Hamba hingga akhirnya

My photo
Aku hanya seorang hamba ALLAH yang kerap buta pada terang cahaya,sering celik pada gelap lorong yang hujungnya mati jiwa, tapi keraguan itu hanya semalam yang caci. Ya ALLAH, relakan aku menangis kerana mendengar kebenaran, jangan biarkan aku ketawa sedangkan di dalamnya penipuan.

Sang Penulis

“Semua penulis akan mati. Hanya karyanyalah yang akan abadi. Maka tulislah sesuatu yang membahagiakan dirimu di akhirat nanti” (Ali bin Abi Thalib).

Sunday, January 8, 2012

Belum Tayang 901

Ada pun yang menanggung di pundak rasa, yang memberat itu cuma rasa. Kejapan berlalu mengiringi masa perubahan saat roh masih berlegar dalam jasadnya. Hanya serasanya rasa ini punya berjuta-juta perisa. Apabila berhadap tunduk, terpaksa redah cuma yang ada seksa terdesak ingin dilenyapkan biar lepas pada angin laut malam. Biar sekejap cuma, tapi pada siapa-siapa tiada. Jika diberikan pada yang merasa itu benar-benar merasa cuma inilah.

Luka lara yang ada dalam dada singkap-singkap ada hujungnya. Intai cerita lama memang yang ada cuma luka lara duka. Seakan menolak nikmat jika berfikir luka lara tiada sudahnya. Yang merasa dan melihat mahu luka lara ini menjadi ilham bait hari depan, pada kata keliling kawasan hidup punya banyak makna kerana luka lara inilah.

Dipinta bantu, dihulur sambut. Cuma kadang huluran itu tidak pernah akan disambut. Bukan berhenti dari pinta-pinta, cuma diizin Dia jalan begitu rupa. Pinta-pinta pada Dia tidak memusnahkan harap selaut segunung. Yang jadi dewasa manusia inilah, cuba rasa mengecap nikmat sebentar cuma atas muka bumiNya jika selagi daya. Maka, sampingan itu dirasa juga luka lara dan menjadi dewasa.

Moga dibuka pintu rasa yang melambung huru-haranya hanya buat yang berhak. Satu dalam ribu itu cuma satu. Dan ribu itu, ribu-ribu yang harus diterokai untuk jumpa yang satu itu.

Cuma masih mahu satu itu buat persinggahan ini berlama-lama.

Pernah kau tahu tentang hadis ini, ini pesan rasul, orang yang Allah kasih, Kalau kau tak mengerti, lambat-laun akan mengerti. Daripada Abdullah bin Abbas ra, Nabi s.a.w bersabda yang bermaksud, : "Takutilah doa orang yang dizalimi, sesungguhnya tiada hijab di antaranya dengan ALLAH swt." (Riwayat al-Bukhari)


Ketagihan ini buat aku jadi sedih,
Boleh jadi berlaku sekali lagi menanggalkan dan meninggalkan.
Kerana bagiku, ikhlas itu sangat halus dari mata jarum. 

Saturday, January 7, 2012

Tiada Berita

Dia tidak tahu hendak dibuat apa tepung pulut yang tinggal sedikit berbaki di dalam tong putih itu, daripada dibiar baik dibuat makanan, bibirnya berbisik. Dia potong halus gula melaka. Dia bancuh tepung pulut itu, diletak sedikit tepung gandum biar pejal tidak melekat-lekat pada tekak semasa dimakan nanti. Dia uli tepung sampai sesuai padunya.  Dia membulatkan tepung itu kecil-kecil setelah diisi dengan gula melaka potong di dalamnya. Air panas dibiar mendidih di atas dapur, daun pandan dicampak ke dalam periuk itu mewangikan aroma Buah Melaka semasa direbus. Kelapa parut sudah bergaul garam untuk lidah rasa lemak-lemak. Buah Melaka yang siap direbus tadi, digolekkan atas kelapa parut itu. Ayah makan saja, tidak kisah siapa air tangannya, sama ada emak atau anak perempuannya. Petang cuma itu menunya. Buat manis mulut orang di dalam rumah. Dapur dibiar sunyi. Iza mencari ayahnya di meja luar rumah.

"Ayah, kadang-kadang tiada berita itu ialah berita yang baik, kan?" Iza berkata sambil menghulurkan sepinggan Buah Melaka pada ayahnya.

Hanya Iza dan ayahnya sama-sama merasa angin menyapu pipi. Damai sungguh halaman ini. Rumah ini benar-benar cuma ada pokok sekelilingnya. Biar orang bilang hutan, janji ini syurga kami. Iza pandang pokok pisang yang sudah mula masak. Pokok petai pula lambat lagi agaknya hendak berhasil. Pokok rambutan sudah mati musimnya. Tapi masih ada cintanya, pokok itu bukti cinta ayah dan emak semasa baru berkahwin.

"Kenapa petang ni lain macam je?" Ayahnya mula pelik dengan ayat yang diutarakan Iza secara tiba-tiba. Ayahnya membetulkan duduknya.

"Ayah perasan tak? sejak kecil ayah terpisah jauh, kerja jauh, kita hidup baik-baik saja walaupun jauh." Iza tak pandai meluahkan kata-kata yang bersesuaian.

"Maksudnya, makin jauh makin bagus?" Ayahnya terus bertanya.

"Bukan, hmm...ye..." Keliru mahu menjawab.

"Haha, tak habis-habis keliru. Bilalah nak pandai buat ayat keputusan yang muktamad ni." Gaya seorang ayah menegur anaknya. Biar melangkah dewasa tetap juga patut ditegur. 

"Hee...hmm...macam gini, bila ayah duduk jauh dari kita orang, kita orang semua jadi pandai berdikari dengan emak. Tiada khabar berita pun masih lagi boleh hidup. Macam gitulah." Iza menjawab.

"Ayah tahu anak-anak semua selamat. Ada ALLAH dalam hati. Kita boleh hidup aman walaupun terpisah." Ayah jawab bersahaja. Ayah membetulkan hujung tudung anaknya sesudah dihempas angin yang agak kuat.

"Hakikatnya kita memang akan terpisah ayah. Memang." Iza cuma menunduk. Dia tahu ayahnya tahu bicaranya.

"Ye, kita hidup untuk terpisah dari nikmat. Iza merupakan salah satu nikmat dalam hidup ayah. Kehilangan boleh berlaku bila-bila masa." Ayahnya redha, ini hakikat.

"Bila-bila masa." Iza diam selepas halus keluar bahasa itu.

"Iza tahu, ayah cuma guna hati, untuk tahu hati anak juga tahu hati ayah." Ayah membalas.

"Subhanallah, kuatnya perasaan tu. Ayah tak rasa kecil hati kalau kita kadang-kadang terlalu sibuk sampai lupa mesej dan telefon ayah?" Iza bertanya.

"Ayah tak nak memaksa kasih sayang anak, sebab itu macam Iza cakap tadi, tiada berita ialah berita yang baik. Cukuplah ayah khabarkan berita itu dalam doa." Ayah menutup perbualan.

"Terima kasih ayah atas khabar berita itu." Iza menyahut lembut. Dia nampak ayahnya memendam tabah dalam derita, pada kedut-kedut wajah dia seorang lelaki yang selalu gembira, hendak marah-marah, jarang sekali. Segala kepayahan ayah buang di luar pintu rumah, tidak sekali-kali dibawa masuk tunjuk depan anak-anak. Ayahnya lelaki yang paling dihormati biar dia tidak sehebat ayah orang lain.

"Sejak dari dulu, ayah tiada bekal wang untuk Iza belajar, tak macam anak orang lain merasa senang. Maafkan ayah, nak. Jangan risau, lepas ayah sihat dari sakit ni, ayah bina kekuatan untuk kerja balik semula, semangat emak seratus peratus dalam diri ayah. Semangat anak-anak berganda-ganda dalam diri ayah." Ayahnya mahu menghentikan perbualan. Ayah Iza telah memperempuankan mata lelakinya.

"Bagi saja duit itu untuk keperluan adik-adik belajar, Iza tak perlu dirisaukan, Iza dah ada elaun. Ayah, kita menangis bukan untuk semalam, kita tersenyum juga bukan untuk hari ini, kita sesudahnya hanya kenal mati. Ayah berjuang sampai hujung nyawa, Iza faham. Ayah jangan penat-penat kerja ye. Iza risau." Iza  memadamkan perbualan. 

Cuma tinggal hanya dua tangan bergenggam erat di atas meja kayu. Tanda kasih dan kekuatan.

*******************************

Dalam situasi lain yang kejauhan,

"Allahuakbar...Allahuakbar..." Azan berkumandang di masjid. 

Iza menyarung telekung, dengan segera menapak ke surau yang berada dalam asrama perempuan. Memudahkan dia menghilangkan kerunsingan. Dalam hati, "cepat-cepat jalan, sempat untuk berjemaah ni." Selesai itu, bina kumpulan kecil perbincangan buat peringatan. Meneruskan sunnah Rasul. Berkongsi sedikit ilmu yang ada. Ini sungguh menenangkan. Damai. Semacam lain, rasa sejuknya hati.

Benar, tiada berita itu ialah berita yang baik.
Ye, tiada khabar itu ialah khabar yang baik.
Kerana khabar dan berita itu telah menjadi doa.
Kami selamat walaupun masing-masing berjauhan.
Kerana khabar itu dihubungkan oleh Tuhan Maha Menjaga.

Kita perlu merasa jauh untuk mengenal dekat. 

Thursday, January 5, 2012

Imaginasi Menguasai Hidup

SEKAPUR SIRIH

Imaginasi pada aku ialah berangan...ye berangan. Berangan tak habis-habis. Pelabuhan untuk aku berangan yang terunggul sekali adalah dekat Telok Kerang sampai Rambah. Ini kampung aku, ada laut untuk senja dan malam untuk aku renung redup. Bila aku benar-benar ingin keseorangan dan kedamaian, aku akan cari laut untuk dipandang dalam 10 hingga 20 minit. Ciptaan Allah benar-benar ada kelebihan. Memang cantik hasil Ilahi. Sebab itu aku kurang senang belajar hidup di Kuala Lumpur, tiada laut tuan-tuan dan puan-puan ye...tiada.

Imaginasi boleh menipu ruang lingkup hakiki manusia. Tapi, ada satu imaginasi yang membuatkan matlamat jadi indah untuk menuju. Contohnya, kita diberi bayangan syurga itu bagaimana, bukan? Itulah imaginasi hakikat yang betul-betul indah boleh memangkin amal dan tingkah kepada lebih baik.

Sebagai seorang manusia, kita suka berimaginasi yang seronok-seronok. Mengikut arus remaja yang aku dah lalui, kawan-kawan nak pakwe 'sweet'. Aku tak fikir apa-apa, benda couple ini benar-benar mengelirukan aku. Aku tidak menerima kekeliruan. Adik aku cakap, bercinta itu buang karen, cinta dekat sekolah itu cinta monyet. Bagi sesiapa yang bercinta di sekolah itu, maka, disahkan bahawa beliau seekor monyet bukan manusia. Inilah yang dipanggil belajar dari kanak-kanak.

Mengikut arus kedewasaan yang aku alami bersama rakan-rakan, sekarang nilah. Umur tahap-tahap nak kahwin, masing-masing berangan nak suami memahami, terima seadanya dan macam-macam. Hakikatnya, perkahwinan bukan suatu yang mudah. Lihat saja kisah hidup cinta emak dan ayah kita, bukan mudah bukan, banyak ujian.

Atas ini mukadimah sahaja, bawah ini baru isinya :

Imaginasi ini kebiasaannya melibatkan angan-angan kesempurnaan yang ingin diaplikasikan dalam kehidupan. Memecahkan fantasi kepada realiti. Sehinggakan seseorang berasa marah apabila berhadapan dengan seseorang yang tidak sempurna. Imaginasi manusia ini bahaya sebab menolak ketidaksempurnaan bulat-bulat tanpa melihat situasi semasa.

Bagi aku, KETIDAKSEMPURNAAN ITU IALAH KESEMPURNAAN

Ketidaksempurnaan boleh menyebabkan hati kita rasa sedih. Ini kebenaran bukan penafian. Contohnya, "aku tak mampu jadi kawan yang baik, tak macam kawan-kawan lain." Sudah sedih gitu pula.

Manusia ini takkan pernah sempurna. Baik dalam melangsaikan tanggungjawabnya (masya'Allah), mahupun berlaku adil dalam hidup dan dirinya sendiri. Manusia itu sendiri dicipta untuk bergantungan. Tanpa kita tahu atau sedar manusia itu tidak pernah penuh dan selesai tanpa perkongsian.

Tipulah kalau ada orang cakap kat kau, "Hi, Mr. Perfect".  Jangan percaya dia sedang menipu.
Kalau ada orang puji begini, kau jawablah "ALLAH lagi perfect, DIA yang bagi aku sedikit perfect ni."

Manusia perlu bergantung. Bergantung yang macam mana ye? bergantung yang berupa pergantungan sepenuhnya pada ALLAH. Kita berkongsi segala dengan ALLAH. Takkan bercerai simpulan janji hidup bersama dengan ALLAH, runtuh gulungan emosi yang melambung tinggi, malahan lebih manis, hilang jiwa insan dalam setiap nafas taqwa. Beginilah, sama-sama kita buat sehabis baik dalam pekerjaan, selebihnya pulang pada ALLAH. Kerana ALLAH Maha Mengetahui, Percaya hanya ALLAH yang sempurna.

Aku pernah bertanya pada kawan aku,"Kau muka macam ada masalah je, ceritalah kat aku."
Dia jawab biasa-biasa,"Tak payahlah cerita, Aku masih ada yang kat ATAS."

Ringkas. Dia budak kampung macam aku, dia budak biasa yang dalam hatinya bertuhankan ALLAH. Melalui ringkas jawapan dia. Aku boleh nampak terang, bahawa kesempurnaan ALLAH telah melengkapkan jiwanya. Kerana dia melengkapkan ketidaksempurnaannya pada tempat yang betul, pada ALLAH.

RANCANGAN MANUSIA PADA KEHENDAK BUKAN KEPERLUAN

Percaturan hidup manusia ini, sejujurnya aku nak cakap. Mereka melebihkan kepada kehendak berbanding keperluan. Hati mahukan Hyundai Sonata tapi dapat Myvi lagi best je. Hati mahukan rumah Hartamas, tapi dapat rumah limas. Hati mahukan gunung, tapi dapat lembah. Hati nak pakai Galaxy tab tapi, dapat Nokia E71 je, yang mewah-mewah itu bukan keperluan, lainlah kau orang kalangan peniaga, pendakwah atau komposer. Pergi sana sini perlukan benda ni. Hati nak pakai benda alah tu, tup-tup, tengok-tengok kau guna buat main Angry Bird je. Macam budak-budak.

Jadi mahu salahkan siapa kalau kau tak dapat pakai yang gah-gah ni. Nak salahkan mak ayah selalu minta duit dekat kampung untuk biaya adik belajar? Nak salahkan ALLAH, rezeki kau sempit. Nak salahkan kos hidup tinggi dekat KL. Diri sendiri sudah terima seadanya belum?

Paling baik, bersyukur dengan apa yang ada. Apa yang dikurniakan itu, ada atau tiadanya itu adalah satu kurniaan, adalah satu ujian dari ALLAH untuk melihat tingkat iman kita.

Untuk belajar erti syukur, kau perlu kenal apa itu hakikat.
Dan aku kerap bilang kata-kata ini dalam hati, kekayaan itu ujian, kemiskinan itu nikmat. Muktamad.

Monday, January 2, 2012

Monalisa

Senyuman manis terbingkai gambar,
Dalam lataran alit,
Kala malam puisi ini direka.

Dua warna kesayangan,
Dari lubuk hati,
Warna hitam meluah hajat, sedih dan ketakutan,
Warna merah menyuara sisi berahi pada batasnya.

Terlukis wajah termahal,
Ada dua dalam padu,
Hitam dan merah yang kau jalinkan,
Berkilau menyilaukan.

Tidakkah kau gelisah?
Kilauan terlalu menyerlah,
Akan menghantui hadapan,
Mengaburi jeratan hujung,
Membawa sumpah hari-hari yang datang.

Punahlah kembang kuntum terkulai layu,
Biar pada tugasmu,
Namun kau buru suara nafsu,
Kerana kau buru suara lagu,
Menceritakan kisahmu,
Mendendangkan nasib dirimu.

Wanita kau bukan santapan tatapan,
Persis Da Vinci menagih senyuman wajah Monalisa,
Buat pujaan lukisan,
Persis Da Vinci mengimej lirikan bebola mata Monalisa,
Buat pujaan lukisan.

Tulennya dalam ada wajah terpendam sembunyi,
Dan itu sesuatu yang tidak boleh siapa tahu.


Gambar Sekadar Hiasan