Hamba hingga akhirnya

My photo
Aku hanya seorang hamba ALLAH yang kerap buta pada terang cahaya,sering celik pada gelap lorong yang hujungnya mati jiwa, tapi keraguan itu hanya semalam yang caci. Ya ALLAH, relakan aku menangis kerana mendengar kebenaran, jangan biarkan aku ketawa sedangkan di dalamnya penipuan.

Sang Penulis

“Semua penulis akan mati. Hanya karyanyalah yang akan abadi. Maka tulislah sesuatu yang membahagiakan dirimu di akhirat nanti” (Ali bin Abi Thalib).

Wednesday, February 3, 2010

Mimpi Yang Mati...(Kejutkan Lelap Malamku)


Dalam perjuangan ini,
Terkadang aku menegakkan egoku,
Seringkali juga menghina dan mengutuk,
Tanpa menilai sudut hati.

Begitu jeritan dalam batin,
Hanya ketidakpuasan yang aku rasakan,

Sumpahku,
Ingin menegakkan kalimah-Mu dalam wilayah ini,
Membantu orang yang ditindas,
Oleh mereka yang menindas,
Suara majoriti hanya menjadi minoriti,
Hanyut dalam rongga kezaliman sedia ada.

Aku menunggu mentari di hujung siang,
Takku sangka awan hitam menjelang,
Hukuman yang bukan hukuman
Hukuman itu bukan jatuhnya atasku, 
Kini sumpahku jadi tak pasti,
Nyatalah mimpi,
Mimpi yang mati.

Demi kelazatan,
Kesengsaraan ini ku harungi jua,
Aku hanya ingin,
Bumi yang gersang,
Dihujani air yang membasahi dengan meyuburkan segala kelesuan,
Walaupun merasai keperitan jeriji besi,
Aku sudah siap siaga menerimanya.

p/s : Sajak buat pejuang yang bersemangat walau dalam lelah.

Tuesday, February 2, 2010

Gagal Merancang, Merancang kegagalan


Assalamualaikum kepada semua Muslim dan selamat sejahtera kepada semua bukan Muslim.

Dengan salam ni aku harap dapat menyampaikan dengan sebaik mungkin, agar tak mengkeji mana-mana pihak. (aku tak niat nak keji, tapi aku cuma mengkritik)...aku nak hurai perkara berkaitan Kempen '1 Malaysia'. Pada suatu hari, aku duduklah berborak dengan kawan aku, Atan (bukan nama sebenar). Dia ni menyuarakan kepada aku...Kenapa ideologi Nasionalisme sering diutamakan, nak faham lagi, bahasa mudahnya kenapa isu bangsa sering diutamakan berbanding isu agama...Si Atan ni pun cakap la satu ayat yang aku sering fikirkan sampai sekarang...Kenapa sibuk nak guna konsep '1 Malaysia'...kenapa tak guna konsep '1 Akidah'...dalam hati kecil aku terdetik, betul apa yang budak kecik ni cakap kan. Akhirnya, kesan yang terlihat sekarang adalah, kucar-kacirnya sebuah perkara. Hal ini aku menilainya sebagai gagal merancang dan merancang kegagalan. 

Heboh konsep '1 Malaysia' dicanangkan sampaikan nak bagi salam pun '1 Malaysia'...perlu ke? cam poyo je adalah...(terkorek-korek isu perut aku mendengarnya hinggakan nak terkeluar segala apa yang aku dah makan)...apa yang nak diherankan, memang dari dulu sampai sekarang perpaduan aku berani jamin susah nak wujud andainya masih ada penindasan. Sikap prejudis yang wujud tiada sebab lain kecuali dasar pentadbiran dan kepimpinan. Mana letaknya nilai bangsa yang nak diterapkan kalau dalam kerajaan sendiri pun masih ada parti berfokuskan bangsa-bangsa yang berlainan sebagai contoh UMNO, MCA dan MIC. (awak fikirlah sendiri orang tak nak terangkan).

Kalau dulu selalu terbangkit sentimen perkauman antara masyarakat Malaysia. Tapi, kini semakin punah tunjang pimpinan apabila rakyat mula memberontak dan menunjukkan tindakan secara halus dalam terang-terangan. Sekarang apa yang boleh dilihat semakin musnah, masyarakat Malaysia dihidangkan dengan berita berbaur sentimen agama (amat-amat sensitif)...selepas sahaja kejadian isu penggunaan kalimah Allah, maka terjadilah isu bakar gereja kemudian bakar surau dan paling dahsyat kepala Ba Alif Ba Ya...diletakkan di dalam Masjid Datuk Harun.

Adakah perancangan '1 Malaysia' ini membuktikan pucuk pimpinan 
GAGAL MERANCANG?
atau
Adakah perancangan '1 Malaysia' ini membuktikan pucuk pimpinan 
MERANCANG KEGAGALAN?
Cubalah lakukan konsep '1 Akidah' pulak...InsyaAllah berjaya.
 
Sebagai analoginya, awak suruh elak kemalangan jalan raya...awak sendiri buat jalan lobang-lobang...terkopak sana sini. Dengan keadaan kesesakan yang tak terkawal lagi...tol sepanjang jalan (memang potong leher betul)
Macam tu juga dengan perkara ini, awak suruh bersatupadu...tapi awak sendiri yang tiupkan sentimen perkauman dalam senyap. Orang yang celik je boleh nampak.
Kenapa tak dapat kawal isu yang besar seperti ini...janganlah pandang perkara ini macam pandang semut kat tepi jalan...
Aku takut duduk diam seorang diri kalau-kalau secara tiba-tiba ada kejadian yang tak diingini berlaku macam pergaduhan tahap kritikal kerana manusia ada tahap kesabaran dan pasti akan meletup suatu hari nanti. 
Cuba bayangkan...seorang pak cik tengah syok-syok hisap rokok sambil minum kopi, tiba-tiba ada orang datang serang dia, tak terkejut pak cik tu...
Perselisihan yang kita tidak sedari akan memuncak umpama puntung api yang kecil mampu berubah menjadi api yang besar.

p/s : Wahai Dato Seri', janganlah cuma tahu duduk berdiskusi untuk tambah kuantiti tahi gigi.

Sunday, January 31, 2010

Teruskanlah Saudaraku

Dari rahim ibumu,
kini melihat dunia,
Dari buaian,
kini menatap wajah ragam dunia.

Kau terlalu manja dan dimanjakan,
Hingga tiada satu kesakitan yang hinggap di anggotamu,
berbeza dengan kami....
Kejamkah kenyataanku.
Memang bimbinganmu terpapar kelainan,
Kau tidak belajar dengan kesakitan,
pada awal pendidikan.
Memang beruntung.

Namun,
Kini dewasa,
Kau belajar tentang kesakitan jiwa dan raga,
dalamanmu kian rosak,
dan semakin teruk.
Ini yang terlihat sendiri,

Kau menderhakai segalanya,
Kau memijak orang tuamu,
Kau mengenepikan saudara kandungmu,
Demi nafsu.

Kami tahu itu bukan salahmu,
Kerana 
kau jadi mangsa 'tuju-tuju' cinta wanita,
Kau terikat dalam perjanjian khianat,
Manusia berkudakan jin,
Destinasimu semakin kabur,
Kau terkena hembusan sihir itu.
 
Syukur...
Saat kau masih dalam pelukkan syaitan,
Masih ada lagi,
Rasa hormatmu pada si pencari rezeki,
sekian lama menyuap mulutmu,
yang sewajarnya kau yang menyuapnya kini.

Si pencari rezeki,
masih menyayangimu,
Walaupun akhirnya tamparan yang singgah di wajahmu,
Itulah kesakitan yang kau cari,
yang diharap,
mengubah sisi gelap hidupmu.

Alhamdulillah,
Kau ingin berubah,
Kau ingin rasa cinta tikar sembahyang,
Kau ingin menikmati surat cinta dari Allah.
Kau ingin menjadi yang lebih baik dari semalam.
Teruskanlah saudaraku.

"Jikalau engkau berasa hina, memintalah kepada yang maha mulia. Jikalau engkau miskin, memintalah kepada yang maha kaya. Jikalau engkau kurang faham pohonlah kepada Tuhan yang telah berjanji: "Berdoalah kamu kepada-ku,nescaya Aku perkenankan permohonanmu" (Surah al-mukmin,ayat 60)".

p/s : Biarlah kau menitiskan airmata sesalanmu pada saat ini...janganlah bairkan mak dan ayah menitiskan airmata mereka selamanya... (Sajak ini ditulis buat abangku, saudara Azizul Tahir)

Saturday, January 30, 2010

WILAYAH PEMBANGUNAN ISKANDAR dan Hikayat Abdullah

‘Kata orang arif :
Apabila engkau mendapat wang, belikan emas ;
jualkan emas itu, belikan intan ;
jualkan intan itu, belikan manikam ;
jualkan manikam itu, belikan ilmu

Munsyi Abdullah dalam bukunya 'Hikayat Abdullah' telah menceritakan bagaimana kelicikan dan kebijaksanaan strategi golongan penjajah dalam menguasai musuhnya. Usaha British menguasai Singapura bermula dengan tindakan Stamford Raffles  membawa balik Tengku Long ke Singapura dari Kampung Penyengat, Riau dan menabalkannya sebagai Sultan Singapura (Temasik) dengan gelaran Sultan Husin Syah Ibnul Marhum Sultan Mahmud Syah. Pihak British menawarkan gaji RM416 sebulan kepada Sultan Husin dan RM208 kepada Temenggung Abdul Rahman. Atas desakan dari Sultan Husin dan Temenggung maka, gaji mereka kemudiannya dinaikkan kepada RM1000 sebulan kepada Sultan Husin dan RM700 sebulan kepada Temenggung. Dengan itu, ditubuhkan Jawatankuasa Bersama antara Sultan Husin dan British bagi memerintah Singapura. Tetapi hakikatnya, Britishlah yang lebih banyak berkuasa sehinggakan kediaman Temenggung sendiri boleh dipindahkan British ke Teluk Belanga bagi mengelakkan pergaduhan antara orang-orang Temenggung dengan orang dari Melaka. Kemudian, British mengeluarkan pelbagai peraturan baru seperti larangan membawa senjata (kecuali 12 orang pengawal Sultan dan 12 orang pengawal Temenggung), larangan berjudi, larangan pemakaian hamba dan sebagainya.

Di zaman Tuan Crowford, beliau telah meminta Sultan Husin menyerahkan Singapura sepenuhnya di bawah pentadbiran British dengan menawarkan gaji yang lebih lumayan RM1300 sebulan untuk Sultan Husin dan RM700 untuk Temenggung. Di samping imbuhan segera RM30,000 untuk Sultan Husin dan RM15,000 untuk Temenggung di atas persetujuan perjanjian tersebut. Sekiranya Sultan Husin bersetuju untuk berpindah ke negeri lain maka imbuhan tambahan RM30,000 lagi akan diberikan kepadanya. Akibat dari sikap mementingkan diri, tamak akan wang ringgit dan  ketidakcerdikkan Sultan Husin dan Temenggung maka mereka bersetuju menyerahkan Singapura kepada British. Apa yang menarik ialah Sultan Husin dan Temenggung Abdul Rahman hanya mendapat gaji bulanan dan sedikit sahaja imbuhan kerana sebahagian besar dari peruntukkan imbuhan tersebut telah dipotong oleh British bagi menyelesaikan hutang Sultan dan Temenggung kepada pihak British. Sultan dan Temenggung akhirnya sedar bahawa mereka telah diperdaya oleh British. Tetapi semuanya telah terlambat seperti pepatah Melayu, "Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya". Tinggallah Sultan Husin dan Temenggung di Singapura dengan bergelaran tetapi tiada berkuasa sehinggalah akhirnya Sultan Husin berhijrah ke Melaka dan mangkat di sana.

Menurut Munsyi Abdullah antara sebab utama bangsa Melayu menjadi bangsa yang 'diperbodohkan' di masa lalu adalah disebabkan oleh kezaliman dan penganiayaan yang dilakukan oleh pemerintahnya iaitu raja-raja yang memerintah pada masa tersebut. 

sehinggalah rakyatnya menjadi seumpama tanah yang tada berbaja lagi. 
Akhirnya rakyat menjadi seperti pohon kayu di dalam hutan di mana ditiup angin disitulah rebah. 
Seperti ikan yang kecil-kecil gunanya sebagai makanan segala ikank-ikan besar adanya.

Pada tahun 1965, Perdana Menteri Pertama Malaysia, Almarhum Tuanku Abdul Rahman telah mengulangi kesilapan yang sama seperti yang telah dilakukan oleh Sultan Husin dan Temenggungnya, dengan mengeluarkan Singapura dari Malaysia dan menyerahkannya kepada Lee Kuan Yew atas alasan Cina telah menguasai Singapura dengan 75% penduduknya adalah orang Cina dan hanya 15% adalah orang Melayu. Orang Cina juga dikatakan memiliki kejayaan dan telah menguasai ekonomi negeri tesebut.

Rakyat Malaysia khususnya rakyat asal dan jati negeri Johor tidak mahu melihat sejarah hitam berulang lagi kali ini dengan kerajaan melakukan kesilapan besar dengan 'menjual' Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) kepada Singapura. Singapura pasti akan menggunakan kekuatan kekayaan dan penguasaan ekonomi dengan pendapatan perkapita rakyatnya RM106,000 setahun berbanding rakyat Malaysia RM21,500 setahun bagi 'Meng-Singapura-kan WPI'......

Walaupun kawasan Johor hanya sebahagian yang diambil iaitu Johor Bahru, Pontian (tempat tinggal aku dan keluarga aku tu...huhu...) dan Kulai. Tapi, Johor tetap wilayah Johor...bukan Wilayah Iskandar dalam kata lain wilayah Singapura. Ingatlah, nasib rakyat bukan sama seperti jual beli tanah...yang boleh diambil dan dijual dengan lafaz muamalat..."saya jual,...dan saya beli".Fikir-fikirkanlah..........tanah sebidang, tinggal sekangkang kera, lama-lama sehelai sepinggang je yang ada. Sultan Johorku...Nama  kau 'Iskandar' hanya tinggal nama, kau pun dah mangkat dah...

p/s : Aku tak nak Johor jadi cam Pulau Batam...aku jugak tak boleh benci pada rakyat Singapura buta-buta...sebab yang layak aku benci adalah pihak kepimpinan yang gadai nasib rakyat....