Aku hanya seorang hamba ALLAH yang kerap buta pada terang cahaya,sering celik pada gelap lorong yang hujungnya mati jiwa, tapi keraguan itu hanya semalam yang caci. Ya ALLAH, relakan aku menangis kerana mendengar kebenaran, jangan biarkan aku ketawa sedangkan di dalamnya penipuan.
Abang Zul menempatkan kereta Kancil berwarna biru tua di kawasan garaj rumah. Sofea tidak sabar bertemu dengan emak dan ayahnya setelah sebulan tidak pulang ke kampung.
“Mak dan ayah...sudah lama terpisah, bertemu kembali. Sofea anakmu bagai burung pulang ke sarangnya, hehe...” jerit Sofea setelah keluar dari kereta, dia berlari menuju kepada emak dan ayahnya yang sedang menunggu di anjung rumah.
“Bagi la salam dulu kalau ye pun...” Tegur abangnya sambil membawa beg Sofea masuk ke dalam rumah.
“Assalamualaikum, ayah...mak?” ucap Sofea sambil bersalaman dengan emak dan ayahnya.
“Waalaikumusalam, dah pergi mandi bersihkan diri..." Pesan Pak Talib dan Mak Som kepada anaknya yang malas mandi itu.
Sofea melangkah masuk ke dalam bilik yang kini menjadi milik adik perempuannya. Pak Talib mengekori belakang Sofea, dia ingin berbicara dengan Sofea tentang sesuatu hal. Sofea menjemput ayahnya duduk di atas katil untuk berbual bersama.
“Sofea, dah berpunya? Maksud ayah...dah ada kawan istimewa sekarang ni? Soal ayahnya.
“Muka cam Sofea ni, cimpanzi kat hutan pun belum tentu nak ayah...”jawab Sofea bersahaja.
“hehe...Sofea ni, betul ke? Kalau ada orang yang nak masuk meminang, Sofea terima?” soal ayahnya.
Sofea memegang erat tangan ayahnya, seperti tidak ingin dilepaskan. Dia menatap sedalam-dalamnya wajah ayahnya, yang setiap hari memberikan kata-kata semangat melalui khidmat sistem pesanan ringkas. Setiap kali Sofea menerima kata-kata semangat itulah, dia akan menangis keseorangan. Sofea tidak ingin terpisah awal dengan keluarganya. Kalau dah ada orang masuk meminang maksudnya sudah wajar mendirikan rumahtangga.
“Kalau dah ada jodoh tak ke mana cuma lambat atau cepat je ayah...” jawab Sofea.
“Anak orang lain dapat pakai emas, berlian dan permata...anak ayah dari kecil sampai besar takde apa-apa...ayah tak dapat nak bagi tu semua. Kalau Sofea dah kahwin awal, bila la ayah dapat bagi benda-benda cam gitu.” Kata Pak Talib.
“Semua yang ayah bagi dah lebih dari cukup...Sofea tak nak ini semua ayah. Ayah dah bagi Sofea sesuatu yang lebih bernilai dari harta-harta tu...ayah tunjukkan pada Sofea makna kehidupan, pengalaman susah dan senang yang sebenar. Hal itu lebih bermakna dalam diri Sofea ayah...” Lembut kata-kata itu keluar dari mulut Sofea hingga mampu menitiskan airmata ayahnya, lalu Sofea lap air mata itu perlahan-lahan dengan tangannya.
“Dah la...ayah rasa macam mengganggu emosi Sofea pulak, hemmm...malam ni pegi la jalan-jalan kat Danga Bay, hari sabtu dengan ahad nanti ada hal lain.” Kata Pak Talib sambil mengusap kepala anaknya.
“hal apa ayah?” soal Sofea.
“Rahsia...” jawab ayahnya penuh misteri.
*****
Pada keesokan pagi harinya, Sofea telah dikejutkan dengan panggilan telefon dari Cikgu Amir. Cikgu Amir dan Sofea memang saling bertukar nombor telefon pada waktu dulu, agar mudah untuk mereka berkomunikasi jika ada keperluan. Ini pun di atas permintaan Cikgu Amir yang ingin menyimpan nombornya.
“Helo...boleh saya cakap dengan Sofea?” pinta panggilan tersebut.
“Ya...saya Sofea, ini Cikgu Amir Ke?” Soal Sofea dengan penuh kekeliruan kerana suara yang bercakap dengannya di dalam telefon ialah suara lelaki muda.
“Bukan, saya anak dia...Ahmad Wafiy. Saya nak jumpa dengan awak sorang saja, dekat Restoran Aliff. Pukul 10:00 pagi nanti.” Jelas pemanggil tersebut.
“mmm...ok, tapi....” Sofea ingin menghabiskan katanya tetapi talian telah diputuskan oleh Wafiy.
Sofea kebingungan...”Apakah sebenarnya yang terjadi dalam rumah ni. Aku dah balik kampung tapi, mak dengan ayah tak bagi tau pun apa hal yang terjadi, sikit-sikit rahsia, lepas tu tiba-tiba ada panggilan pelik ni, garang pula tu...marah dengan aku ke apa mamat ni.” Sofea bermonolog dalaman.
Sofea meminta izin emak dan ayahnya untuk pergi ke Restoran Aliff atas alasan ingin melayari internet kerana di situ ada disediakan perkhidmatan jalur lebar secara percuma. Walaupun dia sudah mempunyai modem jalur lebar. Namun, dia mengatakan yang modem tersebut telah rosak. Seperti biasa, Abangnya tanpa banyak bicara, pergi dengan segera menghantar Sofea di Restoran tersebut tepat pada pukul 9:40 pagi. Perjalanan dari kampung ke bandar memakan masa 20 minit. Setelah sampai, Sofea pergi mendapatkan tempat duduk, dan dengan penuh persoalan di kepalanya menunggu kedatangan Wafiy yang tidak pernah dikenali langsung.
“Hai...oh...inilah, future wife saya” sapa Wafiy.
Sofea tersenyum tawar kerana terkejut dengan pernyataan Wafiy sebentar tadi.
“Assalamualaikum...saudara ni Ahmad Wafiy ke? Macam mana boleh kenal muka saya?” soal Sofea dengan penuh kemusykilan.
“Waalaikumusalam...lupa bagi salam, ye...saya la Wafiy anak sulung Cikgu Amir. Saya dah tengok gambar awak, ayah saya yang tunjukkan.” Kata Wafiy sambil tangannya melambai-lambai memanggil pelayan restoran.
Wafiy memesan Jus Oren dan, Sofea hanya memesan minuman Teh Ais. Mereka tidak ingin makan kerana bukan itu tujuan sebenar. Mereka hanya minum untuk membasahkan tekak sahaja.
“Awak pernah bercinta? Maksud saya sekarang ni” soal Wafiy sambil memandang Sofea.
“Tak...” jawapan yang ringkas dari Sofea.
“Oh...Kenapa awak tak berani pandang saya? dari tadi asik tunduk je, kalau tak pun, asik pandang laut tu je...” kata Wafiy sambil menganggukkan kepala sebagai tanda terima kasih kepada pelayan restoran yang menghantar air.
“Takde apa-apa. Kejap lagi saya pandang la awak” Jawab Sofea sambil matanya melihat air laut kawasan tambak Pontian yang beralun lembut.
“hehe...ada macam tu pulak. Saya nak terangkan sesuatu yang awak tak tau.” Kata Wafiy sambil menyedut minuman Jus Oren yang dipesan tadi.
“Apa yang awak tahu, tapi saya tak tahu...kenapa saya tak tahu? Saya nak tahu juga. Perkara ni mesti berkait antara awak dan saya kan?” soal Sofea dalam senada.
“Banyak cakap rupanya...ingatkan pendiam, petang nanti mak ayah saya nak datang merisik awak, Sofea awak masih ada peluang untuk menolak. Sebab ini bukan rombongan meminang. Kalau rombongan meminang mungkin awak malu untuk menolaknya.” Wafiy berkata dalam nada suara yang umpama merayu.
Merisik...Sofea seakan-akan tidak percaya. Dia berasa sedikit marah kerana tidak tahu akan berita ini. Jadi, inilah yang dirahsiakan oleh mak dan ayahnya.
“Siapa kata saya nak kat awak. Jadi apa tujuan awak jumpa saya?” soal Sofea sambil menyedut Teh Ais yang menyegarkan tekaknya yang kehausan itu.
“Tujuan saya...Sofea, saya dah punya kekasih, satu tempat belajar dengan saya. Saya tak nak awak terima risikan dari ayah saya tu. Saya tak nak awak merana. Saya mencintai orang lain bukan awak. Kalau awak dah terima risikan ni, maknanya awak akan terima pinangan pula lepas tu. Dan akhirnya menikah, awak akan menjadi kekasih halal bagi saya. Sedangkan masa tu hati saya pada orang lain. Saya tak nak korbankan perasaan awak.” Suara hati Wafiy seakan-akan ingin menyelamatkan Sofea dan kekasihnya.
“Saya faham...jadi keputusan merisik ni, atas permintaan ayah awak, bukan awak kan?” Soal Sofea yang memahami kata-kata Wafiy.
“Betul, Apa yang saya lakukan, saya cuma tak mahu awak terluka. jadi kita kena selamatkan keadaan sekarang. Hanya awak yang mampu membetulkan keadaan sebelum terlambat. Cuba awak bayangkan, kalau kita dah bertunang, kemudian terputus tengah jalan. Apa kata orang lain...mulut tempayan boleh ditutup, mulut orang tak boleh. Sofea, percintaan seperti apakah yang awak mahukan?” begitu panjang penerangan kata-kata yang keluar dari mulut Wafiy siap bersertakan soalan sekali.
“Percintaan selepas perkahwinan yang saya harapkan. Wafiy, saya akan tolong awak dan diri saya sendiri. Insya-Allah.” Sofea membalas kata-kata Wafiy.
“Saya bukan orang macam awak Sofea...saya bercinta baru kahwin, saya tak layak untuk awak. Saya yakin kat luar sana pasti ada yang lebih baik dari saya. Carilah...kalau awak tak cari tak akan jumpa.” Kata-kata wafiy bagaikan nasihat dalam merendah diri.
“Belum tersurat dalam hikayat, ayam keluar mencari musang, belum tersirat di dalam adat, bunga keluar mencari kumbang. Ahmad Wafiy, saya hanya akan tunggu jodoh saya datang sendiri. Setiap manusia ada jodohnya masing-masing. Terima kasih kerana selamatkan saya, dengan penerangan awak yang cukup jelas.” Sofea menyelitkan pantun dalam kata-katanya.
“Sama-sama, maaf la saya tak pandai berkias. Baiklah, saya nak pergi Lapangan Terbang Senai sekarang, tiket pukul 2:00 petang, nak balik UK semula.” Kata Wafiy dan sempat lagi dia menghabiskan minumannya dahulu.
“Awak belajar kat luar negara. Jadi apa?” soal Sofea.
“Jadi jurutera...awak nak jadi cikgu kan. Saya tahu segalanya pasal awak dari ayah saya. Kejarlah cita-cita dulu tau, baru kejar cinta. Saya rasa, ni falsafah yang sesuai untuk awak Sofea.” Kata Wafiy, lalu dia memanggil pelayan restoran untuk membayar harga minuman kami berdua.
Selepas membayar minuman, kami berdua berjalan ke tempat letak kereta. Sofea menemani Wafiy ke keretanya kerana mereka belum habis berbicara lagi. Mereka masih lagi berbincang soal tadi sambil melangkah ke tempat letak kereta.
“Selamat pulang ke sana...awak balik Malaysia semata-mata...” bicara Sofea tak sempat dihabiskan.
“Semata-mata nak jumpa awak, bagi terangkan keadaan ini. Sofea, saya tak mahu melawan ayah saya. Jadi, ini saja jalan terakhir yang ada. Jalan ini, saya harap tak menjejaskan maruah awak.” Kata Wafiy dengan tenang.
“Takdelah...saya tak kisah, apa yang awak buat ni kira bagus lah...hehe, dapat saya siap sedia.” balas Sofea.
“Sofea bila saya renung...redup mata awak tak boleh menipu...saya pandang je dah tau. Walaupun awak sentiasa tersenyum. Tapi, mata awak saya dapat rasakan perasan lain. Awak tak sanggup nak membuat pembohongan terhadap mak ayah awak, dan mak ayah saya kan.” Soal Wafiy dalam nada bersimpati kepada Sofea.
“Saya biasa je...saya dah biasa bab-bab menipu ni, jangan risau...takde apa-apa tau.” Jawab Sofea dalam keadaan mungkin hatinya bersedih.
“Dari tadi asik takde apa-apa je...hehe, ok la. Saya pergi dulu. Sampaikan salam saya pada mak dan ayah awak. Saya minta maaf...” Kata Wafiy sambil menghidupkan enjin keretanya.
“Saya tak perlukan kata maaf awak. Wafiy tak buat salah pun. Ok la, selamat tinggal.” Balas Sofea.
“Bukan selamat tinggal... tapi, jumpa lagi. Itu ayat yang lebih sesuai tau. Assalamualaikum” kata akhir dari Wafiy berserta senyuman.
Wafiy telah memandu keretanya untuk pergi jauh, dia masih lagi sempat dia menjeritkan perkataan “terima kasih dan semoga bahagia” buat Sofea dengan lambaian tangan yang menandakan dia kan pergi. Selepas itu. Sofea pula meneruskan perjalanan ke pondok menunggu bas, dia mengambil bas untuk pulang ke rumah. Sofea melangkah sambil memikirkan ayat yang sesuai untuk dia luahkan sebagai tanda menipu pada petang nanti.
Pada petang itu, Pak Talib dan Mak Som sudah menyatakan hasrat Cikgu Amir ingin merisik Sofea. Sofea hanya menunggu, dia tidak terkejut kerana dia sudah mengetahuinya dari Wafiy. Dia juga telah menyatakan pada emak dan ayahnya bahawa dia sudah mempunyai kekasih.
“Mak ayah...kalau Cikgu Amir tanya masa merisik nanti, mak dengan ayah cakap Sofea dah ada pakwe tau.” Minta Sofea pada Pak talib dan Mak Som.
“Aik...sejak bila kau ada pakwe. Malangnya siapa jadi pakwe kau, hehe...” Saleh menyampuk secara tiba-tiba.
“Mulut tu...”Sofea malas melayan adik lelakinya.
“Ayah mesti lah cakap, tak kan la nak gadai kebahagiaan anak ayah cam gitu je, kahwin dengan orang yang dia tak cintai. Betul tak maknya?” Kata-kata dan soalan dari Pak Talib buat Mak Som.
“Lagi pun mak ayah, ni cuma merisik je...Sofea tak kan terima lah. Sofea nak belajar lagi, yang berkenan kat Sofea ni Cikgu Amir nak jadikan menantu, bukan anak dia yang berkenan.” Kata Sofea bersahaja.
*****
Sesi merisik berjalan dengan lancar. Pak Talib dan Mak Som mengendalikan dengan sebaik mungkin. Pak Talib dan Mak Som menolak risikan dengan baik dengan menyatakan Sofea sudah berpunya. Cikgu Amir dan isterinya berberat hati menerima khabar itu, namun mereka tak mampu berbuat apa-apa.
Hakikatnya, Sofea tidak punya siapa-siapa hanya Allah. Perjalanan yang dia akan tempuh masih lagi jauh. Belum terfikir dalam otaknya akan hal ini.
Mungkinkah aku terima........cinta yang lain. Bukan cinta Ahmad Wafiy...
p/s : maaf jika penulisan aku terlebih jiwang...hehe...ni cerita rekaan je. nak baca, baca...x nak sudah.
Lagu nyanyian Zubir Abdullah yang bernama Zapin Telok Belanga meluncur laju ke gegendang telinga Sofea. Walaupun lagu zapin kini semakin pupus, tidak zamani dan berciri kampungan. Namun, lagu seperti itulah yang menjadi pilihan hatinya.
Nada dering telefon bimbitnya, tak membawa apa-apa maksud baginya pada saat itu. Sofea yang masih dalam keadaan mamai dan tidak berapa sedarkan diri sepenuhnya lagi. Dia baru terjaga dari tidur. Inilah akibatnya terlebih tidur petang. Dia hanya mendengar bunyi itu di hujung telinganya saja dan dia tidak melayan telefon bimbitnya lagi. Kerana matanya bagaikan disapu dengan gam gajah. Sofea sangat letih hingga ketiduran, kerana aktiviti forum yang dianjurkan oleh kelas mereka baru sahaja selesai pada tengah hari tadi.
Terdetik dalam hati Sofea, pesan orang tua diletak jauh-jauh, orang tua kata tak elok tidur petang. Ini apa-apa yang tak baik itulah yang makin aku buat.
Sofea berasa sendi-sendinya kini kembali kepada bentuk asal. Dia merasakan segala keletihan kian mengendur dan melarikan diri. Sofea bingkas bangun untuk mandi dan menunaikan solat Asar.
Dia terlupa akan sesuatu, telefon bimbitnya...segera Sofea capai dan melihat dalam ruangan daftar panggilan dan memasuki pula ke dalam bahagian panggilan tak dijawab. Setelah dibaca dan diteliti, ternyata ibunya yang telah menghubungi dia sebentar tadi. Tanpa melengahkan masa dia menelefon kembali ibunya di kampung.
“Waalaikumusalam...” jawab Mak Som penuh kegembiraan.
“Mak sihat? Makan apa malam ni? Ayah ada kat rumah? Ke, ayah kerja lagi... Bila ayah balik kampung?” bertalu-talu soalan diberikan Sofea.
Memang inilah tabiat pelik Sofea. Setiap kali menelefon orang dia akan bertanyakan soalan dengan satu nafas dan satu nada sekaligus. Akhirnya dia sendiri yang penat macam orang ada penyakit asma.
“Mak nak jawab yang mana satu ni...hehe, kepoh betul anak mak sorang ni” soal Mak Som kepada Sofea sambil tertawa.
“Hehe...mak jawab la yang mana-mana pun Sofea tak kisah...” kata Sofea yang terkena dengan gurauan ibunya sebentar tadi.
“Mak sihat, Alhamdulillah, makan sambal tumis udang petai dengan ikan masak kari, ayah Sofea ada kat Nilai lagi...esok baru balik.” Jawab Mak Som mengikut skema soalan Sofea.
“Perrgggghhh....sedapnya...ni yang tak sabar nak balik ni” respon Sofea terhadap makanan yang disebut ibunya.
Sofea memang sudah lama menanggung rindu kepada masakan ibunya. Hinggakan kata-kata lain dari ibunya tidak disedari. Bagaikan angin lalu saja...
“Mak telefon tadi, kenapa tak angkat?” soal Mak Som.
“Sofea tengah belayar la mak...” jawab Sofea dalam nada bersahaja.
“Oh...belayar, belayar atas katil la ye...” kata ibunya.
“Wah...bijaknya emak, kenapa mak telefon tadi?” soal Sofea kembali.
“Mak nak Sofea balik kampung hari Jumaat ni...” minta Mak Som pada anaknya.
“Okay...tapi, ada hal apa mak...? macam tergesa-gesa je.” Tanya Sofea dalam kecelaruan.
“Balik je la...nanti dah sampai rumah tau la, dah la ye...mak nak suap nenek makan malam, assalamualikum” jawab Mak Som yang ingin menamatkan perbualan.
Talian telah pun diputuskan. Sofea berasa pelik dengan cara ibunya menyuruh dia pulang ke kampung. Sofea malas untuk memikirkannya, apa yang dia akan buat hanyalah pulang ke kampung pada hari esok. Menunaikan permintaan ibunya.
Pada keesokan hari, Sofea menuju ke Pudu Raya membeli sekeping tiket bas untuk pulang ke Johor.
Bas Mayang Sari yang bertolak dari Kuala Lumpur merentas perjalanan melalui Muar, Batu Pahat, dan akhirnya Pontian memakan masa lima jam. Dengan masa itulah, Sofea mengaktifkan hobinya...dia tertidur selepas sahaja bas melepasi Tol Sungai Besi hinggalah sampai di kawasan Rengit, Batu Pahat. Sofea pasti akan terjaga apabila melalui kawasan ini, kerana di sinilah kampung arwah datuknya. Sofea terjaga dari lena kerana dia akan mencuri masanya untuk memandang ke kawasan tanah perkuburan di mana tempat arwah datuknya dikebumikan. Dia terkenang segala memori indah bersama datuknya...
Perjalanan diteruskan ke daerah Pontian dari Pekan Rengit.
Sofea memasang telinganya untuk mendengar lagu-lagu yang keluar dari corong radio bas yang dinaikinya itu. Dia kini berada di alam angannya sambil menikmati indahnya suasana malam yang kelam dan samar-samar diterangi sinaran cahaya bulan purnama. Pandangannya dilontar jauh ke luar tingkap bas. Alam semesta ditatapnya penuh bermakna, dalam hatinya terdetik semenjak sejarah Adam dan Hawa alam berkembang berubah-ubah. Pantai kian lenyap ditambak pasir kemajuan, hutan menghijau bertukar menjadi hutan batu. Segalanya berubah walaupun gunung tinggi bertuah namun tanah lembah makin tenggelam. Selepas Sofea membiarkan hatinya berbicara dengan alam, dia mengalih mindanya di sepanjang perjalanan untuk sampai ke daerahnya, dia hanya membiarkan otaknya berlegar-legar memikirkan isu semasa yang berlaku kini. Paling menarik perhatiannya ialah kes liwat yang hanya Allah tahu kebenarannya.
Lamunannya terhenti apabila terpandang simpang Kampung Kayu Ara Pasong. Sofea segera mencari telefon bimbitnya dengan mengeledah isi di dalam begnya yang penuh dengan harta karun.
“Assalamualaikum, abangku tercinta...amik Sofea kat Perhentian Bas Pontian. Nanti Sofea ‘payung’ Abang Zul makan Nasi Ayam Penyet dengan Cikong Ais. Amacam...” permintaan Sofea kepada abang keduanya yang sering kali menjadi pemandu yang melayan kerenahnya untuk pergi berjalan-jalan ke sana dan ke mari. Abangnya selalu menjadi mangsa, kerana Sofea tidak pandai memandu kereta dan menunggang motosikal.
“Waalaikumusalam...oh dah sampai, Abang Zul dah boleh gerak dari rumah la ni. Ceh...nak ‘payung’ ke...bawa ‘payung’ besar sikit, adik ko Saleh ikut sekali ni.” Kata Abang Zul yang membawa Saleh bersama sebagai teman bersembang di dalam kereta.
Setelah sepuluh minit berlalu, Abang Zul dan Saleh pun muncul dengan wajah yang tak ubah seperti kerang busuk, masing-masing tersengih-sengih. Sofea pun menunaikan janjinya untuk membelanja makan abang dan adiknya di kedai makan Mongor Mampir. Selepas makan, mereka pulang menuju ke rumah.
nota kaki : 'payung' maknanya belanja makan...Mongor Mampir perkataan bahasa Jawa yang membawa maksud singgah.
“Apa yang ayahnya nak buat dengan kain buruk tu?” Tanya Mak Som kepada suaminya ketika dia menjenguk ke dapur.
“Saya nak balut batang paip yang bocor ni. Nak beli pembalut paip tak boleh, duit tu cukup-cukup buat bajet untuk beli benda lain.” Kata Pak Talib sambil melabuhkan punggungnya di atas lantai simen yang sudah mula merekah. Dia pun meneruskan kerja membalut batang paip tersebut.
Mak Som meneruskan tanggungjawab sebagai Suri rumah Tangga, jarum jam telah menunjukkan pukul 10:30 pagi. Sudah tiba waktunya untuk dia turun kedapur menyediakan makanan tengah hari buat suami dan anak-anak. Dia membuka peti sejuk di bahagian atas, memandang udang dan ikan. Maka, dengan segera terlintas menu makanan di kotak fikiran Mak Som. Mak Som mengeluarkannya dari peti sejuk untuk membiarkan ais yang telah membekukan udang dan ikan tersebut mencair dengan sendirinya. Selonggok ikan bilis dihadapannya, dikopek seekor demi seekor. Mak Som ingin memasak sambal tumis ikan bilis, Udang goreng kunyit dan ikan masak asam pedas pada hari ini.
Anak daranya, Sofea pula sibuk di luar memetik daun Pucuk Tenggek Burung untuk dijadikan ulam. Sofea memang suka makan berulamkan Pucuk Tenggek Burung. Memang dari kecil Mak Som mendidik anaknya, jika ingin makan sesuatu pergi cari sendiri, jangan asyik nak memerintah sahaja. Semua anaknya, menghindari diri daripada terkena istilah dari mulut Mak Som yang agak pedas iaitu “semuanya nak tunggu sampai ke lutut”...
“Emaknya, hari tu ayah ada duduk bersembang dengan Cikgu Amir. Alah, duduk sembang kosong saja-saja. Mak nak tau apa yang terkeluar dari mulut Cikgu Amir.” Kata Pak Talib setelah selesai membalut batang paip yang bocor.
Mak Som yang khusyuk dan tekun mengopek ikan bilis, hanya mampu mendengar dan mengerlingkan ekor matanya melihat Pak Talib yang sedang minum air masak setelah penat mengerjakan batang paip tersebut.
Cikgu Amir merupakan seorang guru yang menyandang jawatan dan tugas sebagai Guru Kokurikulum di Sekolah Kebangsaan Telok Kerang. Pak Talib sebenarnya tidak begitu rapat dengan Cikgu Amir. Tetapi, disebabkan anaknya, Sofea yang telah menjalankan tugasan Pengalaman Berasaskan Sekolah Satu, di Sekolah Kebangsaan Telok Kerang menjadikan mereka saling mengenali. Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) ini diwajibkan dalam kursus Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan di setiap maktab perguruan. Sofea merupakan seorang Guru Pelatih yang sedang menuntut ilmu di Maktab Perguruan Bahasa, Kuala Lumpur. Pak Talib mula mengenali dan semakin rapat dengan Cikgu Amir selepas anaknya melakukan tugasan tersebut. Apatah lagi, lingkungan usia mereka berdua yang hampir dekat. Umur Cikgu Amir sudah mencecah 49 tahun. Umur Pak Talib pula 52 tahun. Semasa melakukan Pengalaman Berasaskan Sekolah lalu, Sofea sememangnya rapat dengan Cikgu Amir, dia menganggap Cikgu Amir seperti ayahnya. Sofea seringkali menceritakan pengalaman kisah hidupnya begitu juga dengan Cikgu Amir. Sofea menerima banyak ilmu dan pendapat daripada hasil perbualannya bersama guru veteran tersebut.
“Apa bendanya yang dicakapkan Cikgu Amir tu?” soal Mak Som kepada suaminya sambil mengacau sambal tumis ikan bilisnya yang sudah mula dimasak di atas api dapur.
“Cikgu Amir kata macam ni, kita ni dah duduk bersembang, macam dah serasi bersama, harap-harap akan datang sudilah kamu berbesan dengan saya ye...saya nak Sofea dengan anak sulung saya menjadi, amin...” Pak Talib berkata sambil melakonkan gaya yang sama seperti Cikgu Amir.
Lama terngangah mulut Mak Som setelah mendengarnya, terhenti tangannya mengacau sambal yang sedang ditumis di dalam kuali. Entah-entah dah berkerak bahagian bawahnya.
“Itulah, cuba awak tengok pe’el anak kita tu...hehe, memang macam anak dara lain. Tapi dia tu perangai masih macam budak-budak. Bila Cikgu Amir cakap ayat tu, saya terus terbayang muka Sofea tu ha...” Kata Pak Talib sambil ketawa kecil.
“Sofea tu padah jadi orang peramah sangat... selalu duduk bersembang dengan Cikgu Amir la tu masa buat PBS kat sekolah dulu, apa yang diceritakan entah. Jadi orang tua tu sampai berkenan nak jadikan menantu.” Mak Som meleter sepenuh hati.
“Mak...ayah...Sofea dah balik.” Jerit Sofea dari luar rumah.
“Macam baru sampai dari KL je gayanya...padahal baru balik dari kebun.” Kata Pak Talib melihat telatah anaknya yang melangkah ke dalam rumah dengan gaya kepenatan.
“Wah...penatnya. Mak, biarlah Sofea yang masak. Mak pergilah berehat.” Tegur Sofea kepada emaknya.
Mak Som sudah lama mengetahui kehendak Sofea. Sofea memang suka dan rajin memasak. Walaupun, kadang-kadang lauk yang dimasaknya termasin sedikit. Orang kata, kalau masin dah nak kahwin. Tapi, bagi Sofea dia tidak suka diejek sedemikian oleh abang-abangnya. Pada dia, kahwin bukan perkara mainan. Kena serius pilih calon suami, teman kita sehidup semati kena serasi, tu pun kalau ada yang sudi. Itulah perkara yang sering terdetik dalam hatinya bila sebut soal rumahtangga. Lagi pun, dia tak mahu kahwin awal-awal...biar lambat asal selamat.
“Hilang penat saya ayahnya, bila Sofea ada kat kampung. Tapi masa cuti macam ni jela...” luahan rasa Mak Som terhadap suaminya.
“Untung ada anak dara, nanti dah kat tangan orang lain tak dapat kita nak manja-manja.” Balas Pak Talib yang sedang membuka helaian pertama surat khabar Suara Keadilan.
Mak Som dan Pak Talib sedang berehat di ruang tamu. Mak Som sememangnya menerima pelawaan anaknya Sofea, tanpa dolak-dalih. Mak Som membiarkan Sofea memasak di dapur tanpa keraguan kerana anak daranya sudah dididik dari kecil agar sentiasa melakukan kerja-kerja rumah terutamanya memasak.
“Som, awak tak nak bagi tahu Sofea, pasal hajat Cikgu Amir nak jadikan dia menantu?” Soal Pak Talib dalam nada gurauan, sambil memandang isterinya yang sedang mengusap lembut Si Putih, kucing kesayangan di dalam rumah yang telah terbina sejak tahun 1999 itu.
“Tak perlu la ayahnya, nanti kalau ada perancangan betul-betul antara dua pihak baru bagi tahu Sofea. Kalau cakap mulut saja takut tak menjadi.” Terang Mak Som kepada suaminya.
Bersambung...
p/s : pe'el maknanya perangai...aku penulis peringkat permulaan. Tak pandai mengarang lagi. minta maaf atas seabarang kesalahan dalam penulisan ni.