Hamba hingga akhirnya

My photo
Aku hanya seorang hamba ALLAH yang kerap buta pada terang cahaya,sering celik pada gelap lorong yang hujungnya mati jiwa, tapi keraguan itu hanya semalam yang caci. Ya ALLAH, relakan aku menangis kerana mendengar kebenaran, jangan biarkan aku ketawa sedangkan di dalamnya penipuan.

Sang Penulis

“Semua penulis akan mati. Hanya karyanyalah yang akan abadi. Maka tulislah sesuatu yang membahagiakan dirimu di akhirat nanti” (Ali bin Abi Thalib).

Friday, November 5, 2010

Pasangan Kekasih Yang Abadi

Ada satu pasangan kekasih yang setia sedang melakukan perbualan...mereka saling menyayangi satu sama lain, mereka sangat mengambil berat dan tidak ingin terpisah. Jika terpisah pun hanya berbeza destinasi dan kawasan. Jika terpisah pun mereka tetap saling berkait dan mungkin mengungkit, mereka tidak mahu melupakan kekasih abadinya. Mungkin ini boleh dinamakan juga sebagai Percintaan Jarak Jauh (PJJ)...mari kita dengar perbualan mereka. Mungkin kita juga dapat pupuk perasaan cinta dalam diri agar subur sentiasa. Nama pasangan kekasih ini ialah KEHIDUPAN dan KEMATIAN...sedap kan nama makwe dan pakwe ni...

Kehidupan : wahai kematian, awak sayang kat saya tak?
Kematian : sayang...saya setia tunggu awak kat sini...

Kehidupan : yeke...tapi kalau saya tak buat apa-apa untuk awak? awak marah tak?
Kematian : mestila marah...saya setia tunggu awak...saya tunggu awak bawa benda-benda yang 'best'. Tapi awak bawa benda tak 'best'.

Kehidupan : maksud awak...? tak faham la sayang...boleh terangkan tak?
Kematian : contohnya, awak datang bawa aiskrim yang dah cair...saya nak aiskrim yang masih keras lagi. tak sedap la kalau makan dah cair...

Kehidupan : habis tu, takkan la saya nak bawa peti ais sampai kat tempat awak ni? mengarut je...
Kematian : kalau awak sayang saya...awak kena usaha untuk itu...awak kena jaga aiskrim tu jangan sampai cair.

Kehidupan : awak...berat la peti ais...ingat benda ringan ke?
Kematian : Ringan kalau awak sungguh2...

Kehidupan : yela...tapi, saya bawa apa yang mampu je la...awak jangan nak paksa-paksa saya...
Kematian : saya tak paksa...baru saya nampak yang awak ni buta dan pemalas sebenarnya...

Kehidupan : Buta? ishh....dah la marah tadi, nak tu nak ni...lepas tu cakap orang buta plak, pemalas lagi...
Kematian : awak nak kat saya...awak sayangkan saya...tapi awak cuma nak duduk diam, bersenang-lenang, goyang kaki, lepas tu awak idamkan alam bahagia ibarat syurga.

Kehidupan : Kalau macam tu...saya tinggalkan awak la...saya nak cari hiburan lain. bosan la dengan awak ni. skema badut. tak steady kacang, dah la macam pari mendak...otak macam jajan. perut tak kecut...
Kematian : ok...awak cari la hiburan lain yang tak ada tujuan tu...nanti awak akan rasa sakit kemudian hari.

Kehidupan : kita putus...
Kematian : awak...kita takkan putus...percayalah...

Kehidupan : saya nak tinggalkan awak...tolonglah faham, jangan terhegeh-hegeh lagi boleh tak? orang dah 'reject' pun tak tau malu lagi ke?
Kematian : saya pun tak nak la kat orang macam awak ni, tapi awak kena ingat...disebabkan awak la, saya jadi macam ni, kalau awak baik, saya dapat rasa kesenangan abadi...kalau awak jahat,saya dapat rasa kesakitan abadi...Maka, kita memang tak boleh terpisah...walau awak tinggalkan saya sekalipun. Saya tetap membayangi hidup awak...awak takkan mampu lupakan saya begitu je...sebab akhir riwayat hidup awak akan jumpa saya jugak.

Kehidupan : bajet bagi ayat 'touching la'...hah? melakak la kat situ sorang-sorang...
Kematian : ikut suka awak la...tapi, awak kena ingat...yang awak tu dalam perjalanan mencari cinta yang suci...kalau awak naik bas...orang lain dah turun jumpa destinasi masing-masing...awak juga pun akan turun dekat destinasi awak...cuma bezanya, orang tekan loceng bas atau awak berhenti dekat perhentian bas kot... kot-kot la kan...kalau awak tekan loceng dulu nak wat macam mana...memang awal la awak jumpa saya.

Kehidupan : memang saya ditakdirkan dengan awak ke? takpe...saya ada banyak pilihan...saya takkan pilih awak...
Kematian : ok...'fine', awak takkan pilih saya...tapi awak akhirnya memang ditakdirkan untuk saya...janji ALLAH itu pasti.

Kehidupan : Saya ni siapa bagi awak? takde apa-apa la...lupakan jela saya...
Kematian : awak episod kedua hidup dalam hidup awak...tapi, akan datang...awak juga adalah episod ketiga dalam hidup saya...

Kehidupan : episod kedua? episod ketiga? ayat cam keling...
Kematian : Awak sekarang berada dalam alam dunia...itulah episod kedua awak, akan datang awak dalam episod ketiga saya, awak akan berada di alam yg mesti awak menyesal apa yang telah dikerjakan selama ni.

Kehidupan : episod ketiga tu alam apa sebenarnya?
Kematian : alam barzakh...

Kehidupan : (tersentak mendengarnya), saya berjanji untuk tidak bersikap seperti itu lagi. maafkan saya ye, awak...
Kematian : awak kena la bekerja sekuatnya seperti ingin hidup 1000 tahun lagi, dan beribadah sekuatnya seperti akan mati esok hati...jangan minta maaf dengan saya...minta maaf depan ALLAH.

Kehidupan : baiklah, saya akan bekerja keras untuk dapat jadi yang terbaik di hadapan ALLAH.
Kematian : supaya hasil cinta kita nanti akan jadi yang terindah sekali...pada episod keempat.

Kehidupan : episod keempat?
Kematian : epsiod keempat ialah alam akhirat...

Kehidupan : saya nak syurga...
Kematian : saya pun...

Kehidupan : I love You...
Kematian : ALLAH love you...


ANALOGI DI SINI IALAH :
aiskrim itu apa  yang kita bawa, amalan di dunia ini yang akan kita bawa untuk menghadap ALLAH...

peti ais  itu pula ialah masa kita bawa amalan itu.kita kenalah bersungguh-sungguh, amal kerana  ALLAH dan tetapkan iman. semasa itu juga jangan buat perbuatan terkutuk agar tidak dipotong markah pahala amalan. Istiqamah dalam berjihad dan mencapai sesuatu kebaikan. Supaya amalan kita terpelihara dari dunia hinggalah sampai kepada ALLAH.

kenapa kehidupan buta dan pemalas?
sebab kehidupan nak yang terbaik tapi tak usaha...macam mana nak dapat syurga...tepuk dada tanya iman.

kenapa pula ada babak bas ye kat dalam dialog tadi?
haa...macam ni la, setiap manusia duduk dalam satu bas, akan menuju ke arah perhentian bas kan....maknanya, perhentian bas ialah hari abadi (akhirat). bas ini pula ialah dunia. bas adalah tempat untuk kita menuju ke destinasi abadi (akhirat) . kita hidup kat dunia ni tetap akan mati jua akhirnya. cuma bezanya tempoh masa tekan loceng bas RAPID KL, turun bas awal atau turun bas lambat. Yang tentukan awal atau lambat hanyalah ALLAH s.w.t...walaubagaimanapun, semua manusia akan mati...sebab bila sampai tempat perhentian bas...semua manusia akan turun dengan pemandu bas sekali...

Tengok drama tak? drama korea la yang selalu korang tatap tu? ( aku pn tatap jugak kadang2)
Drama ada banyak episod kan? drama korea ada sampai 16 episod engkooo...jenuh nak habiskan...kita pun ada drama jugak, drama kita ada 4 episod, semua manusia sama, tak ada yang episod terlebih atau terkurang. Episod pertama alam rohani (rahim), Episod kedua alam dunia (yang baca karya ini masih sedang melaluinya), Episod ketiga alam barzakh (mati), Episod keempat alam akhirat (abadi)

NOTA HATI : Kisah cinta kekal abadi...ada pasangan kekasih yang tidak akan terputus cintanya, pasangan itu bernama kehidupan dan kematian...kedua-duanya saling mencintai dan MENGINGATI, kehidupan akan bertemu kematian, KEMATIAN pula bertanya pada kehidupan...APAKAH YANG TELAH KAU KERJAKAN DEMI BUKTIKAN CINTAMU PADAKU, WAHAI KEHIDUPAN???

PESANAN PENAJA : HIDUP PERLU BERUBAH...SIAPA YANG UBAH? DIRI SENDIRI...MINTA PADA SIAPA? ALLAH...jika kita semakin hanyut, silalah cari sahabat yang benar-benar membantu...jika kita sedar fikrah yang kita lalui dipenuhi orang-orang (buat halau burung kat sawah padi)...bukan orang...silalah cari sahabat yang mengingatkan hatimu pada ALLAH...bersahabat dengan orang yang punyai mata iman...bukan mata nafsu...mudah kalah kena pijak dengan sayitan semudah itu...

"Di mana sahaja kamu berada, pasti mati mendatangi kamu, sekalipun kamu bersembunyi di atas mahligai atau benteng yang paling kuat...” (An-nisa' : 78)

Saturday, October 23, 2010

Agar Bisa Menangis

Malam ini sepi. 
Walaupun malam itu bernama sepi,
manusia tetap meminati dan menggemarinya,
Malam adalah tempat berehat 
Tapi, manusia lupa bahawa malam juga adalah tempat bercerita.

Bercerita tentang apa?
Bercerita tentang keinsafan dan kehambaan...
Bercerita pada siapa?
Bercerita pada ALLAH...

Ya Allah...jangan kau biarkan aku,
Tanpa tempat untuk berpaut,
Walaupun sekecil dan sehalus ranting cuma,
Itu tanda kau masih memberikan cinta-Mu ya Allah...

Berikanlah kesempatan agar aku menjadi pilihan-Mu,
Pandanglah dengan kasih sayang...

Aku ingin bebas dilepaskan,
Mencari redha-Mu,
Walaupun manusia itu membenciku...
Hati ini belum mati,
Jiwa ini masih basah dengan cinta-Mu.

Ya Allah...dugaan ini kau ciptakan,
Agar aku bisa menangis.
Kerana-Mu,
Alhamdulillah...

Nota hati : semoga aku tidak putus asa dengan rahmat ALLAH...

Tuesday, October 19, 2010

Jangan Datang...Wahai Lelaki

Lelaki,
Perlukah kau ragu-ragu dengan janji ALLAH,
Sampai mengejar wanita itu?
Tidakkah kau yakin dengan jodoh yang ALLAH telah sediakan untukmu,
Kemanakah  hilangnya kefahamanmu pada rukun iman...
Pada qada dan qadar ALLAH.
Belailah akalmu tentang maksud jodoh dan ajal yang sudah tertulis.
Janganlah kau tertipu dengan ayat "takut disambar orang".
Ini pesanku...
Jalan di bumi ini dengan dirimu,
Bukan bayang-bayangmu.

Lelaki,
Tahukah engkau...
Kau telah menyesakkan minda dan hati seorang wanita,
Dengan soalan...
Yang tidak penting...
Kau minta itu dan ini,
Janji temu di sana sini, 
Gambar bergaya ayu dan manis,
Suara manja di malam hari,
Bermesej kerap kali,
Panggilan 'sayang' yang memualkan dan menjijikkan,
Semua hina dan caci dunia...
Bukan ini yang dilandaskan dalam ISLAM.
Hubungan apakah yang menghalalkan kita?
Untuk perlakuan seperti ini.

Lelaki,
Jika kau hanyut,
Jangan bawa aku sekali,
Jangan hancurkan prinsip hidupku selama ini,
Tinggalkan aku sekarang dan segera...
kerana aku tidak mahu ALLAH tinggalkan aku.

Lelaki,
Kau hebat mengatur janji palsu,
Atau janji ikhlas,
Aku tak tahu dan tak mampu menilai,
Apabila kau meluahkan hasratmu dalam masa sehari,
Aku sangat terkesima,
Kau melembarkan wadah yang membuatkan aku makin keliru,
Kau yakin ingin menyimpan duit dan diriku,
Kau ingin meneruskan pinangan itu.
Aku telah berkata minta pada ayahku,
Bukan minta dalam mainan nafsu dan bisikan syaitan,

Lelaki,
Mungkin hajatmu suci dan murni,
Tetapi, sedar atau tidak sedar,
Kau melanggar garisan syarak,
Kau sangat mendesak.
Aku rimas.

Lelaki,
Akad nikah yang suci itu...
Jangan dipermudah,
Perjanjian depan ALLAH.
Tidak perlu luahan perasaan itu sekarang.
Aku tidak inginkan perhatian darimu,
Kerana aku punya ibu bapa yang lebih memahami diri ini.
Kau siapa...cuma lelaki, bukan suami...

Lelaki,
Bolehkah kamu berfikir dalam keadaan tenang dan matang?
Bahawa bunga bukan sekuntum,
Meskipun hanya bunga itu saja yang kau gilakan,
Bukan seawal usia ini untuk kau angankan semua itu,
Kau perlukan kewarasan menempatkan jiwamu,
Bagi memiliki teman hidup yang tepat.

Lelaki,
Janganlah kau beranggap 
bahawa matahari yang bersinar indah itu
tidak pernah berpihak padamu,
Jika wanita itu menolak dirimu,
Pasti ada yang lain,
Kau carilah hingga hujung dunia,
Pasti mimpimu akan terlakar.
Jangan hentikan melangkah selepas kecewa.

Lelaki,
Aku memandang semua orang gembira,
Apabila mengenali erti cinta,
Tapi aku tidak mahukan cinta ini,
Cinta darimu pada saat ini,
Tiada ikatan sahih,
Daku khuatir akan membawa senyuman duka.
Duka di depan ALLAH...
Kerana tidak berjaya menunggu janji-Nya dengan sabar.

Senang atau duka ALLAH tetap bersama :
Ya ALLAH dugaan apakah ini...?
Ubat dan penawar hanya ada pada-Mu...
Mungkin kerana aku sudah terlalu jauh dari-Mu...
Ya ALLAH...
Semoga aku mampu hadapi ujian ini...

Thursday, September 9, 2010

Drama Raya...Emak...

Deru enjin kereta semakin perlahan...mencecah halaman rumah Mak Nah. Seorang budak perempuan keluar dari kereta sambil di tangan membawa makanan. Makanan itu dibungkus buat ibu saudaranya di rumah. Rumah ibu saudaranya tidak jauh...cuma makan masa tiga minit sahaja. Cuma Soto Nasi untuk menambah selera berbuka puasa Mak Nah yang makin larut. Puasa Mak Nah tanpa teman, sudahlah hidup menjanda mati suami, anak-anak tiada di sisi...raya nanti entah balik entahkan tidak.

"Assalamualaikum Mak Nah...jauh menung...fikir apa lah tu kan..." Kata Laila dalam nada mengusik.
"Waalaikumusalam...Laila, masuklah...Mana ada Mak Nah termenung." Mak Nah sedikit terkejut kerana lamunannya terhenti. Mak Nah sembunyikan sesuatu daripada Laila.

"Mak Nah...rindukan anak-anak ye?" Soal Laila sambil melabuhkan punggungnya di sebelah Mak Nah. Laila mencari tangan Mak Nah dan digenggam lembut.
"Bertuah budak ni, pandai meneka ye dia...mak mana tak rindu anak Laila." Balas Mak Nah sambil matanya seperti mengharap sesuatu yang sepatutnya dimiliki tapi menjauh.

"Mak Nah janganlah sedih, raya nanti baliklah dia orang." pujuk Laila menyakinkan ibu saudaranya.
"Entahlah...memang tak balik...Abang Noor kau balik Kelantan, Kak Lina balik Jengka, Abang Din balik Kulai, Abang Ajib Balik Kelantan juga. Tinggal Mak Nah sorang kat sini." Mak Nah membalas, seperti mengeluh nada yang dilepaskan. Perlahan-lahan tangan Laila dileraikan. Dia menyeka air matanya kerana bening jernih itu mengalir jua akhirnya di garisan kedut bawah matanya.

Laila merasakan sendu hati Mak Nah. Mak Nah sudah seperti tiada kepercayaan lagi untuk mendengar kata-kata bahawa anaknya akan balik. Laila terus melayan Mak Nah yang seakan-akan selesa untuk meluahkan perasaannya. Laila cuba menjadi pendengar yang baik. Hati orang tua bukan senang dibaca. Laila cuma terjemah kata-kata Mak Nah melalui pengalaman yang dilihat. Dia sendiri melihat dan menyelami perasaan atuknya yang tiada anak sudi pulang menziarah. Kalau pulang pun, raya yang kelima. kata orang 'dah takde feel dah'...

Tiba-tiba Laila teringat kata-kata ayahnya...

"Orang tua kalau berharta, anak semua sayang, tapi bila dah takde apa-apa...nak cuit pun tak selera."

Laila kembali menyambung perbualan dengan Mak Nah, mereka terhenti sebentar tadi kerana Mak Nah menitiskan airmatanya. Laila tidak sanggup bertanya lebih. Dia tidak mahu Mak Nah bertambah sedih.

"Abang Ajib mesti balik raya...dia kan buah hati pengarang jantung Mak Nah. Dia balik Kelantan sehari dua je tu. Nanti balik la ke Johor." Kata Laila.

"Dah takde dah buah hati ke...buah jantung ke...Mak Nah takde apa-apa lagi Laila, dia ada bini dia." Mak Nah menjawab dalam nada sekata. Dia seperti sudah tawar hati dengan anak bongsunya. Anak yang disangkakan tempat bergantung sakit pening masa tuanya. Kini, menjadi lelahan kasih yang semakin pupus.

"Mak Nah jangan la cakap macam gitu, anak lelaki kan hak atas ibunya...Abang Ajib ada Mak Nah dulu, baru bini dia..." Laila berkata seperti di angin lalu kerana hati Mak Nah ibarat kaca berderai. Bisa hatinya sangat dalam walaupun tidak berdarah.

"Mak Nah ingatkan Abang Ajib macam ayah kau, anak bongsu...ajak bini duduk serumah dengan mak mertua, mampu jaga mak sampai akhir hayat. Kalaulah bini Abang Ajib macam mak kau, sanggup satu rumah dengan mak mertua...sujud syukur Mak Nah dibuatnya. Ini tidak, dia orang laki bini nak jenguk pun tak sudi." Mak Nah semakin berkecil hati.

Laila rasa serba salah kerana membuka cerita tentang Abang Ajib. Laila cuba menggembirakan Mak Nah dengan mengaitkan nama anak bongsunya tetapi keadaan menjadi sebaliknya, bertambah muram. Abang Ajib sudah berubah sejak berkahwin. Dia lebih selesa menurut permintaan isterinya berbanding ibunya. Dia sepatutnya lebih menjaga ibunya yang sudah janda, tinggal seorang diri di kampung. Dunianya kini sudah terbalik.

"Mak Nah masih boleh beraya dengan Abang Din. Dia cuma balik Kulai je kan...nanti boleh la balik Pontian." Laila meneruskan kata-kata yang sewajarnya dituturkan. Dia juga lemah segala urat apabila melihat nasib orang tua jadi begini.

"Abang Din kau kata, dia nak Mak Nah sambut raya pertama kat Kulai, rumah mak mertua dia...Mak Nah malu la Laila. Macam Mak Nah ni takde rumah pula. Nak beraya kat rumah orang." Mak Nah menerangkan dengan penuh semangat.

"Mak Nah, tak pernah dibuat orang beraya kat rumah besan. Lebih baik Mak Nah beraya kat rumah Laila. Takkan la Mak Nah nak sambut sorang diri kat rumah ni. Pagi raya nak pergi masjid takde sesiapa nak hantar. Kalau beraya kat rumah Laila. Boleh pergi sembahyang raya sama-sama. Ayah Laila tu adik Mak Nah, lebih baik beraya kat rumah adik daripada rumah besan." Bersemangat Laila mengajak Mak Nah untuk menyambut raya pertama di rumahnya.

"Eh...tak payah susah-susah...Laila...Mak Nah boleh hidup sorang-sorang." Mak Nah menjawab dengan tegas. Dia seperti menunjukkan bahawa dirinya kuat.

Laila tidak senang hati mendengar kata-kata Mak Nah. Apalah rasa menyambut hari raya pertama seorang diri. Dia ingin mengajak Mak Nah tetapi tidak tahu lagi cara untuk memujuk. Laila hanya berharap Mak Nah sihat dan selamat duduk seorang diri di rumah ini. Laila mendiamkan diri. Dia melihat Mak Nah mencedok lauk ke dalam bekas makanannya. Mak Nah memberikan roti jala bagi membalas makanan berbuka puasa yang diberikan oleh Laila seawal tadi.

"Takpe la Laila... Mak Nah tunggu je la, Abang Noor balik dari kelantan nanti, dia kata raya ketiga nak datang sini. Nak mengharap Kak Lina balik kampung sini dah tak boleh. Dia milik suami." Mak Nah berkata dengan tabahnya sambil tersenyum.

"Laila harap, Mak Nah jangan sedih-sedih lagi tau...senyum macam ni la baru manis, kalau sedih nanti masam muka, cepat tua..." Laila cuba melebarkan lagi senyuman Mak Nah sambil tangannya menggeletek badan ibu saudaranya.

"Nak muda macam mana lagi, memang dah tua pun...ada-ada je budak ni." Mak Nah tersenyum sambil memiat telinga Laila.

Mereka berdua tertawa kecil. Laila terfikir sejenak...apakah yang akan berlaku pada dirinya, adik-beradiknya dan ibu bapanya apabila semua sudah berkahwin dan mempunyai keluarga masing-masing. Adakah masih ada waktu terluang buat ibu bapanya? Apakah dia mampu melakukan hal yang sama seperti ayahnya? Laila tidak mahu hanyut dengan angan-angan tentang masa depan. Dia juga tidak berani berjanji dengan masa depan. Dia hanya mahu cuba melakukan yang terbaik dalam hidup.  

tips : kalau nak balik kampung, rancang betul2...kalau tahun ni Abang Long balik kelate...Ucu balik la Johor...Kalau tahun ni kak Ngah balik Jengka...Abang Uda balik la Pontian...l.epas tu, raya tahun depan pusing la balik semula...ganti2...MAKA, TAK LA MAK TU BERAYA SORANG2...KESIAN...

PESANAN : SILA GUNAKAN AKAL SEBAIKNYA DAN BERBINCANG DALAM KELUARGA DEMI KEGEMBIRAAN IBU DAN BAPA ANDA....SELAMAT HARI RAYA...MAAF ZAHIR DAN BATIN