Hamba hingga akhirnya

My photo
Aku hanya seorang hamba ALLAH yang kerap buta pada terang cahaya,sering celik pada gelap lorong yang hujungnya mati jiwa, tapi keraguan itu hanya semalam yang caci. Ya ALLAH, relakan aku menangis kerana mendengar kebenaran, jangan biarkan aku ketawa sedangkan di dalamnya penipuan.

Sang Penulis

“Semua penulis akan mati. Hanya karyanyalah yang akan abadi. Maka tulislah sesuatu yang membahagiakan dirimu di akhirat nanti” (Ali bin Abi Thalib).

Friday, June 24, 2011

Cerita Kedai Kopi

Pas.Pus.Pas.Pus.
Lelaki tua kumpul semeja,
Sebatang rokok berbara,
Di hujung jari kasar berurat lebar.


Pakcik sedut dalam-dalam,
Pakcik hembus diam-diam.
Ada sedikit gaya 'tarik' di situ.


Asap jelaga berkepul-kepul,
Terliuk lentok warna-warna putihnya,
Kontra dengan gelap hitam malam.


Beranak tar dan toksin cukup nikmat.
Kata orang mati cepat,
Arggghhh!
Persetan itu semua...
Kalau ajal bukan ini pemunca.
Memang DIA menjemput ke SANA,
Bicara kecil pakcik semeja.


Pakcik menepuk meja,
Gaya bahasa badan,
Tandanya geram,
Tidak puas hati.
Barangkali.

Pakcik kopiah putih,
Tidak berasap-asap lagi,
Sudah bersara katanya.

Pakcik kopiah putih buka cerita,
Kapitalis,
Sosialis,
Sekularisme,
Liberalisme,
Konspirasi,
Spekulasi,
Video sulit,
Islam berkebajikan.
Kepimpinan erdogan.
Bersih,
Rancak butir-butir itu terlontar.


Aku terpikat dengan situasi,
Aku masih merenung si tua semeja,
Biar saja mereka riuh berpetah lidah,
Semerah-merah darah,
Hati tetap berwarna hijau,
Hak rakyat untuk bersuara,
Memang kita menegur pemimpin,
Siapa lagi?


Kaut segala Ringgit Malaysia,
Kecam cekik leher bawahan,
Suap mulut golongan bangsawan,
Sampai bila ragam keparat bakal jumpa penamat,
Ingin saja di terajang wajah-wajah bacul itu,
Senyuman orang kaya penipu,
Bisik jiwa gersang kebenaran,
Sang perindu khalifah.


Wahai pihak autokratik,
Ingin tutup mulut mereka,
Berikan satu stesen media demokrasi,
Bila memberontak mulalah gelabah.


Pincang kamu hai orang atas,
Kami pula jadi penanggung,
Bedebah atau bertuah,
Pilihlah.


Hentam sana hentam sini,
Fitnah sana fitnah sini,
Ya...ini corak kepimpinan kita!


Pakcik semangat berhujah,
Kalah tekak parlimen,
Peluh jantan bernafas politik,
Memercik di dahi si tua.


Pakcik pihak lawan pula,
Mulut ternganga,
Putih terbakar,
Tinggal kuningnya,
Puntung rokok ditatap laba,
Asap bertukar debu di bawah meja.


Demikian kehangatan meja kedai kopi,
Bisa meninggalkan puntung rokok sahaja.



Nota Bergasak Fakta : Politik bukan sejenis dadah untuk digeruni dan dijauhi...Berbeza dengan suara corong-corong pengumuman di lembah ini dan di bukit itu. "Anda diharamkan untuk menyertai perhimpunan Bersih 2.0". Inilah kepimpinan demokratik, dari bangku sekolah hingga ke bangku pengajian diajar untuk jangan jadi seperti kisah 'Singapura Dilanggar Todak'. Bila ditanya mengapa mahasiswa tidak berkualiti, tepuklah dadamu sendiri wahai Si Kuku Besi...sudah malas aku berbasa-basi. Meskipun, aku kini sudah di menara gading kata pepatahnya. Namun masih lagi ibarat dalam ruang kekotak kaca ditutup mulut dengan topeng-topeng ancaman yang bikin otak semakin lembam. Disuruh berhujah tetapi di dalam bilik bukan di auditorium gah. Bosan.