap buta pada terang cahaya,sering celik pada gelap lorong yang hujungnya mati jiwa, tapi keraguan itu hanya semalam yang caci. Ya ALLAH, relakan aku menangis kerana mendengar kebenaran, jangan biarkan aku ketawa sedangkan di dalamnya penipuan.

Sang Penulis

“Semua penulis akan mati. Hanya karyanyalah yang akan abadi. Maka tulislah sesuatu yang membahagiakan dirimu di akhirat nanti” (Ali bin Abi Thalib).

Sunday, February 21, 2010

Mungkinkah Aku Terima...(Bahagian 2)


“Puteri bertudung...bersopan-santun menari zapin Telok Belanga...” berlagu merdu nada dering telefon bimbit Sofea.
Lagu nyanyian Zubir Abdullah yang bernama Zapin Telok Belanga meluncur laju ke gegendang telinga Sofea. Walaupun lagu zapin kini semakin pupus, tidak zamani dan berciri kampungan. Namun, lagu seperti itulah yang menjadi pilihan hatinya.
Nada dering telefon bimbitnya, tak membawa apa-apa maksud baginya pada saat itu. Sofea yang masih dalam keadaan mamai dan tidak berapa sedarkan diri sepenuhnya lagi. Dia baru terjaga dari tidur. Inilah akibatnya terlebih tidur petang. Dia hanya mendengar bunyi itu di hujung telinganya saja dan dia tidak melayan telefon bimbitnya lagi. Kerana matanya bagaikan disapu dengan gam gajah. Sofea sangat letih hingga ketiduran, kerana aktiviti forum yang dianjurkan oleh kelas mereka baru sahaja selesai pada tengah hari tadi.
Terdetik dalam hati Sofea, pesan orang tua diletak jauh-jauh, orang tua kata tak elok tidur petang. Ini apa-apa yang tak baik itulah yang makin aku buat.
Sofea berasa sendi-sendinya kini kembali kepada bentuk asal. Dia merasakan segala keletihan kian mengendur dan melarikan diri. Sofea bingkas bangun untuk mandi dan menunaikan solat Asar.
Dia terlupa akan sesuatu, telefon bimbitnya...segera Sofea capai dan melihat dalam ruangan daftar panggilan dan memasuki pula ke dalam bahagian panggilan tak dijawab. Setelah dibaca dan diteliti, ternyata ibunya yang telah menghubungi dia sebentar tadi. Tanpa melengahkan masa dia menelefon kembali ibunya di kampung.

“Assalamualaikum...mak...” Sofea menelefon ibunya.
“Waalaikumusalam...” jawab Mak Som penuh kegembiraan.
“Mak sihat? Makan apa malam ni? Ayah ada kat rumah? Ke, ayah kerja lagi... Bila ayah balik kampung?” bertalu-talu soalan diberikan Sofea.
Memang inilah tabiat pelik Sofea. Setiap kali menelefon orang dia akan bertanyakan soalan dengan satu nafas dan satu nada sekaligus. Akhirnya dia sendiri yang penat macam orang ada penyakit asma.
“Mak nak jawab yang mana satu ni...hehe, kepoh betul anak mak sorang ni” soal Mak Som kepada Sofea sambil tertawa.
“Hehe...mak jawab la yang mana-mana pun Sofea tak kisah...” kata Sofea yang terkena dengan gurauan ibunya sebentar tadi.
“Mak sihat, Alhamdulillah, makan sambal tumis udang petai dengan ikan masak kari, ayah Sofea ada kat Nilai lagi...esok baru balik.” Jawab Mak Som mengikut skema soalan Sofea.
“Perrgggghhh....sedapnya...ni yang tak sabar nak balik ni” respon Sofea terhadap makanan yang disebut ibunya.
Sofea memang sudah lama menanggung rindu kepada masakan ibunya. Hinggakan kata-kata lain dari ibunya tidak disedari. Bagaikan angin lalu saja...
“Mak telefon tadi, kenapa tak angkat?” soal Mak Som.
“Sofea tengah belayar la mak...” jawab Sofea dalam nada bersahaja.
“Oh...belayar, belayar atas katil la ye...” kata ibunya.
“Wah...bijaknya emak, kenapa mak telefon tadi?” soal Sofea kembali.
“Mak nak Sofea balik kampung hari Jumaat ni...” minta Mak Som pada anaknya.
“Okay...tapi, ada hal apa mak...? macam tergesa-gesa je.” Tanya Sofea dalam kecelaruan.
“Balik je la...nanti dah sampai rumah tau la, dah la ye...mak nak suap nenek makan malam, assalamualikum”  jawab  Mak Som yang ingin menamatkan perbualan.
“Waalaikumusalam...” salam ibunya dibalas kembali.
Talian telah pun diputuskan. Sofea berasa pelik dengan cara ibunya menyuruh dia pulang ke kampung. Sofea malas untuk memikirkannya, apa yang dia akan buat hanyalah pulang ke kampung pada hari esok. Menunaikan permintaan ibunya.
Pada keesokan hari, Sofea menuju ke Pudu Raya membeli sekeping tiket bas untuk pulang ke Johor.
Bas Mayang Sari yang bertolak dari Kuala Lumpur merentas perjalanan melalui Muar, Batu Pahat, dan akhirnya Pontian memakan masa lima jam. Dengan masa itulah, Sofea mengaktifkan hobinya...dia tertidur selepas sahaja bas melepasi Tol Sungai Besi hinggalah sampai di kawasan Rengit, Batu Pahat. Sofea pasti akan terjaga apabila melalui kawasan ini, kerana di sinilah kampung arwah datuknya. Sofea terjaga dari lena kerana dia akan mencuri masanya untuk memandang ke kawasan tanah perkuburan di mana tempat arwah datuknya dikebumikan. Dia terkenang segala memori indah bersama datuknya...
Perjalanan diteruskan ke daerah Pontian dari Pekan Rengit.
Sofea memasang telinganya untuk mendengar lagu-lagu yang keluar dari corong radio bas yang dinaikinya itu. Dia kini berada di alam angannya sambil menikmati indahnya suasana malam yang kelam dan samar-samar diterangi sinaran cahaya bulan purnama. Pandangannya dilontar jauh ke luar tingkap bas. Alam semesta ditatapnya penuh bermakna, dalam hatinya terdetik semenjak sejarah Adam dan Hawa alam berkembang berubah-ubah. Pantai kian lenyap ditambak pasir kemajuan, hutan menghijau bertukar menjadi hutan batu. Segalanya berubah walaupun gunung tinggi bertuah namun tanah lembah makin tenggelam. Selepas Sofea membiarkan hatinya berbicara dengan alam, dia  mengalih mindanya di sepanjang perjalanan untuk sampai ke daerahnya, dia hanya membiarkan otaknya berlegar-legar memikirkan isu semasa yang berlaku kini. Paling menarik perhatiannya ialah kes liwat yang hanya Allah tahu kebenarannya. 
Lamunannya terhenti apabila terpandang simpang Kampung Kayu Ara Pasong. Sofea segera mencari telefon bimbitnya dengan mengeledah isi di dalam begnya yang penuh dengan harta karun.
“Assalamualaikum, abangku tercinta...amik Sofea kat Perhentian Bas Pontian. Nanti Sofea ‘payung’ Abang Zul makan Nasi Ayam Penyet dengan Cikong Ais. Amacam...” permintaan Sofea kepada abang keduanya yang sering kali menjadi pemandu yang melayan kerenahnya untuk pergi berjalan-jalan ke sana dan ke mari. Abangnya selalu menjadi mangsa, kerana Sofea tidak pandai memandu kereta dan menunggang motosikal.
“Waalaikumusalam...oh dah sampai, Abang Zul dah boleh gerak dari rumah la ni. Ceh...nak ‘payung’ ke...bawa ‘payung’ besar sikit, adik ko Saleh ikut sekali ni.” Kata Abang Zul yang membawa Saleh bersama sebagai teman bersembang di dalam kereta.
Setelah sepuluh minit berlalu, Abang Zul dan Saleh pun muncul dengan wajah yang tak ubah seperti kerang busuk, masing-masing tersengih-sengih. Sofea pun menunaikan janjinya untuk membelanja makan abang dan adiknya di kedai makan Mongor Mampir. Selepas makan, mereka pulang menuju ke rumah.
nota kaki : 'payung' maknanya belanja makan...Mongor Mampir perkataan bahasa Jawa yang membawa maksud singgah.

No comments: