Hamba hingga akhirnya

My photo
Aku hanya seorang hamba ALLAH yang kerap buta pada terang cahaya,sering celik pada gelap lorong yang hujungnya mati jiwa, tapi keraguan itu hanya semalam yang caci. Ya ALLAH, relakan aku menangis kerana mendengar kebenaran, jangan biarkan aku ketawa sedangkan di dalamnya penipuan.

Sang Penulis

“Semua penulis akan mati. Hanya karyanyalah yang akan abadi. Maka tulislah sesuatu yang membahagiakan dirimu di akhirat nanti” (Ali bin Abi Thalib).

Sunday, June 26, 2011

Rapsodi Klausa di Kota Al-Hambra

Sekali lagi,
Aku menulis rambang,
Jiwa yang suruh mengalirkannya.

Mari bersantun bisu,
Tiada sepatah tersebul,
Serona jiwa militan,
Terbungkam kancah gubahan ganas.

Bisikan-Mu,
Teriak yang paling merdu,
Terlaung melodi lembut.

Aku perlu yang ini,
Aku wajib yang ini,
Aku datang padamu sela waktu,
Dengan detakan jantung padu,
Ingin bermanja dan mengadu.

Momentum terhebat,
Wahai Maha Pengikat.

Dipermulaan jerit pekik Bilal Bin Rabah!
Diakhiran pemecah kepenatan.
Sembuh sudah sakit segala sakit.

[Nota Bergasak Fakta : Solat ialah pemecah kepenatan]

Friday, June 24, 2011

Cerita Kedai Kopi

Pas.Pus.Pas.Pus.
Lelaki tua kumpul semeja,
Sebatang rokok berbara,
Di hujung jari kasar berurat lebar.


Pakcik sedut dalam-dalam,
Pakcik hembus diam-diam.
Ada sedikit gaya 'tarik' di situ.


Asap jelaga berkepul-kepul,
Terliuk lentok warna-warna putihnya,
Kontra dengan gelap hitam malam.


Beranak tar dan toksin cukup nikmat.
Kata orang mati cepat,
Arggghhh!
Persetan itu semua...
Kalau ajal bukan ini pemunca.
Memang DIA menjemput ke SANA,
Bicara kecil pakcik semeja.


Pakcik menepuk meja,
Gaya bahasa badan,
Tandanya geram,
Tidak puas hati.
Barangkali.

Pakcik kopiah putih,
Tidak berasap-asap lagi,
Sudah bersara katanya.

Pakcik kopiah putih buka cerita,
Kapitalis,
Sosialis,
Sekularisme,
Liberalisme,
Konspirasi,
Spekulasi,
Video sulit,
Islam berkebajikan.
Kepimpinan erdogan.
Bersih,
Rancak butir-butir itu terlontar.


Aku terpikat dengan situasi,
Aku masih merenung si tua semeja,
Biar saja mereka riuh berpetah lidah,
Semerah-merah darah,
Hati tetap berwarna hijau,
Hak rakyat untuk bersuara,
Memang kita menegur pemimpin,
Siapa lagi?


Kaut segala Ringgit Malaysia,
Kecam cekik leher bawahan,
Suap mulut golongan bangsawan,
Sampai bila ragam keparat bakal jumpa penamat,
Ingin saja di terajang wajah-wajah bacul itu,
Senyuman orang kaya penipu,
Bisik jiwa gersang kebenaran,
Sang perindu khalifah.


Wahai pihak autokratik,
Ingin tutup mulut mereka,
Berikan satu stesen media demokrasi,
Bila memberontak mulalah gelabah.


Pincang kamu hai orang atas,
Kami pula jadi penanggung,
Bedebah atau bertuah,
Pilihlah.


Hentam sana hentam sini,
Fitnah sana fitnah sini,
Ya...ini corak kepimpinan kita!


Pakcik semangat berhujah,
Kalah tekak parlimen,
Peluh jantan bernafas politik,
Memercik di dahi si tua.


Pakcik pihak lawan pula,
Mulut ternganga,
Putih terbakar,
Tinggal kuningnya,
Puntung rokok ditatap laba,
Asap bertukar debu di bawah meja.


Demikian kehangatan meja kedai kopi,
Bisa meninggalkan puntung rokok sahaja.



Nota Bergasak Fakta : Politik bukan sejenis dadah untuk digeruni dan dijauhi...Berbeza dengan suara corong-corong pengumuman di lembah ini dan di bukit itu. "Anda diharamkan untuk menyertai perhimpunan Bersih 2.0". Inilah kepimpinan demokratik, dari bangku sekolah hingga ke bangku pengajian diajar untuk jangan jadi seperti kisah 'Singapura Dilanggar Todak'. Bila ditanya mengapa mahasiswa tidak berkualiti, tepuklah dadamu sendiri wahai Si Kuku Besi...sudah malas aku berbasa-basi. Meskipun, aku kini sudah di menara gading kata pepatahnya. Namun masih lagi ibarat dalam ruang kekotak kaca ditutup mulut dengan topeng-topeng ancaman yang bikin otak semakin lembam. Disuruh berhujah tetapi di dalam bilik bukan di auditorium gah. Bosan.




Thursday, June 23, 2011

Lebih Mafhum

Otak kiriku rancak berfungsi dan meminta belaian.
Otak kananku semakin merajuk dan menyendiri. 
Tangan kiriku terlihat cacat dari jauh semasa menulis puisi.
Tangan kanan pula reaksi dominan seligat perlakukan apa-apa. 
Mata kiriku seperti kabur-kabur dalam mengenal awan dan langit. Mata kananku semacam menarik mata kiri untuk pinta berteman.


Hati.
Hatiku pula tiada pasangannya,
Hatiku cuma ada satu,
Memang benar hati cuma satu, 
Aku sudah tidak pandai menipu!

Maka, siapa pasangan buat hatiku?
Jawapannya ialah makrifat Pencipta,
Tidak kenal maka tidak cinta,
Selama wajib kuceburi dunia ini,
Jangan kata tangguh,
Jangan berhenti kecuali mati.

Kau ingat ALLAH itu pekak ke?
DIA Maha Mendengar,
Teruskan merintih,
Biar legasi suci selubung fiksi-fiksi,
Bukan cuma tangan semata-mata,
Hati akal bagai dipujuk sama.

Kali ini biarkan aku menangis,
Sambil tangan menadah doa,
Sambil tangan menadah air mata.

Nafas berbau haruman sitrus,
Sekalian hembus bersama kalimah ahad,
Kekasih lama sudah mati,
Kulumatkan jiwa pendosa kemarin,
Sempurna licin,
Kini ruang tali akidah lincah berpilin.

Keindahan bersamaMU,
Tidak akan pernah patah hati,
Nyanyian jiwa sehebat orkestra bergenderang.



Nota Bergasak Fakta: 
Kunci sudah ada dalam genggaman, 
tinggal pilih pintu yang berkenan. 
Biar kita masuk pintu kanan,
Walau gerak banyak pakai kiri. 

Wednesday, June 22, 2011

Taqwa

Biar muka pecah rumah,
Asalkan hati selalu ingat ALLAH.



Biar muka macam bomoh tolak hujan,
Janji hati penuh iman.


Biar kulit gelap macam pisang salai,
Tapi tidak pernah sekali lalai.



Biar muka banyak jerawat,
Yang penting bibir suka berselawat.


Nota Bergasak Fakta : 
~ALLAH pandang taqwa~
~bukan rupa~

Acuan


Dari foto-foto itu,
Kau pasti tahu perangai mereka,
Dari video-video itu,
Kau pasti tahu cerita mereka.


Maaf,
 Sudah terlambat,
Selembar sesalanmu,
Sudah terlepas,
Sederas hanyut air terjun,
Tenggelam hampir seluruh.


Selembut rebung,
 Telah menjadi sekeras buluh.


Mata abstrak kau sering gagal,
Memerhati benda tersembunyi ini,
Terlalu percaya pada naluri melulu,
Syabas.


Kau menyakiti roh zuriatmu setiap hari,
Menyuap segala bentuk hedonisme,
Mitos-mitos carca marba,
Berkecamuk pilihan meniti hari,
Keliru antara, 
Keseluruhan atau sebahagian.


Ingin menghidupkan kembali,
 Rasa mereka yang telah mati,
Memusingkan kepalamu berputar-putar.


Sesungguhnya,
Seawal usia,
Seputih kain putih,
Detik pangkal itulah bagimu,
Mencorakkan yang indah-indah,
Berhati-hati agar lakaranmu,
 Wujud yang baik-baik,
Islam yang gah,
Catan takkan terkalah,
Dan siapakah yang lebih baik acuannya?


Bukan corak Yahudi mencumbui Nasrani,
dengan berahinya.
Bukan sama sekali.




Hanya Najwa: 
"Asuhlah dengan warna-warni Islam"





“…Dan siapakah yang lebih baik shibghahnya (acuannya) dari pada Allah? Dan hanya kepada-Nya-lah kami menyembah.” (Al-Baqarah : 138)

Tuesday, June 21, 2011

Azam, Hadiah dan Denda?

Kita pernah ada azam...tipu seandainya tiada hasrat untuk berubah.

Contoh-contoh azam :
1) Ingat ALLAH selalu, ikhlas dan istiqamah.
2) Baca Quran (taddabur) sehari 20 muka surat. Mathurat lepas subuh dengan asar.
3) Jangan mengumpat dan buruk sangka.
4) Solat jemaah setiap waktu dengan teman sebilik.
5) Beri kemaafan pada orang lain. Apa kelas kita untuk tidak memaafkan.
6) Hafazan dan solat malam.
7) Setiap hari sampaikan walau satu ayat, untuk tunjuk dekat orang Islam dan bukan Islam bahawa Islam ini indah.
8) Datang awal ke kelas.
9) Boikot zionis semampunya.
10) Ketawa 3 harkat.
11) Usrah jangan tinggal, surau kerap datang.

Biasanya azam-azam kita berbentuk ke arah kebaikan. Tidak mungkin azam kita berupa ke arah kejahatan bukan? contohnya, aku nak solat berjemaah setiap waktu, tak dapat dekat surau, dapat buat dengan rakan sebilik sudah cukup kental. Contoh azam lain, aku nak curi petai Pak Hassan sampai botak, tinggal daun-daun saja. Mana mungkin ada keazaman yang begini rupa kecuali terbina atas dasar emosi, seperti, anda berasa marah  dengan Pak Hassan kerana menolak peminangan untuk mendapatkan anak perempuannya, lalu anda cuba mencuri petai Pak Hassan sebagai tanda membalas dendam.

Keazaman sungguh indah di mata fantasi. Macam tengok kartun Boboboy. Cuba siapkan keazaman itu?
Kerana kita asyik tanya mengapa...tidak mahu cuba bertanya bagaimana...sebab itu, aku kurang berminat dengan soalan kenapa dan mengapa. Aku suka orang tanya pada aku 'bagaimana'. Aku pun suka tanya orang 'bagaimana'. Baru mencabar perbualan kita.

Apa kaitannya bagaimana dan kenapa?
Sikap kenapa ini akan menyebabkan kita kerap mengungkap akan hasil dan kesan.
Sikap bagaimana pula kita akan kerap mengungkap akan usaha dan langkah-langkahnya.
ALLAH pandang usaha, aku selalu dengar madah ini dari sahabat-sahabat yang baik hati.

Maka, janganlah ragu-ragu...ALLAH akan tolong semuanya. Kita tinggal usaha saja. ALLAH sudah bagi hati, akal, tangan, mata, telinga, kaki,dan macam-macam lagi. (penat nak tulis-ini ialah bukti betapa banyaknya nikmat ALLAH bagi secara percuma, sampai aku tak larat nak tulis-kalau ALLAH suruh bayar bil  tiap-tiap bulan macam modem jalur lebar...haa...baru padan muka kau Najwa).

Aku nak bagi tips supaya kita boleh ubah azam kita untuk menjadi lebih mencabar.
Adakah anda pernah mendenda anak murid? janganlah panggil denda...tak ada keistimewaan linguistik...Aku tukar soalan, adakah anda pernah memberikan peneguhan negatif? Cukup-cukuplah bagi peneguhan negatif. Nanti terhalang filantropi antara manusia. Aku tak suka cikgu cubit sampai berdarah-darah. Kalau marah pergilah ambil wuduk. Kalau marah lagi pergi tumbuk sambal belacan, manfaat sikit. Lagi satu jangan kumpul kemarahan anda, dan lepaskan pada seseorang. Bahaya. Lepaskan kemarahan anda dengan muhasabah diri.  

Baiklah...ada dua tips untuk kita didik keazaman :-

1) Kegagalan azam -beri denda untuk diri sendiri
Semasa kita gagal menjalankan keazaman kita, contohnya, aku semester ini ingin datang awal ke kuliah, secara tiba-tiba terdatang lambat la pula. Kita pun cuba, didik dengan muhasabah diri, lepas itu boleh memberikan peneguhan negatif yang bercorak baik. Kita denda diri kita seperti hari ini aku lambat datang kuliah. Aku nak denda diri sendiri dengan menyapu sampah di bilik sendiri dan bilik jiran sebelah. Aku nak denda diri aku dengan hafaz surah an-naba. Aku nak denda diri aku dengan gosok baju kuliah satu almari. Denda yang anda buat ialah bercorak kebaikan...(AMARAN : Jangan sesekali denda anda itu berupa menampar muka sendiri sebanyak 100 kali, dan jangan sesekali denda berupa menghentak-hentak kepala di dinding atau pintu keras, bantal empuk tidak mengapa)

2) Kejayaan azam -beri hadiah untuk diri sendiri
Semasa kita berjaya melakukan keazaman kita, contohnya, aku berjaya datang awal ke kuliah. Kita pun cuba bagi peneguhan positif dengan memberikan hadiah kepada diri sendiri. Seperti, aku datang awal selama sebulan, aku nak hadiahkan diri aku dengan doa selamat. Aku nak hadiahkan diri aku dengan sujud syukur. Aku nak hadiahkan diri aku dengan puasa sunat. Aku nak hadiahkan diri aku dengan empat rangkap sajak. Adakah anda rajin bersedekah? belilah nasi ayam 10 bungkus bagi pada sahabat-sahabat yang memberikan sokongan tidak jemu-jemu semasa anda berubah.

Denda dan hadiah anda yang berbentuk amal itu, janganlah dianggap kerana denda dan hadiah, niatkan ikhlas kerana ALLAH. Biar jadi ibadah. Indah bukan?

Hanya Najwa : Aku pernah merasa bagi hadiah dekat diri sendiri tiga kali cuma. Tapi selalunya merasa denda memanjang saja. Jangan gopoh-gapah...kita perlu merasakan nikmat usaha kita. Kalau orang kutuk Contohnya "hai...awal hari ni datang kelas". Kita perlu anggap itu sebagai pujian. Contoh lain, "Hai...rajin datang surau". Anggap itu sebagai pujian. Ingat, jangan kecil hati...Jangan anggap sebagai kutukan. Itu hanya kutukan manusia, tak luak pun ketampanan dan kecantikan wajah kau. Yang penting ALLAH tak kutuk kau...ALLAH tengah tolong kau!!! ALLAH tau kau merintih-rintih nak berubah. Nak kasi tembok pecah. Serius. Penulisan ini juga ialah dendaan agar aku berubah!!!

Monday, June 20, 2011

Sajak Budak Lambat

Bangga kamu datang lewat,
Sambil meneruskan tersengih-sengih,
Di sebelah akuarium,
Pada riak wajah semurah lima sen.

Datang lambat,
Pada asal-mausulnya,
Hanya sebuah kegemaran untuk dipecahkan,
Seawal usia enam tahun,
Sudah lama berkecimpung,
Dahsyatnya sebuah cereka ini.

Cikgu pesan dulu,
Jangan datang lewat,
Jangan 'kurang ajar',
Simpulan bahasa itu,
Tidak digemari bangsa kita yang pemalu.

Terlalu banyak hasutan hingga tidak berkenan,
Kerana nakal itu luar biasa rasanya,
Ibarat insomnia patah hati.

Perasaan ingin mencabar dalam segan,
Bercampur aduk,
Enak dibuat lagi,
Parah membarah tak henti-henti.

Kamu tahu,
Memberi alasan itu lebih sukar,
Daripada memohon maaf,
Meminta izin itu lebih payah,
Daripada memohon maaf.
Mendekut burung itu lebih susah,
Berbanding membongkar sauh.
Begitulah teori abstrak meronta-ronta.

Dalam senandung menjemput amaran,
Rupa-rupanya.

Cukuplah,
Ketika kamu terlambat,
Jangan lagi menyalahkan,
Jam tangan digital berwarna hitam,
Salahkan hati yang berwarna hitam.


Hanya Najwa : 'Seseorang' masih tidak faham-faham maksud sajak ini.Kalian cukup faham.Bagus.Noktah.Bukan senang untuk menghancurkan sebuah ketagihan.Noktah.Berubah.Dilarang Melayan.


Wednesday, June 15, 2011

Awak Apa Khabar?

Aku tunggu salji jatuh ke wajah,
Padahal sedang berdiri di bumi sahara,
Mengarut agenda ini.

Suatu masa dirasa...jatuh,
Jatuh?
Bangunlah sendiri,kau kan ada kaki...
Allah bagi,
Jangan sampai kena pijak orang,
Nanti jadi lempeng.


Jangan sesak kepala mengata manusia lain,
Walhal masih banyak lagi dosa berhimpun.

Hati terpekik terlolong,
Akal berpekak tuli,
Jasad masih ternanti-nanti.
Arahan dua-dua ini.


Jenguk-jenguklah,
Tanya apa khabar imanmu?

Tuesday, June 14, 2011

Melankolia Syurga Di Akhir Derita

Jejak hidup bagai merangkak di atas batu,
Cadas lalu berdarah.

Manusia yang bertitah dunia sebagai dirinya,
Untuk apa membakar diri dengan api kesombongan,
Berbondong-bondong tubuh anggota kesaksian,
Menemukan bicara di hujung hari.

Gumpalan wap hitam,
Menyaratkan kandungan awan,
Melelehkan hujan selebat-lebat.

Jangan berbaring dahulu di atas hening,
Yang menipu khayal.
Bangkitlah jiwa yang tersinggung,
Demi pelangi tujuh warna.

Di hujung sana ada,
Haruman kapas lavender.

Monday, June 13, 2011

Taman Permainan

Orang tidak memandang cara kerja sekarang,
Terpengaruh dari yang dulu,
Terima kesan nodamu.

Bulan menyinar,
Atas bersalah dan tidak bersalah,
Seolah Sama.

Kronik imaginari acara tidak penting,
Mengambil tempat lingkaran.
Normaliti luar sangkaan.
Berpusing seratus lapan puluh darjah sifatnya.


Jika kau percaya semangat boleh menjinakkan api,
Permulaan dan pengakhiran wajar bombastik,
Jangan berlatar hambar malar.

Jurnal kembara,
Berbatu notika,
Nota pendek dari ceruk kalbu,
Berkombinasi sejarah dan lakar-lakar krayon lusa.

Pandang sekilas,
Bukan ini bulan yang kucari,
Realisasi terkandas.


Pementasan dua puluh empat jam,
Silalah didarabkan,
Bergantung kepada hayat,
Garis-garis halus,
Skrip lakonan,
Melodrama realistik,
Masih tercungap-cungap.
Meraung minta digilap.

Sifat manusia rencam ragam,
Kepelbagaian ini begitu luas untuk kujelajahi,
Telah banyak mengukir,
Terlalu istimewa,
Kerana itu bumi sfera.



Dongeng taman permainan,
Bibir tersenyum,
Mata bercerita kisah lain.


Sudah letih kita bermain,
Kita pulang,
Abadi.


“Dan kehidupan dunia ini hanya senda gurau dan permainan. Dan sesungguhnya negeri akhirat itulah kehidupan yang sebenarnya, sekiranya mereka mengetahui” (Surah Ar-Rum : Ayat 64)

Sunday, June 12, 2011

Tips mengelak dingurat lelaki secara berterusan

Tips ini sesuai untuk perempuan-perempuan bagi mengelak daripada dingurat oleh lelaki secara berterus-terusan. Zaman sekarang, perempuan macam mana pun gaya penampilan dan sopan santunnya mesti kena ngurat. Padahal perempuan tu dah cukup main jaga lagi biar tak nak kena kacau. Tapi kena juga... Aku pun tak faham kenapa (ujian dari ALLAH)...ayat dari wanita kesayanganku ini cukup ringkas dan padat untuk semua :-

Saidatina Aisyah RA pernah berpesan,
"Sebaik-baik wanita adalah yang tidak memandang dan dipandang"

Jadi ini antara tips yang aku nak kongsikan :-

1) Kalau lelaki tu ada gaya macam nak datang dekat, dia seru-seru nama anda, tak kiralah dalam nada perlahan atau kuat. Mula-mula, anda konon-konon tak dengar je. Lepas tu, kalau ada kawan-kawan perempuan yang terdekat, anda cepat-cepat bercakap dengan kawan tu, pura-pura macam lelaki tu tak wujud langsung. Andai kata, kawan perempuan anda tiada dekat kawasan situ. Cepat-cepat pergi dekat tepi dinding, cakap sorang-sorang dengan dinding tu...Kalau nak sedap lagi, senyum sorang-sorang. Sambil tepuk-tepuk dinding. Biar dia seram tengok gelagat anda. Jangan la pura-pura macam kena rasuk jin pula, nanti semua dekat situ takut...bukan setakat lelaki tu je. (biarlah lelaki tu kata anda berlagak...tak mengapa)

2) Kalau dia kirim salam, anda tak payah kirim salam balik semula...jawab pun tak payah. Kalau dia menggedik lagi. Anda cakap je dekat tukang kirim salam tu, "kesah pulak aku..."

3) Masa lelaki tu minta nombor telefon anda. Anda bagi nombor telefon kedai buat keranda. (yang ni pernah berlaku-hasilnya sangat berkesan) Andai kata la, lelaki tu minta nombor anda dari kawan anda. Lepas tu, suatu hari yang malang, anda nampak nombor pelik datang memanggil. Dia telah menelefon anda. Anda angkat je, tunggu dia bagi salam dulu...lepas tu anda jawab, "Halo, ini lumah Ah Peng...lu mau angkat satu nombor ekor haa, wa baru chai nombor ma... lu mau angkat tak, aya...tak nak kaya ka ini olang? Halo,halo...aya lu salah nombor ma..." Tutup terus lepas tu...(suka hati korang nak pakai nama apek mana-mana pun)

4) Kalau lelaki tu usha anda dari jauh...main-main mata ke...anda buat muka macam lepas kena penampar cikgu masa gagal bahasa Inggeris dulu-dulu. Jangan balas mainan mata dia. Walaupun dengan jelingan tajam dan penuh menyampah. Sebab, makin dijeling, makin lelaki tu suka dan rasa nak cuba lagi. Makin panjang la janjang aritmetik kegatalannya...lepas tu, cepat-cepat pakai tudung senget...kalau anda seorang yang melipat tudung, cepat-cepat anda buka sebelah lipatan tudung...biarkan sebelah lipat ,sebelah tidak...baru nampak serabai. 

5) Contoh, bertembung dekat tempat-tempat baik macam tangga surau, anda bertindak selincah mungkin untuk mengeluarkan telefon bimbit. Pura-pura macam jawab panggilan dari mak atau ayah. Kalau dia menggedik lagi, baling pakai terompah surau = sampai kepala dia berdarah. (ada hikmahnya pegang telefon bimbit selalu...boleh berpura-pura)

6) Kesan facebook, twitter,blog, YM, skype, formspring, wordpress, tagged, flickr, kawanlah, multiply dan apa-apa lagi yang lain. Kenal pasti yang insan anda terima itu bukan diri dia yang sedang cuba mengurat. Kalau dia cepat-cepat 'reject' dan 'block' tanpa belas kasihan sama sekali. Bahaya jika dia mengetahui jejak hidup anda...Tahniah anda berjaya mengelak lagi!

7) Kalau dia jerit nama anda dari asrama/kolej lelaki......anda jangan pandang ke atas. Biarkan sahaja, Jika dia menjerit semakin kuat...anda teruskan berjalan...Ataupun dari padang bola dia cuba lemparkan bola dari jauh supaya anda kutip dan campak semula kepada dia. Anda ambil bola itu dan campakkan lagi semakin jauh dari kawasan padang dan teruskan perjalanan macam biasa tanpa melayan dia. Kalau boleh bakar terus bola tersebut...hehe.

8) lelaki tu tanya-tanya pasal anda dari kawan sekelas anda atau kawan rapat anda. Anda nyatakan perkataan ini pada rakan anda itu "Kau cakap dekat budak lelaki tu, aku dah bertunang dengan cikgu tahfiz, aku tak berkenan dengan orang lain lagi dah. Bulan depan dah nak kahwin."

9) Misal kata, lelaki tersebut masih tidak percaya dan tidak berputus asa...tiada lagi cara lain, anda terpaksa menyatakan bahawa anda meminati perempuan. (bahaya...yang ni tidak digalakkan..sebab boleh jatuh fitnah dan maruah anda)

10) Jawapan terbaik..."saya mahu suami bukan pakwe...ada faham??? Kalau nak mengurat pergi ngurat bapak saya...bukan saya." (orang berani...akan berkata begini, tapi hendaklah benar-benar kuat dan berterusan pegang prinsip itu)
 

Jangan pandang lagi...sebab anda sudah terpandang kali pertama tadi...


Najwa Tahir : Tips berdasarkan pengalaman dan pemerhatian. Jika ada pembetulan dan penambahan sangatlah dialu-alukan. Maaf kerana terpaksa menggunakan bahasa yang kasar. Selamat menyelamatkan diri...wahai wanita-wanita solehah sekalian...ALLAH bersama kamu.

Saturday, June 11, 2011

Adikku Sayang

Semalaman dalam bilik berdinding putih. Saleh menatap lampu siling tanpa reaksi. Dia berdiam diri. Sambil mencipta kolam air mata.

*************
"Kenapa menangis semalam? macam budak kecil je. Kongsi meh dengan akak." kakak menyapa adiknya yang sedang bermain komputer riba.

"Saleh sedih la, saleh menyusahkan semua orang...Saleh eksiden macam ni, bawa motor laju-laju semua." Saleh menjawab sayu.

"Siapa cakap. Benda dah takdir, bukan salah Saleh. Saleh kan budak baik, ALLAH nak uji. Tengok Saleh sabar je...tak mengeluh sikit pun." Kakak menepuk-nepuk bahu Saleh tanda memberi semangat.

"Kakak...Saleh minta maaf, sebab motor tu dah rosak. Kesian ayah. Ayah mesti kena kuar duit, bayar saman, bayar motor, bayar macam-macam lagi. Kakak pula kena jaga Saleh." Saleh mengeluarkan kata-katanya yang masih berbaki.

"Buat apa minta maaf, mana ada salah. Ayah tak marah pun. Itulah hikmahnya, kita kena bersyukur sebab masih ada ayah. Ayah boleh tolong uruskan semua. Kalau kita-kita je, seorang pun tak tau apa-apa." Kakak membalas rangkai kata Saleh sambil menyapu minyak rambut di kepala adiknya. Kemudian, disikat rapi mengikut fesyen terkini.

"Sebenarnya kan kakak, Saleh nak belanja kakak makan kat luar. Sebab ni kan gaji pertama Saleh. Tapi..." Saleh tak mahu menyambung lagi. Dia mengharapkan kefahaman dari kakaknya sendiri.

"Sebab tu Saleh bawa laju-laju. Saleh ni,...hmmm...Saleh tak payah sibuk nak belanja kakak. Saleh simpan je duit tu. Buat tolong-tolong ringankan beban ayah masa nak mula sambung belajar nanti." Kakak memandang tepat ke wajah Saleh.

"Aik...kakak pula menangis ni, apa pasal...haha. Hish, macam budak-budak je." Saleh mengejek kakaknya.

"Mana ada. Awak yang kuat nangis." Kakak malas melayan Saleh. Pada hal, mata sudah kemerah-merahan.

"Kakak...kawan sekolah lama kakak kirim salam. Dia cakap macam gini, 'kirim salam dekat kakak kau yang rajin pergi perpustakaan tu'...akak rajin pergi perpustakaan ke?" Saleh bertanya dengan penuh sangsi.

"Mestilah...tengok muka dah tahu...Sampaikan kawan akak cakap macam gitu...tu sudah boleh jadi bukti pe. Sila tiru macam kakak ye." Kakak menjawab dengan penuh bangga.

"Tiru tu jela...Tiru lain bahaya...nanti senget macam kakak. haha" Saleh mulakan rentak mencari pasal dengan kakaknya.

"Amboi...akak duduk atas tangan tu kang baru tau. Kakak ni dah la berat." Kakak menjeling keremot.

Pon.Pon. Hon kereta berbunyi. Kakak berlari mengambil tudung. Menyarung dengan segera. Lalu, membuka pintu menyambut tetamu di petang hari.

"Kita orang nak melawat Saleh. Saleh ada dekat rumah tak kak?" rakan Saleh datang ziarah. Tidak ramai, cuma tiga orang.

"Ada, Saleh ada dalam bilik, Meh la masuk dalam dulu, duduk dulu ye, kak panggil Saleh kejap." Kakak menuju ke bilik mencari Saleh. Saleh sedang membetulkan kain anduh tangannya yang patah itu.

"Kawan datang tu Saleh. Dah comel dah. Tak payah betul-betulkan lagi. Pergi duduk depan ye. Kakak buat air kejap." Kakak bercakap sambil melangkah ke dapur.

Selesai air dijerang. Seuncang teh O telah rancak bergaul mesra bersama gula. Teko kecil menjadi muatan. Dulang bunga-bunga bercorak alas meja marhaban telah diduduki oleh cawan-cawan. Kakak menghidangkan air buat tetamu. Kakak tuang satu persatu. Di samping itu, kakak juga telah menenggek kuali di dapur untuk menggoreng pisang. 

"Jemput minum, adik-adik semua, Teh O je petang ni...pisang goreng kejap lagi muncul." Kakak mempelawa rakan-rakan Saleh.

"Susah-susah je akak ni, siap ada pisang goreng." Apit bermanis lidah.

"Ooo. Inilah kakak Saleh." Seorang rakannya bersuara. Jebat namanya.

"Ye. Kakak la kakak Saleh. Kenapa?" Kakak dan Saleh saling berpandangan. Keliru terhadap aksi Jebat.

"Takde apa-apa la kakak. Saleh selalu cerita pasal kakak dekat kita orang. Kita orang teringin nak tengok kakak Saleh. Setiap kali kita orang datang je kakak mesti sembunyi. hehe..." Jebat memang suka bergurau senda, dia nampak mudah mesra orangnya. Mungkin.

"Sudah.Sudah. Jangan kacau kakak aku lebih-lebih." Saleh menegur rakannya sambil buat muka sepuluh sen.

"Ha...kan tu kak...Saleh sayang kat kakak. Tu tangan dia yang patah tu kan kak...Sebab apa nak tau...hmmm, kita orang suruh balik lambat sikit. Tunggu sampai habis OT. Tiba-tiba, cepat je dia melesap keluar dari kilang. Dia kata dia nak jumpa kakak. Nak belanja kakak ABC la, soto la...punya la, dia teruja nak jumpa kakak sampai merempit motor laju-laju." Jebat menyambung rancak.

"Dia rindu tapi tak mengaku kak." Meon menyampuk selamba sambil menghirup air teh panas perlahan-lahan.

"Sudahlah korang ni...kakak pergi dapur sana, nanti pisang goreng hangus kalau layan dia orang ni." Saleh menyuruh kakaknya ke dapur supaya tidak melayan karenah rakan-rakannya yang suka mengusik itu. Saleh malu sebenarnya. Dia tidak mahu kakaknya tahu tentang itu. Tentang dia selalu menceritakan  kakak pada rakannya.

~Tamatlah kisah Saleh~

Najwa Tahir : Saleh.Saleh. Kau berebut nak balik rumah sambil merempit, sebab nak jumpa kakak. Kau buat kakak terharulah Saleh.
Adehhh....jiwang la Saleh ni. Romantik betul. 
Kakak doakan Saleh dapat sambung belajar. Kalau tak dapat masuk kali ni punya, mohon masa kemasukan bulan disember nanti. Cuba dan cuba lagi. Saleh minat sangat nak jadi designer kan...macam abang. Saleh pun minat nak masuk UiTM juga macam abang. Kakak doa juga semoga tangan yang patah cepat sembuh.

Kakak ada tulis sajak sikit...
Tajuknya...

Kita Berlima Ceria

Adik perempuanku jangan menangis,
Nanti kakak belikan ais krim pop pop,
Kita belah dua.
Seusai itu kakak tocangkan rambutmu.

Adik lelakiku jangan menangis,
Nanti kakak ajar,
Macam mana,
Nak panjat pokok jambu.

Abang sulung cepat pulang,
Belikan mainan senapang,
Kita lawan berperang,
Mesti daku kalah,
Lepas penat berjuang,
Jangan main terajang-terajang.

Abang kedua segera kemari,
Belikan mainan kereta Tamiya,
Kita lawan lumba dekat parit surau,
Ingat lagi,
Keretaku hancur berkecai,
Kita berlanggar,
Tinggal enjin berwarna hitam,
Masihku simpan dalam-dalam.

Kakak...Oh kakak...
Mana kakak ni?
Terlupa pula,
Aku tidak pernah punya kakak.

Itulah kenangan,
Boleh padam virus duka,
Mari kita berkumpul semula,
Tidak sepatutnya semasa hari raya semata.
Tersentuhlah pula.


Friday, June 10, 2011

Lampu.Suluh.Tahi.Penuntut.



Tanpa membeli bateri baru,
Kau harap ada cahaya,
Untuk menyerap ke lampu suluhmu.

Biar tahi masih bersemarak di situ,
Tanpa pergi basuh dahulu.
Pengotor.


Menuntut cahaya,
Biar boleh suluh dosa-dosamu,
Pengkhianat sedang berkhayal.


Minta biar kena gaya,
Cuci dahulu baru menghadapNYA.

Mengapa?
Masih terbiar,
Tergantung sejadah,
Selipatan kain pelekat.
Masih terbiar,
Tergantung sejadah,
Selipatan telekung.
Penyesalan bukan dijawab dengan termenung!

Tahu buat,
Tahu buat,
Mana taubat?
Mana taubat?

Ingin minta cahaya dari DIA.
Ingin tampil mulia,
Tanpa leka beransur surut,
Fikir nilai doamu.

Dosa...
Bertahun hidup berkalang kamu.
Benar seriknya.


Najwa Tahir : Lampu suluh sifatnya hidayah. Tahi sifatnya dosa. Penuntut sifatnya hamba. Noktah.

Thursday, June 9, 2011

103 : 1

Kadang-kadang,
Esok menakutkan aku.

Jarang-jarang,
Semalam mengingatkan aku.

Selalu,
Memekik aku pinta,
Jangan tertinggal walau satu waktu.

Kerana aku masih belum mampu,
 Membeli seutas jam tangan,
Berwarna ungu.


Najwa Tahir : Semua benda pakai duit bukan...? kertas yang berwarna-warni itu senang dibazirkan, boleh hilang dari sudut pembahagi dompet kau.Namun begitu, boleh dapat balik saat kita bekerja keras...dengan rezeki yang ALLAH beri secara adil pada semua hambaNYA...tapi cuba fikir betul-betul...Ada satu benda yang kalau kau bazirkan begitu saja, kau takkan dapat balik semula...apa dia? jawab...jawab...jawab...jawapannya ialah umur secara amnya, masa secara khususnya. Kita takkan mampu beli masa yang telah dibazirkan secara sengaja dan tidak sengaja. Mari kita mulakan hidup baru dalam kempen berjimat cermat dengan amal soleh bagi umur yang tersisa kemudian kalinya ini. Lagi satu, jangan takut pada kisah esok yang mengajar diri, jangan lupa pada kisah semalam yang memukul diri.

Jam ini saja aku tidak mampu membayar,
Apatah lagi waktu milikMU.