Hamba hingga akhirnya

My photo
Aku hanya seorang hamba ALLAH yang kerap buta pada terang cahaya,sering celik pada gelap lorong yang hujungnya mati jiwa, tapi keraguan itu hanya semalam yang caci. Ya ALLAH, relakan aku menangis kerana mendengar kebenaran, jangan biarkan aku ketawa sedangkan di dalamnya penipuan.

Sang Penulis

“Semua penulis akan mati. Hanya karyanyalah yang akan abadi. Maka tulislah sesuatu yang membahagiakan dirimu di akhirat nanti” (Ali bin Abi Thalib).

Saturday, May 22, 2010

Jangan Sampai Salah Pinta

Duka yang menghimpit bagaikan 
celahan jeram-jeram batu,
Pada permukaan tajam tersangkut menggamit luka,

Bibit hati menangis alpa,
Namun leka dan lupa,
Akan tempat memohon sewajarnya,

Dukamu diluahkan pada manusia,
Sedarkan diri segara,
Sebab itu,
Ibarat bertutur pada bayang-bayang sendiri,
Hakikatnya Allah saja yang bisa,
Melengkapi pinta tautan hatimu.

Manusia umpama hilang ingatan,
Kerana melihat jalan luas,
Penyelamat hanyut dirinya.
Tidakkah kau sedar?
Jalan sempit itu,
Lebih  bermakna,
Mencapai benderang langit hatimu.

Pencipta-Mu,
Mencipta gelap gelita,
Bukan untuk selamanya,
Kerana akan datang sinar yang tiada sesiapa menduga.

Pergi balik hal ini,
Tetap melambangkan satu makna,
Yang mewakili segala rasa,
Hanya ada seribu cerita,
Namanya hidup,
Hanya ada satu diam,
Namanya mati.

Nota kecil : Sajak dicipta tatkala hatiku membuai rasa lalai pada dunia, Dukaku sering dibicara pada manusia, walhal bukan itu tempatnya...Aku berharap agar matiku terikat rasa hamba, semasa  PEMILIKNYA ingin menjemput pada waktu esok.


Thursday, May 20, 2010

Selamatkan Hamba...


Aku terpaku pada tiap-tiap ayat suci-Mu,
Membelai mata yang sering ternoda.

Terbit air jernih,
Di tebing mata,
Meleburkan rasa yang beku,
Mengenang segala penyesalan,
Bagai buih di lautan.

Hamba khayal dalam fatamorgana dunia,
Tunduk pada yang sia-sia,
Lalu...
Membiarkan kalam-Mu berhabuk di dalam laci kecil,
Daku juga jauh...
Dari mendengar dan melihat sabda utusan-Mu yang tiada noda itu.

Aku mencari ruang persendirian,
Mencapai-capai petunjuk-Mu,
Memohon Magfirah-Mu,
Menadah tangan yang kotor ini.
Wajah yang hina ini.
Hati yang rosak ini.

Benarlah Kau...
Satu cinta yang selamanya,
Ku harap hati ini seteguh karang dilautan,
Dalam mencari cinta-Mu.

Friday, May 14, 2010

Rumah Berkat (Bahagian 4)


Zaim sudahpun menelan tiga biji ubat pada subuh tadi. Walhal dalam induk akal fikirannya, dia sudah penat menyusurkan dadah ini dengan air suam pada kerongkong tekaknya. Dadah ini hanya untuk menahan sakit bukan merawatnya.  Zaim tahu dirinya semakin senja. Andai pada waktu ini rakan yang lain masih lagi mampu tegak berdiri. Dia sudah punya daya yang lemah longlai, kaki yang semakin longgar untuk menapak dibumi, sesekali rebah tidak tentu pasal. Hanya orang dalam Rumah Berkat yang mengetahui.
Tidak bagi Adam mengetahuinya, itu pendirian Zaim.
Zaim mengatur langkah menuju ke Hospital Sultanah Aminah. Mukanya sedikit pucat. Hujan yang gugur merintik semakin rancak dan galak, menyukarkan perjalannya. Dia takut dengan hujan, kerana kepalanya akan segera sakit jika dihentam air asid ini, lagi-lagi sedang beraksi ganas pada ketika ini. Zaim harap topi keledar yang dipakai mampu melindungi kepalanya. Hari ini merupakan pertemuan antara dia dan lelaki berjubah separuh putih itu. Ini bukan janji temu yang pertama.
Zaim menjalani kemoterapi...sakitnya yang amat. Rambutnya gugur setiap kali menjalankan rawatan yang menyakitkan ini. Zaim cuba menenangkan dirinya sendiri, semasa nyawaku dijemput adalah lebih sakit berbanding rawatan ini, begitulah pada pundak fikirannya. Rasa sakit tiada nilai dipertaruhkan, hanya terganti dengan kolam jernih yang bergenang di tubir mata.
“Terima kasih doktor Salam, dua minggu lagi saya datang lagi.” Kata Zaim setelah menjalani kemoterapi. Zaim sangat lemah. Mukanya pucat manai macam orang tak makan seminggu.
“Saya cuma menjalankan, kamu yang menghidapi dan menghadapi, ternyata kamu kuat semangat Zaim, kamu tak menjerit kesakitan macam pesakit lain, susah saya nak layan, hehe...” Balas bicara dari doktor Salam sambil tertawa kecil.  Doktor Salam merupakan doktor yang mengawal tahap perkembangan penyakit yang dihidapi Zaim.
“Saya minta diri, balik dulu ye doktor Salam.” Zaim mengundur diri untuk pergi.
“Baiklah, jangan lupa ambil ubat ikut waktu, jangan fikir banyak masalah tau. Hati-hati dekat jalan raya nanti.” Pesanan dari doktor Salam bagaikan pesanan dari seorang ayah.
“Assalamualaikum...” salam dihulur dari lidah Zaim.
“Waalaikumusalam...” Dibalas oleh Doktor Salam.
Zaim pergi dan mulai hilang dari pandangan mata doktor Salam. Doktor Salam hanya menitipkan doa di dalam hati, agar Zaim semakin tabah tanpa ibubapa di sisi. Dia mampu mengharunginya sendiri... doktor Salam mengangguk lembut kerana kagum pada ketabahanya, diwajah Zaim masih ada simpulan senyuman yang menguntum.
*********************************
Adam sudah lama di ruangan Menunggu Giliran, dia ke hospital untuk melawat ibunya. Adam berjalan di laluan itu untuk menuju ke kantin. Tiba-tiba, tanpa disedari dia terlihat Zaim keluar dari Bilik Kemoterapi sambil berbual dengan doktor. Adam mengesyaki sesuatu setelah melihat wajah Zaim sangat pucat berbanding biasa. Adam memerhatikan Zaim dan doktor tersebut dari jauh.

Seperti biasa, doktor Salam menjenguk wad 8, bagi meneruskan tanggungjawabnya pada pesakit lain pula. Tiba-tiba ada suara menyapa...
“Doktor, pesakit tadi...dia sakit apa?” Soal Adam.
“Dia sakit... Anak ni siapa?” doktor Salam tidak meneruskan jawapan, dia tertanya-tanya siapa agaknya gerangan yang bertanya ini.
“Saya Adam, kawan Zaim...kawan baik, kawan rapat...doktor dia sakit apa? Tolonglah bagi tau saya, tak mungkin kan dia datang sini saja-saja.” Adam mengasak doktor Salam dengan rayuan.
“Dia sakit, hmmm... kanser otak.” Lama sekali doktor Salam ingin mengatakannya.
“Ya Allah betul ke doktor?” sa...sa...saya nak cari dia. Saya pergi dulu. Terima kasih atas maklumatnya.” Adam berlari meninggalkan doktor Salam untuk mencari Zaim, walaupun dia tidak tahu Zaim di mana, dia tetap ingin mengejarnya.
“Sama-sama...” doktor Salam menyahut seperti berkata seorang diri kerana adam sudah lari begitu saja.
Adam masih mencari-cari jejak bayang Zaim. Dia mengagak Zaim mungkin berada di tempat letak kenderaan. Ternyata firasatnya tidak tersasar jauh. Zaim memang berada di situ.

Zaim berada di atas motosikalnya. Dia sudah bersedia untuk menempuh jalan raya yang ganas dengan penggunanya yang tamak dan pentingkan diri. Pulang ke Rumah Berkat untuk merehatkan dirinya yang sungguh penat ialah haluan terbaik, setelah lelah bertarung dengan kuasa kimia yang menghiris-hiris.
Melalui celah-celah motosikal yang tersusun itu. Adam menjelmakan diri dahagakan kepastian dari Zaim.
“Zaim...baik kau terus terang dengan aku. Kau tengah sakit kan sekarang. Siapa aku bagi kau, sampai kau simpan rahsia ni? Hah...!” Adam sedikit menengking sambil menggenggam erat tangan Zaim.
“Apa kau merepek ni. Aku sakit? kau demam ek...merapu tak tentu pasal. Aku sihat je, kau nampak kan...” Zaim membalas dengan gaya berpura-pura tidak tahu apa-apa.
“Tak payah la, buka kopiah kau kejap.” Pinta Adam.
“Nak buka kopiah apa pulak...aku sekarang tengah pakai topi keledar bukan kopiah, hehe...” Zaim tergelak menjawab permintaan Adam.
“Hah, yelah...topi keledar tu, bukan kopiah. Loyar buruk pulak budak bertuah ni.” Adam membetulkan kata-katanya.
“Aku dah nak balik lah...nanti-nantilah. Jumpa kat tepi pagar. Kau nak tengok ‘style’ rambut aku ke?” Zaim ingin pulang ke Rumah Berkat segera. Dia sebenarnya mengelak daripada pertanyaan Adam.
“Macam ni lah kawan...” balas Adam ringkas.
“Adam, budak lelaki merajuk nampak buruk lah...” Zaim cuba bergurau manja.
“Memang aku merajuk dengan kau. Kata nak balik sangat tadi, tunggu apa lagi?” Adam memang marah dengan Zaim kerana merahsiakan cerita sebenar.
“Assalamualaikum abang sayang...haha.” Ucap salam dari Zaim.
“Waalaikumusalam...sayang-sayang, meluat aku.” Adam memang tengah berasap.
Zaim meneruskan perjalanan pulang ke Rumah Berkat. Adam pula menjenguk ibunya di ruang Rawatan Kecemasan.
Pada waktu petang esoknya, mereka berjumpa seperti biasa di tepi pagar hijau. Namun, Adam tetap tidak berjaya mendapatkan rahsia dari mulut Zaim.
************************************
Dua minggu berlalu sudah...
Pada petang yang indah, tatkala haiwan bersayap sedang terbang melintasi dada awan dengan bebasnya. Matahari petang bertukar menjadi senja. Para penghuni di rumah anak yatim juga sedang menyegarkan diri dengan aktiviti riadah bermain bola sepak. Selepas penat bermain dan berkejaran ke sana kemari, di atas padang Rumah Berkat. Zaim dan anak-anak kecil pergi berehat dan bersiap untuk menunggu solat Maghrib. Mereka berebut-rebut menggunakan bilik mandi. Ada yang sabar menunggu giliran.
“Abang Zaim! Kawan-kawan, te...teng...tengok...pengsan...” jerit Nikman tergagap-gagap.
“Cepat sama-sama tolong angkat Abang Zaim.” Khalid memberi arahan seperti ketua, kerana dia yang paling tua di dalam bilik mandi pada waktu itu.
Zaim telah  di bawa ke hospital. Kanser otaknya sudah semakin menebal. Dia kini telah menjadi penghuni tetap sebuah bangunan yang menjadi tempat sama ada manusia itu kembali atau pergi selamanya. Tetapi ajal mautnya bukan pada jarum suntik, dadah buatan, dan mesin hayat. Ajalnya pada kehendak Allah. Dia tidak mahu membicarakan soal ini. Zaim pasrah andai daun telah gugur dari pohonan. Zaim tidak mahu tenggelam dengan alam khayalan dan mengelamun. Dia gusar jika dosanya tidak terampun sebagai hamba yang penuh dengan debuan.
“Assalamualaikum...ini kau kata tak ada apa-apa.” Adam muncul tanpa diduga.
“Waalaikumusalam...Adam, kalau kau masih nak marah dengan aku, teruskanlah. Tapi, aku nak minta maaf.” Maaf dipohon dari bibir kering yang merekah kerana keadaan sakit yang tertanggung memakan zahir dirinya.
“Aku sayangkan kau Zaim, kau satu-satunya sahabat aku. Tempat aku kongsi masalah, tapi...masalah kau, aku tak tau pun. Ini tak adil buat diri kau.” Balas bicara dari Adam yang sangat mengasihi sahabatnya.
“Adam, itu semua aku tak kisah, yang penting kau bahagia, kalau aku dah takde, kau ambil kotak coklat, atas rak hijau dalam surau Rumah Berkat. Kat dalam tu, aku simpan buku-buku agama. Mesti kau minat nak baca.” Zaim memberi pesanan yang dianggap hadiah kepada Adam.
“Zaim, apa kau cakap ni, doktor kata masih boleh sembuh lagi. Kau janganlah putus asa.” Kata nasihat dari Adam bagaikan angin lalu di telinga Zaim. Nyawanya bagaikan di hujung nafas.
“Mak kau macam mana?” soal Zaim yang masih mengambil berat terhadap Mak Esah.
“Mak aku, kata doktor tinggal hari ni je. Dah dua minggu berlalu Zaim. Apakan daya...hmmm” Adam sedikit mengeluh.
“Kau tak dapat lagi penderma jantung tu ke?” soal Zaim penuh simpati sambil merenung Adam, mungkin buat terakhir kalinya.
“Aku harap ada.” Adam tetap menunggu khabar berita yang baik-baik.
“Mesti ada nanti, kau jangan risau. Insya Allah...” Zaim masih memberi kata-kata semangat buat sahabatnya.
“Kau pun bedah jugak kan nanti?” Soal Adam.
“Ye... 5:00 petang, kau doakan aku di tempatkan dalam kalangan orang dikasihi-Nya tau.” Pinta Zaim dengan pandangan mata yang mendalam tertumpu pada Adam.
“Ada gitu, aku patut doakan kau sihat walafiat, pulih macam biasa.” Adam berkata sambil menggeleng kepala.
“Ok la Adam, kita jumpa lagi, InsyaAllah...doktor Salam dah sampai.” Zaim berkata dalam nada lemah sambil memuncungkan mulutnya pada arah doktor Salam.
Doktor Salam datang ingin membawa Zaim untuk bersiap sedia ke ruangan pembedahan. Zaim perlu bersedia di dalam sebuah bilik, sebelum masuk ke bilik pembedahan selama satu jam.
Jam menunjukkan tepat pada waktu 5:00 petang.
“Adam...mak dah dapat penderma jantung. Mak boleh menjalani pembedahan sekarang. Adam setuju ke nak buat sekarang, atau esok?” Abang Din bertanya akan pendapat adiknya.
“Sekarang la bang, saya tak sanggup tengok mak menderita lagi. Tapi siapa yang derma?” Adam ingin tahu siapa pendermanya.
“Entahlah, doktor kata...hamba Allah, penderma tak nak bagi tahu nama dia.” Jawab abang Din.
“Alhamdulillah, dapat juga penderma akhirnya.” Adam sangat bersyukur akan limpah nikmat yang diberi Allah.
Abang Din menenyeh mata pen pada kertas putih yang doktor hulurkan, bagi membubuh tandatangan mempersetujui proses pembedahan jantung dijalankan.
Zaim dan Mak Esah berada di bilik pembedahan yang sama. Berbekalkan suluhan cahaya lampu dalam bilik itu. Zaim mencuri pandang, melihat wajah Mak Esah yang sedang koma, menitis air mata Zaim. Dia hanya mengharapkan, jantung yang diberinya mampu membahagiakan kehidupan insan bernama Adam. Zaim kini menjadikan dirinya korban demi melihat orang lain tersenyum.
Para pakar perubatan membelah, menggorek, dan memotong urat-urat yang berselirat dalam badan manusia. Proses memindah milik jantung kini bertukar, jantung Zaim berada dalam jasad Mak Esah.
Pembedahan kanser otak Zaim sememangnya tidak berjaya. Maka, dia membenarkan untuk doktor memindahkan jantungnya pada Mak Esah. Itulah amanah yang  dipertuturkan pada doktor Salam, mendermakan jantung pada Mak Esah. Mak Esah berjaya menjalani pembedahan pemindahan jantung dengan selamatnya. Pada waktu yang sama. Ada satu nyawa terkorban...
Zaim kembali ke rahmatullah... dari-Nya kita datang dan kepadanya kita kembali.
Pada keesokan harinya, Adam melihat keadaan ibunya yang selamat dengan jayanya. Adam memegang erat tangan ibunya. Lalu, menitis airmata Adam selepas melihat sebentuk cincin tersarung di jari Mak Esah. Cincin itu sangat dikenali dan sudah terbiasa baginya melihat cincin itu. Cincin milik Mohd Zaim bin Othman. Adakah ini benar...?
Adam membaca sepucuk nota kecil yang diuntaikan buatnya oleh Zaim. Barangkali ini ialah kata-kata akhirnya. Pada surat itu, terlihat beberapa titisan merah darah yang menjadi lakaran latar belakang tulisannya. Merah ini, darah Zaim yang menitis semasa menulis surat. Lakaran madah dan kata membuatkan Adam sangat kagum akan pengorbanan sahabatnya.
Nota kecil dari Zaim yang menampilkan tarian abjad...

Aku hanya mampu, 
Bicara dalam sesak nafas,
yang akan,
Menjadi di bawah batu nisan penamatnya.

Mata terpejam dari melihat dunia fana,
dan melihatmu anugerah hatiku.

Jiwa yang terbang terpisah,
Melayang beralih pada,
Jasad yang melahirkanmu.

nota akhir : Aku tinggalkan sepotong sajak buatmu, dan sebentuk cincinku di jari manis tangan kanan ibumu, wahai sahabatku...dan sebuah tafsir Al-Quran di atas kotak coklat, serta buku-buku di dalam kotak itu. Hanya ini yang mampu aku lakukan untuk kau. Maafkan aku dari awal hingga akhirnya...
Assalamualaikum, kenangku dalam doamu.


Adam kelu tanpa bicara setelah membaca surat dari seorang teman yang mulia hatinya. Pemergiannya demi sebuah kebahagiaan hati insan lain. Penderma jantung ibunya ialah Zaim...itulah kenyataan dihadapinya kini.

Nota Kecil : Takdir tidak pernah kejam...maafkan aku seandainya karya ini ada  terdapat kesilapan gaya penulisan dan membosankan. Aku manusia lemah..............


Saturday, May 8, 2010

Rumah Berkat (Bahagian 3)

Adam kini berada di ruangan jeritan batin gelora kesempitan yang dirasa semakin kejam. Kekejangan dapat  dirasai dari sudut mentalnya. Adam melihat kipas itu berputar-putar, di samping otaknya juga berputar sama dalam menggali jalan keluar bagi masalah yang dihadapi.

Adam berjumpa Zaim di bawah. Dia menggaitkan jari-jemarinya tersangkut pada jaring bersilang pagar besi hijau yang menjadi penghalang antara bangunan.


“Assalamualaikum…adik tolong panggilkan abang Zaim.” Pinta Adam pada seorang budak dalam kira-kira berumur 8 tahun.

“Waalaikumusalam…abang tunggu sini kejap ye.” Jawab budak itu.

“Adam, dah lama aku tak nampak kau. Biasanya kau buat lawak, tapi kenapa nampak sedih je ni?” Soal Zaim yang baru sahaja siap membuat mural pada dinding bilik anak-anak kecil.

“Zaim…mak aku sakit jantung, dia terkejut dengar ayah aku lafaz cerai talak dua, mak aku dah hampir pulih, tapi bila dia dengar kata-kata tu dari ayah aku…” kata Adam sambil menangis tersedu-sedu. Suaranya tidak mahu keluar. Tersekat pada kerongkong.

“Adam sabar…Kau kena kuat. Kau kena bertahan.” Zaim memujuk sahabatnya, sambil mengelap air mata Adam menggunakan hujung jarinya.

Adam terasa ingin merangkul tubuh sahabatnya itu. Namun, Pergerakan mereka terbatas kerana terhalang oleh pagar hijau itu. Adam selalu melakukan percubaan untuk masuk ke dalam Rumah Berkat. Tetapi, tidak semudah yang disangkakan, kerana kawalan keselamatan sangat ketat demi anak-anak yatim di dalam rumah itu.

Adam berharap agar dia semakin kuat apabila berdepan dengan dugaan yang mendatang. Adam sepatutnya lebih kuat, kerana kalau nak dibandingkan dengan Zaim. Zaim lebih awal mendapat dugaan hidup apabila tiada emak dan ayah sejak umur empat tahun lagi. Adam sepatutnya bersyukur kerana masih ada kedua orang tua untuk berbakti. Zaim pula, dari kecil lagi tidak tahu bagaimana rupa emak dan ayahnya.

“Adam kau ok tak? Kau boleh sambung apa yang kau nak cakap tadi, pasal mak kau. Aku sedia mendengar…” Soal Zaim sambil tertanya-tanya dalam hati apa yang terjadi pada Mak Esah.

“Mak aku masuk ICU sebab ayah aku ceraikan dia…aku bingung Adam, siapa yang nak derma jantung untuk mak aku, doktor kata mak aku perlu lakukan pembedahan tukar jantung. Aku dengan abang Din dah cuba, doktor kata kita orang tak sesuai dan tak boleh.”  Panjang berjela penerangan dari Adam, bagi menerangkan situasi sebenar.

“Adam, Allah sayang kat kau.” Ringkas Zaim berkata.

Adam mengangkat wajahnya dan merenung mata Zaim. Setelah lama dia menundukkan kepalanya, kerana malu menunjukkan pada Zaim danau jernih di tebing matanya. Pada Adam bukan anak jantan menangis begitu. Namun, dia tidak dapat menahan perasaannya lagi pada saat itu.

“Tapi ini berat Zaim…” Balas Adam ibarat mengeluh dan tidak berpuas hati dengan ujian Allah.

“Allah beri ujian pada hamba-Nya mengikut kesesuaian, Allah tahu kau mampu jalaninya, Dia Maha Mengetahui. Jangan mengeluh wahai sahabatku.” Jawapan dari Zaim cukup jelas dan mampu membantutkan perasaan mudah mengalah yang ada dalam diri Adam.

“Aku takut mak aku tak sempat diselamatkan, doktor kata peluang mak aku ada dalam dua minggu lagi.” Adam masih dalam kegelisahan.

“Adam, kau kena yakin, kau dah ikhtiar dan doa, bukannya kau tak buat apa-apa, mesti Allah tolong kau, sekarang ni kau hanya perlu bertenang.” Zaim menguatkan semangat Adam.

“Zaim, aku tengok kau tenang je…macam tak ada masalah.” Adam berasa lega setelah meluahkan segalanya pada sahabatnya.

“Masalah aku kecil je…aku selalu kena jumpa manusia yang berjubah separuh putih tu. Kau nak tau tak, Adam?” Zaim cuba berkias dengan Adam tentang kata-kata pertamanya dan mengaburi mata Adam dengan soalan.

“Apa maksud kau yang tadi? Aku tak faham la…kau nak kongsi dengan aku cerita apa?” balas Adam keliru dan bertanya kembali.

“Tak perlu faham pun, aku saja je nak berkias dengan kau… kau tahu tak yang persahabatan kita berdua sedang diduga dengan pagar hijau ni, kita dah dekat tapi terhalang.” Jawab Zaim yang sebenarnya jauh dibenaknya, ada masalah yang biar dia saja yang tanggung. Dia membicarakan cerita lain.

Mengerti maksud Zaim akan pagar hijau itu. Zaim juga tidak menggemari kehadiran pagar pengahalang itu. Di hati mereka ada tanda persahabatan yang kukuh walaupun dibenteng.

Adam terus memikirkan tentang kata-kata Zaim.
Apakah maksudnya?
Siapakah itu?
“Lelaki berjubah separuh putih.”

nota kecil : akan bersambung...mungkin entri akan datang ialah penamat cerita ini. maaf jika tak seronok membaca, tak payah teruskan membaca ye...

Thursday, May 6, 2010

Rumah Berkat (Bahagian 2)


Subuh yang sunyi membangkitkan rasa tenang dalam hati Adam. Apabila bunyi itu bertautan pada hati. Bunyi yang membuktikan manusia berstatus Islam akan menghambakan diri pada Allah. Pabila rindu itu kemilauan, maka Adam bicarakan pada yang Satu di atas tikar sembahyang. Rindu akan kebahagiaan dan kedamaian.

"Abang Rizal, meh lah bangun...sembahyang saing." Pelawa Adam pada abang keduanya.
"Alah...tak guna sembahyang, aku dah memang jahat." jawab Rizal bersahaja.
"Astaghfirullah...abang, tak baik cakap macam gitu." kata Adam pada abangnya.
"Hoi! kau nak pergi sembahyang...pergi la...tak payah ajak-ajak aku. Bingit la budak ni." keras sekali jerkah kata dari Rizal pada adiknya.

Adam membentangkan sejadah untuk solat Subuh. Dalam doa selepas solatnya, dia turut mewadahkan nama abang Rizal agar mendapat petunjuk dari-Nya. 

Adam bersarapan pagi dengan roti dan kaya serta air masak. itu sudah memadai baginya. Dia malas untuk memasak air pada pagi itu. Pagi yang mungkin menceriakan ini, dia membawa hajat hatinya ingin melawat emak di hospital yang terkena penyakit serangan jantung. Adam mengetuk pintu bilik ayahnya. Dia mencari ayahnya untuk memohon izin keluar dari rumah. Namun...bayangan pun tiada.

"aaaaahhhh......"Rizal menguap sambil melangkah keluar dari biliknya. 
"Abang, Adam nak keluar jenguk mak kat hospital. Adam ingat nak tukar ganti dengan abang Din jaga mak kat hospital. Dah lama abang Din tak berehat, asik jaga mak kat hospital." bicara Adam pada Rizal yang tak berguna itu.

"Ada aku kisah...kau nak pergi mana, kirim salam kat mak, cakap kat mak, lepas ni jangan sakit-sakit lagi, menyusahkan orang je...mak sakit-sakit pun, ayah bukan ambil kisah. Sara minah jalang juga ayah cari." jawab Rizal dalam nada sangat biadap.

Rizal memang abang yang tidak bertanggungjawab. Dia lebih kepada gaya hidup yang suka berfoya-foya seperti Pak Mail. Tidak seperti abang Din dan Adam yang lebih kepada menjadi insan yang taat pada Tuhannya. Rizal gemar pergi ke kelab  malam dan menempah gadis-gadis liar yang sudah ditebuk tupai untuk menjadi santapannya pada malam minggu. Dengan nilai kertas yang berwarna-warni sebanyak RM400, dia sudah berjaya menikmati tubuh wanita dengan malam bergaya syaitan. Rizal yang hanya bekerja sebagai pelayan restoran di Hotel Puteri Pacific lebih berminat menjana duitnya pada jalan yang luas tapi hakikatnya sempit.

Adam keluar dari rumah yang bagaikan sebuah epik perjalanan palsu, dia juga tidak ingin kelabu hatinya terus-menerus begini. Dihatinya terdetik janganlah biarkan pelangi berarak pergi andai tiba mewarnai hidupnya suatu hari nanti. Adam tidak mahu berulang kembali ceritera kembaranya yang penuh duka itu. Bukan gayanya menjadikan racun sebagai penawar hidup. Adam kini hanya berserah segalanya pada Allah. Dia yakin inilah dugaan yang terindah walaupun pahit untuk dijilat lagikan ditelan.

Adam menyusuri kawasan bawah rumah flatnya. Dia mengukirkan senyuman buat kanak-kanak yang bermain di kawasan bawah flat quarters polis itu. Taman permainan yang rosak tidak diselenggara dengan baik, menyebabkan kanak-kanak itu tiada tempat untuk bermain. Kawasan bawah rumah flat menjadi sasaran mereka untuk dijadikan pengganti bagi taman permainan yang musnah. Adam menunggang motosikal, walaupun tanpa lesen, dia tetap nekad menuju ke arah Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru. Jalan yang sesak dia tidak peduli, kerana baginya hanyalah.  Matanya ingin menatap wanita yang paling dicintai selama ini. Susuk tubuh emaknya sudah terbayang dipemikiran.

Setibanya di hospital, Adam terdengar suara garau yang dibencinya. Dia pun bersembunyi dan curi-curi dengar di sebalik langsir hijau Wad 12.

"Esah, aku datang ni nak minta kahwin lagi satu, kau bagi je lah...lagi pun kau dah tak larat, sikit-sikit sakit." Pinta Pak Mail yang tak pada kena tempatnya.

"Esah kan sakit bang...tunggu lah Esah sihat sikit. Esah bukan..." kata Mak Esah sambil tersangkut-sangkut setiap patah bicaranya.

"Kau sihat pun nanti sakit balik, aku bukan apa...aku kesian dengan kau, nanti kalau ada Sara tu, boleh tolong-tolong kau." Pak Mail bercakap bagaikan isterinya tidak berperasaan.

"Ayah..." Din menyampuk dari belakang. Abang Din baru pulang dari Bilik Doktor kerana membincangkan soal emaknya.

Adam masih bersembunyi dan tidak kelihatan dari pandangan sesiapa.

"Din..., sihat din?" Pak Mail malu sedikit dengan anak sulungnya yang paling bersabar dengan sikapnya.

"Ayah tanya mak lagi elok, Din sihat je...ayah datang ada apa?" soal Din. Mak Esah kembali tenang setelah memegang tangan anak lelakinya yang bagaikan kekuatan baginya.

"Ayah kau nak kahwin lagi satu Din..." sampuk Mak Esah walaupun berat untuk dia mengungkapkannya.

"Kalau itu ayah nak, boleh...tapi tunggu mak sembuh dulu." jawab Din pasrah.

"Betul cakap Din tu bang..." Mak Esah bersuara halus kerana menahan sakitnya. Sakit jantung dan kini menjadi sakit hati. 

Adam muncul dengan barannya. Dia tidak tahan melihat tingkah ayahnya yang disokong pula akan  kerelaan emaknya dan abang Din.

"Ayah...Kalau abang Din redha, Adam tak redha! Cik Sara bukan perempuan baik untuk layak jadi madu emak." Pintas Adam yang memunculkan dirinya secara tiba-tiba.

Pak Mail, Mak Esah dan abang Din terkejut. 

"Kalau itu Adam tak nak...ayah buat keputusan lain." Kata Pak Mail  bagaikan mencabar anaknya sendiri.

"Ayah..." suara Din keluar bagaikan merayu.

Muka Mak Esah semakin pucat dan kelihatan tidak bermaya berbanding awal tadi. Pak Mail tetap meneruskan bicaranya. Adam pula sedia mendengar  kata-kata ayahnya.

"Ayah ceraikan emak dengan talak dua." Pak Mail bersuara yang mampu menyentap jantung semua yang mendengarnya.

Pak Mail bagaikan tiada perasaan malu lagi di khalayak ramai, dia berkata bagaikan orang kurang siuman. Pak Mail tidak menyedari keadaan isterinya yang sakit jantung. Dia pulang dengan megahnya setelah menyatakan lafaz yang dibenci Allah. Dia membiarkan keadaan isteri dan anak-anaknya terumbang-ambing.

Mak Esah semakin kritikal. Din dan Adam berlari mencari doktor. Mak Esah disahkan oleh doktor untuk dimasukkan ke dalam Wad Rawatan Kecemasan. 

"Abang Din...mak masuk ICU, betul ke ni?" soal Adam dalam nada sedih.

"Betul Adam...kita doakan mak sembuh seperti asal." jawab abang Din dengan tenang.

Adam dan Din hanya mampu tegarkan jiwa, jauhkan dari luka, biar nyala kasih sayang antara mereka, seandainya sudah mati kasih ayahnya pada mereka. Mereka tetap menanti sinar.

Adam dan Din lebih rela genggam bara dalam kalbu.

nota kecil : akan bersambung...maaf jika cerita tidak terkait dengan tajuk...(penulis pening kepala sikit)

Monday, May 3, 2010

Rumah Berkat (Bahagian 1)


Dia memandang dan merenung bumbung Gerbang Selatan sambil sekali-sekala matanya mencuri pandang pada kenderaan yang berpusu-pusu pulang dari kerja di laluan lebuhraya menghubungkan antara Johor Bahru dan Woodlands. Sistem perhubungan jalanraya yang tidak sistematik ini menyebabkan kesesakan lalulintas kepada semua orang. Matanya masih melihat laluan itu, orang ramai menuju ke arah berlainan sama ada Pusat Bandaraya Johor Bahru atau Singapura. Dia yang bernama Adam, sering sepi kerana kurang kasih sayang akibat terhimpit dek masalah ayah dan ibunya. 
Adam lebih rela memainkan lagu buntu dihati, madah sendu di jiwa, nada longlai dalam nyawa yang kanan dan kiri tiada bahagia. Adam hanya memandang dunia dan tertanya mengapa aku tidak bahagia seperti keluarga lain...?  Sepi yang berakar hanya diluahkan dengan menikmati wayang dunia dengan ragam manusianya, angin sepoi-sepoi bahasa yang bertiup di sudut balkoni rumahnya yang berada di tingkat tujuh Kuarters Polis Bukit Chagar, melegakan hati Adam yang sepi dan tersepit antara marah dan nilai hormat. Adam hanya mendiamkan diri atas perkara yang dilakukan oleh ayahnya.
“Ayah, wangi semacam ni, nak pergi mana? Ayah, mak tengah sakit kat hospital, ayah masih lagi nak...” belum sempat Adam menghabiskan ayatnya.
“Ayah ada urusan, Adam sibuk-sibuk ni kenapa? Mak sakit nanti sihatlah...apa susah.” Balas Pak Mail yang telah memotong ayat anaknya.
“Ayah...Adam ingat nak tengok mak malam ni, kalau boleh nak ganti abang jaga mak kat hospital, kesian abang penat, dia dah jaga mak seminggu.” Pinta Adam pada Pak Mail.
“Kau pergi la sendiri, tak payah ajak ayah...,ayah nak keluar malam ni,” kata Pak Mail.
“Ayah nak pergi jumpa Cik Sara kan?” soal Adam sambil mukanya agak tidak puas hati.
“Adam, kamu jangan kurang ajar,” balas Pak Mail.
“Adam kurang ajar, atau ayah yang kurang ajar selama ni?” soal Adam dengan marahnya.
Satu penampar yang bukan lagi sulung menyinggah muka Adam yang putih bersih itu. Kulit cerahnya menyerlahkan kesakitan tamparan hingga kemerah-merahan. Tegangnya urat Adam tidak setanding tegangnya perasaan hati terhadap ayahnya. Adam tidak hairan dan pelik lagi, dia sudah terbiasa dengan tamparan dari ayahnya. Wajah yang jadi cerminan diri hanya layak untuk ditampar, ditumbuk, dipijak dan disesah oleh ayahnya, itulah perkara yang tersemat dalam kepala Adam.
“Hah! Sudahlah, malas aku layan budak mentah.” Teriak Pak Mail.
Adam hanya terduduk diam kerana kepala yang berpinar-pinar masih terasa selepas ditampar. Dia bangun kembali dengan segera dan mengejar ayahnya hingga ke lif, dia sedaya upaya ingin menghalang ayahnya. Tetapi gagal.
Adam kembali menapak lemah menuju ke rumahnya. Tidak disedari jam kini menunjukkan waktu hampir Maghrib. Dia tersedar setelah disapa dengan laungan azan Maghrib yang berkemundang di corong surau Rumah Berkat. Rumah yang menjadi tempat anak-anak yatim Johor Bahru berteduh dan melangsungkan hidup. Masa yang menjadi tanda kebahagiaan bagi anak-anak ini ialah lawatan atau kunjungan pihak sukarelawan luar. Mereka akan terhibur dengan layanan dan keprihatinan masyarakat luar. Tetapi, bukan semua masyarakat memandang kehadiran anak-anak yatim ini yang sentiasa inginkan bantuan dan sokongan.
Adam sangat gemar mendengar laungan azan yang lunak dan merdu itu. Lebih sedap dari suara Siti Nurhaliza dan Mawi AF3. Adam tahu yang itu ialah suara Zaim. Zaim ialah rakan sebaya yang tiada ibu dan ayah sejak umurnya empat tahun. Zaim merupakan anak contoh dalam teratak indah itu. Zaim seorang yang berkebolehan dalam segala hal, dan dia juga seorang anak yang taat pada Allah dan mampu menerangkan ruang lahad arwah ibubapanya di alam barzakh sana.
Setiap kali azan, mesti Adam akan menuju ke ruangan balkoni untuk mendengarnya dengan khusyuk. Surau Kuarters Polis Bukit Chagar turut sama melaungkan azan tetapi lambat tiga minit selepas laungan dari surau Rumah Berkat.
Adam dan Zaim ialah teman rapat. Namun, hubungan mereka dipisahkan oleh pagar hijau yang menjadi penghalang antara Rumah Berkat dan Kuarters Polis tersebut. Adam dan Zaim selalu berbual sambil duduk pada longkang kecil di tepi pagar itu. Bukan mudah bagi orang luar masuk ke dalam ruangan Rumah Berkat itu. Lagi-lagi budak macam Adam, nampak macam budak jahat. Maka, mereka hanya menjalinkan persahabatan yang dihalang oleh pagar besi hijau yang barkait silang itu.
Adam menutup pintu balkoni dan menuju ke bilik mandi untuk mengangkat air sembahyang. Dia berlari-lari anak menuju ke lif untuk mengejar Surau di bawah bagi bersama-sama mengerjakan solat maghrib secara berjemaah.
“Assalamualaikum warahmatuh Allah...” Imam mengucapkan salam akhir selepas tahiyat akhir dan diikuti oleh makmum.
Imam dan makmum membaca wirid dan doa. Jatuh berderai air mata Adam apabila mendengar ayat “Kasihi dan kasihanilah kedua ibubapaku sepertimana dia mengasihiku sejak dari kecil...”
 nota kecil : akan bersambung...