Hamba hingga akhirnya

My photo
Aku hanya seorang hamba ALLAH yang kerap buta pada terang cahaya,sering celik pada gelap lorong yang hujungnya mati jiwa, tapi keraguan itu hanya semalam yang caci. Ya ALLAH, relakan aku menangis kerana mendengar kebenaran, jangan biarkan aku ketawa sedangkan di dalamnya penipuan.

Sang Penulis

“Semua penulis akan mati. Hanya karyanyalah yang akan abadi. Maka tulislah sesuatu yang membahagiakan dirimu di akhirat nanti” (Ali bin Abi Thalib).

Thursday, February 18, 2010

Mungkinkah Aku Terima...(Bahagian 1)


“Apa yang ayahnya nak buat dengan kain buruk tu?” Tanya Mak Som kepada suaminya ketika dia menjenguk ke dapur.
“Saya nak balut batang paip yang bocor ni. Nak beli pembalut paip tak boleh, duit tu cukup-cukup buat bajet untuk beli  benda lain.” Kata Pak Talib sambil melabuhkan punggungnya di atas lantai simen yang sudah mula merekah. Dia pun meneruskan kerja membalut batang paip tersebut.
Mak Som meneruskan tanggungjawab sebagai Suri rumah Tangga, jarum jam telah menunjukkan pukul 10:30 pagi. Sudah tiba waktunya untuk dia turun kedapur menyediakan makanan tengah hari buat suami dan anak-anak.  Dia membuka peti sejuk di bahagian atas, memandang udang dan ikan. Maka, dengan segera terlintas menu makanan di kotak fikiran Mak Som. Mak Som mengeluarkannya dari peti sejuk untuk membiarkan ais yang telah membekukan udang dan ikan tersebut mencair dengan sendirinya. Selonggok ikan bilis dihadapannya, dikopek seekor demi seekor. Mak Som ingin memasak sambal tumis ikan bilis, Udang goreng kunyit dan ikan masak asam pedas pada hari ini.
Anak daranya, Sofea pula sibuk di luar memetik daun Pucuk Tenggek Burung untuk dijadikan ulam.  Sofea memang suka makan berulamkan Pucuk Tenggek Burung. Memang dari kecil Mak Som mendidik anaknya, jika ingin makan sesuatu pergi cari sendiri, jangan asyik nak memerintah sahaja. Semua anaknya, menghindari diri daripada terkena istilah dari mulut Mak Som  yang agak pedas iaitu “semuanya nak tunggu sampai ke lutut”...
“Emaknya, hari tu ayah ada duduk bersembang dengan Cikgu Amir. Alah, duduk sembang kosong saja-saja. Mak nak tau apa yang terkeluar dari mulut Cikgu Amir.” Kata Pak Talib setelah selesai membalut batang paip yang bocor.
Mak Som yang khusyuk dan tekun mengopek ikan bilis, hanya mampu mendengar dan mengerlingkan ekor matanya melihat Pak Talib yang sedang minum air masak setelah penat mengerjakan batang paip tersebut.
Cikgu Amir merupakan seorang guru yang menyandang jawatan dan tugas sebagai Guru Kokurikulum di Sekolah Kebangsaan Telok Kerang. Pak Talib sebenarnya tidak begitu rapat dengan Cikgu Amir. Tetapi, disebabkan anaknya, Sofea yang telah menjalankan tugasan Pengalaman Berasaskan Sekolah Satu, di Sekolah Kebangsaan Telok Kerang menjadikan mereka saling mengenali. Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) ini diwajibkan dalam kursus Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan di setiap maktab perguruan. Sofea merupakan seorang Guru Pelatih yang sedang menuntut ilmu di Maktab Perguruan Bahasa, Kuala Lumpur.  Pak Talib mula mengenali dan semakin rapat dengan Cikgu Amir selepas anaknya melakukan tugasan tersebut. Apatah lagi, lingkungan usia mereka berdua yang hampir dekat.  Umur Cikgu Amir  sudah mencecah 49 tahun. Umur Pak Talib pula 52 tahun. Semasa melakukan Pengalaman Berasaskan Sekolah lalu, Sofea sememangnya rapat dengan Cikgu Amir, dia menganggap Cikgu Amir seperti ayahnya. Sofea seringkali menceritakan pengalaman kisah hidupnya begitu juga dengan Cikgu Amir.  Sofea menerima banyak ilmu dan pendapat daripada hasil perbualannya bersama guru veteran tersebut.
“Apa bendanya yang dicakapkan Cikgu Amir tu?” soal Mak Som kepada suaminya sambil mengacau sambal tumis ikan bilisnya yang sudah mula dimasak di atas api dapur.
“Cikgu Amir kata macam ni, kita ni dah duduk bersembang, macam dah serasi bersama, harap-harap akan datang sudilah kamu berbesan dengan saya ye...saya nak Sofea dengan anak sulung saya menjadi, amin...” Pak Talib berkata sambil melakonkan gaya yang sama seperti Cikgu Amir.
Lama terngangah mulut Mak Som setelah mendengarnya, terhenti tangannya mengacau sambal yang sedang ditumis di dalam kuali. Entah-entah dah berkerak bahagian bawahnya.
“Itulah, cuba awak tengok pe’el anak kita tu...hehe, memang macam anak dara lain. Tapi dia tu perangai masih macam budak-budak. Bila Cikgu Amir cakap ayat tu, saya terus terbayang muka Sofea tu ha...” Kata Pak Talib sambil ketawa kecil.
“Sofea tu padah jadi orang peramah sangat... selalu duduk bersembang dengan Cikgu Amir la tu masa buat PBS kat sekolah dulu,  apa yang diceritakan entah. Jadi orang tua tu sampai berkenan nak jadikan menantu.” Mak Som meleter sepenuh hati.
“Mak...ayah...Sofea dah balik.” Jerit Sofea dari luar rumah.
“Macam baru sampai dari KL je gayanya...padahal baru balik dari kebun.” Kata Pak Talib melihat telatah anaknya yang melangkah ke dalam rumah dengan gaya kepenatan.
“Wah...penatnya. Mak, biarlah Sofea yang masak. Mak pergilah berehat.” Tegur  Sofea kepada emaknya.
Mak Som sudah lama mengetahui kehendak Sofea. Sofea memang suka dan rajin memasak. Walaupun, kadang-kadang lauk yang dimasaknya termasin sedikit. Orang kata, kalau masin dah nak kahwin. Tapi, bagi Sofea dia tidak suka diejek sedemikian oleh abang-abangnya. Pada dia, kahwin bukan perkara mainan. Kena serius pilih calon suami, teman kita sehidup semati kena serasi, tu pun kalau ada yang sudi. Itulah perkara yang sering terdetik dalam hatinya bila sebut soal rumahtangga. Lagi pun, dia tak mahu kahwin awal-awal...biar lambat asal selamat.
 “Hilang penat saya ayahnya, bila Sofea ada kat kampung. Tapi masa cuti macam ni jela...” luahan rasa Mak Som terhadap suaminya.
“Untung ada anak dara, nanti dah kat tangan orang lain tak dapat kita nak manja-manja.” Balas Pak Talib yang sedang membuka helaian pertama surat khabar Suara Keadilan.
Mak Som dan Pak Talib sedang berehat di ruang tamu. Mak Som sememangnya menerima pelawaan anaknya Sofea, tanpa dolak-dalih. Mak Som membiarkan Sofea memasak di dapur tanpa keraguan kerana anak daranya sudah dididik dari kecil agar sentiasa melakukan kerja-kerja rumah terutamanya memasak.
“Som, awak tak nak bagi tahu Sofea, pasal hajat Cikgu Amir nak jadikan dia menantu?” Soal Pak Talib dalam nada gurauan, sambil memandang isterinya yang sedang mengusap lembut Si Putih, kucing kesayangan di dalam rumah yang telah terbina sejak tahun 1999 itu.
“Tak perlu la ayahnya, nanti kalau ada perancangan betul-betul antara dua pihak baru bagi tahu Sofea. Kalau cakap mulut saja takut tak menjadi.” Terang Mak Som kepada suaminya.
Bersambung...
p/s : pe'el maknanya perangai...aku penulis peringkat permulaan. Tak pandai mengarang lagi. minta maaf atas seabarang kesalahan dalam penulisan ni.

No comments: