Hamba hingga akhirnya

My photo
Aku hanya seorang hamba ALLAH yang kerap buta pada terang cahaya,sering celik pada gelap lorong yang hujungnya mati jiwa, tapi keraguan itu hanya semalam yang caci. Ya ALLAH, relakan aku menangis kerana mendengar kebenaran, jangan biarkan aku ketawa sedangkan di dalamnya penipuan.

Sang Penulis

“Semua penulis akan mati. Hanya karyanyalah yang akan abadi. Maka tulislah sesuatu yang membahagiakan dirimu di akhirat nanti” (Ali bin Abi Thalib).

Tuesday, September 20, 2011

Kisah Pelangi

Jejak masih belum habis sempurna,
Kerana diri cuma pelangi 6 warna.

Sesukar mana,
Perarakan awan kumulonimbus,
Seru aku,
Memapah lesu.

Hati yang tercepat puas dengan cetek usaha,
Lemah dalam sangkar nanar.

Kerana akal melonjak tahu,
Tiada yang terbaik,
Selagi boleh diperbaiki.

Mengejar pelangi 7 warna.
Selengkap ini.
Sempurna baki.

p/s : Mana ada manusia sesempurna pelangi 7 warna. Kita sama-sama bawa dosa. Sssshhhh...

Sunday, September 18, 2011

Selagi Kepala Ke Langit

Baguslah...
Kau umpan pakai hiburan...
biar bertambah BAKA HARAM dekat Malaysia.
Dengan bangganya masuk 'paper'.
lepas satu.
Satu.

Memang berjayalah transforma...si.
Satu Hiburan ke Satu Malaysia?
Nak kasi bangsa lain datang kau hantar orang Hong Kong.
Nak kasi nampak gerek kau turun padang.
Bawa bini melengang-lengang.

Mana mungkin konsert serupa itu boleh mengingatkan kita pada kesyukuran biar sedetik kelibat.
Mana mungkin konsert seperti ini terjaga batas pergaulan.
Kalau dah terkinja-kinja.
Monyet pun turut hairan melihat tingkah laku manusia kini.
Mana mungkin konsert seperti ini mendekatkan diri kita pada ALLAH!

Itulah konsert SUARA KAMI yang dinanti-nantikan semua dan telah memecah haram di kaca televisyen pada 17 September...adik aku pun pelik tengok konsert tu...lagi la orang tua macam aku...sedih la tengok...serius! Jangan tanya kalau bersepah-sepah 'kondom' selepas konsert selesai...(maaf, terpaksa taip perkataan itu, sebab ini memang kisah benar). Aku betul-betul panas...

P/S : Orang Besar memerlukan lebih ramai penulis ingkar.

Monday, September 12, 2011

Jatuh Sunyi, Persembahkan Seutuhnya...

Aku merenung api lilin,
Terliang liut bermanja-manja dengan angin yang menyapa kerap,
Ia juga berteman sama.

Memang begitu sunyi hatiku,
Tidak seperti api lilin,
Riuh keadaan sebelah-menyebelah yang sengit bingit,
Dipandang kosong.

Betapa di sini aku telah utuh senyap,
Tak mungkin cuba meninggalkan memori,
Sesali frasa usia sebenar-benarnya.

Mencakus,
Cakna tentang fasa plot hidup,
Peduli soal lara tertanggung.

Biarku persembah seluruh,
Dalam hati rancak berarak genderang roh.

Kerna aku tahu...
KAU memang dekat,
Tak mungkin jauh.
Tak mungkin aku jatuh sunyi lagi...


''Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu (Muhammad) tentang aku, Maka (jawablah), bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, Maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.'' (2:186)

Nota : Aku betul-betul sunyi walaupun masih tersenyum. Oleh sebab, cerita kini sudah berubah terjadi kegusaran. Jangan tinggalkan aku ya ALLAH...biarku persembahkan seutuhnya. 

Hati Untuk Dua

"Kadang-kadang kita bosan dengan dunia yang penuh pancaroba, tapi adakah kita sudah sedia untuk ke sana?"
_Najwa Tahir_


Pada aku cinta ibarat matematik...serupa sahaja
1) Selagi otak kau yang geliga memikirkannya, selagi itu kau masih berkira-kira...dan masih bersamanya.
2) Selagi kau boleh tolak, tambah, darab, bahagi....selagi itu kau masih ada cinta...
3) Cinta akan dapat jawapan yang tepat macam matematik...mana ada jawapan matematik kau tulis...'lebih kurang 30 agaknya..." Tak macam jawab soalan BM, BI ke....selagi hati cikgu yang tanda soalan tu sejuk tengok jawapan kau yang logik akal...selagi itulah dia akan bagi betul je...'adik-adik UPSR, doa banyak, minta kat ALLAH, sejukkan hati penanda kertas jawapan'.
4) Dan yang paling seronok ialah, setiap hari kau akan menggunakan Matematik...setiap harilah kau akan ada cinta. 24 jam itu apa? Kita hidup menggunakan masa untuk segala hal terutamanya solat...Topik 'TIME' ada dalam HURAIAN SUKATAN PELAJARAN MATEMATIK. kan cikgu kan? haha...
5) Cinta mula dari kosong...macam Matematik...kita perlu ajar murid dari kosong sebagai menunjukkan nilai tiada apa-apa (bukan mula dari satu)...barulah wujud satu...dua, tiga dan seterusnya infiniti...
6) Yang aku maksudkan cinta yang ibarat Matematik ini, ialah cinta kepada ALLAH...kita mengaku kita menggunakan matematik dalam hidup...begitulah pengakuan kita pada Cinta kepada ALLAH dalam hidup. Sentiasa Bersama...

Memang kan?
1) Hati kita kosong...kosong tiada apa-apa saat kita mula terleka dengan pujuk rayu dunia...ARgghhh!!! Tapi, dalam diam kita mencari...mencari cinta ALLAH...
2) Maka, hati kita menjadi Satu...Cinta yang Satu...Siapa yang tahu isi hati kau? Siapa yang tahu sebalik wajah tenang kau...ada ALLAH dalam hati...siapa yang tahu sebalik senyuman kau...ada ALLAH dalam hati.
3) Itulah hati yang terisi...

Hati Untuk Dua...Janganlah!
1) Kau orang selalu kan bilang yang hati ini untuk cinta yang Satu..."cinta aku saja je..." Aku setialah, cinta aku sorang je" "Weh...dia yang satu...takde lain dah dalam hati ni." (ayat dibina berdasarkan pengalaman rakan sekeliling)
2) macam itulah cinta kau pada agama ALLAH...cinta kau pada ISLAM...cinta kau padaNYA...hati kau perlu sentiasa dalam kebaikan.
3) Hati yang untuk dua ni bahaya...sebab kita tak masuk keseluruhan...semalam boleh buat benda baik...esok boleh buat benda jahat...Fuhh...janganlah lupa akan siapa sedang memandang kita?
4) Kau masih ada hati lagi...bila kau rasa lain macam apabila buat dosa...'MASIH ADA HATI YANG BERNYAWA'
5) Ingat...kita takkan boleh tinggalkan ALLAH...sebab DIA sentiasa bagi peringatanNYA melalui bacaan, pendengaran dan penglihatan kita...macam-macam lagi.
6) Beruntunglah jika hati rasa tak sedap saat bikin dosa...beruntunglah kalau kau dapat rasa gundah gulana ketika Hati terbahagi untuk dua...
7) nama pun...dosa atau pahala...ada dua pilihan sahaja...hati untuk satu...bukan dua...

Tunjukkan Hati Yang Sebenar
1) Tunjukkan hatimu yang sebenar...hati yang sucilah yang sebenar-benarnya...
2) Kalau kita tak tunjuk yang sebenar pun...ALLAH tahu apa yang dalam sudut hati paling dalam. Jangan sembunyi...
3) haha...serius...cerita pasal hati takkan habis sampai bila-bila...sebab kita tak nampak.

Pesanan Ringkas : Aku nak pesan satu hal lagi, menilai peribadi orang lain melalui status facebook, cara memberi komen dan sebagainya kadang-kadang boleh membawa kepada kerosakan hati...selagi pemilik Facebook masih hidup...dia akan tulis statusnya...selagi itu kita akan terbaca dan dalam keadaan sengaja atau tidak, hati akan menilai peribadi orang lain...Hati Memang Mahal. Hati untuk SATU.Sekian.


Thursday, September 8, 2011

Sivik dan Kenegaraan

'Moral' Merupakan Senjata Perebutan Kuasa
Noktah.

Wednesday, September 7, 2011

Runut Bunyi



Simfoni berlagu sepi,
Mengganggu gugat,
Prestasi linguistik,
Melabuhkan sauh di atas kertas,
Suara mati,
Tanpa lirik dan melodi.

Mobiliti masa terus bergiat pantas,
Transisi kronologi mulai bertindak ganjal,
Tidak sesuai dengan naratifnya.

Hati lenyap seperti asap,
Gelombang angin tercatat statik,
Mendesah seakan tanah yang membina lubang gua,
Hanya debu yang terpuruk di fikiran.
Hal ini tidak boleh terhapuskan ibarat tatu.

Harapan bukan angan,
Menerawang rawan,
Setiap situasi bertukar runut bunyinya,
Cukup indah permainan emosi.

Meninggalkan,
Jangan menoleh ke belakang,
Bimbang nanti kacau langkah.
Lari rentak-rentak hangat itu.


Nota Bergasak Fakta : hidup aku pun macam filem...ada runut bunyi tersendiri...aku pilih bunyi AZAN sebagai runut bunyi...aku harap sampai mati runut bunyiku tidak berubah...

Monday, September 5, 2011

Pondok Tanpa Atap

Memang hidup manusia ni banyak berdendam!
Ye...manusia yang memandang dunia lebih dari segala!

Begitulah hati Amsyar bergadang dalam sunyi seiring dengan keadaan biliknya yang gelap. Maklumlah,sudah seminggu rosak mentolnya. Dia masih panas hati mendengar kisah lahanat bapa saudaranya pagi tadi yang datang ke rumah bukan untuk beraya, tetapi dengan niat ingin menjual tanah pusaka. Dia menapak menuju ke singki untuk membasahkan wajahnya yang merah padam. Sekali Sekala disusun langkah mengambil wuduk apabila sabarnya mula memecah. Penat ibu dan bapanya berjuang agar tanah itu tidak tergadai pada tangan tuan doktor yang sudah kaya itu, takkan mungkin perjuangan dibalas dengan debu. dua puluh dua tahun dipertahankan. Biar dibilang bermulut bacin dan bertangan hancing, asalkan nasib dan hak orang tuanya terbela.

Amsyar melihat dari jauh, sudut perbincangan harta antara adik-beradik emaknya dengan mata kecil dan jiwa besar.

Selepas kematian arwah datuknya, semakin huru-hara keluarga besar itu. Memang benar, keluarga emak lagi busuk hati kerana sikap Pak Ngah yang suka menabur fitnah dan mengadu domba. Biarlah seperti adik-beradik ayah yang suka menghina secara berdepan, bersua mata parang sekalipun, memang buas ibarat lanun Bugis. Namun tidak menambahkan barah seperti adik-beradik emak yang bermuka-muka. Sudah genap empat tahun, keadaan nenek yang ditimpa angin ahmar, tiada tangan yang ingin menyambut kecuali Pak Uteh dan Mak Uteh. Ibu bapa kepada Amsyar. Adik-beradik lain tidak ingin membantu kecuali Maksu. Mengharapkan Mak Long memang tidaklah kerana dia sendiri sudah tua, minta dibelai anak-anaknya. Mak Andak dan Pak Uda lepas tangan semampu yang mungkin. Mak Andak dengan hasrat ingin membina keluarga yang miskin, padahal sudah kaya melimpah ruah. Pak Uda pula dengan alasannya yang duduk jauh di Temerloh sana, dia bimbang jika menyukarkan saudara-mara untuk menziarah nenek. Sudahlah, bilang sahaja itu alasan. Pak Ngah pula hanya pandai menyalak macam anjing setiap saat menggilakan harta yang tidak seberapa.

Amsyar merenung ciptaan Tuhan dalam-dalam. Pagi nyaman dan indah di desa penghujung benua Asia kali ini, diganggu dengan aura iblis yang dibawa oleh Pak Ngah. Bunyi geseran tayar kereta Kenari Pak Ngah pada batu kerikil lorong rumahnya telah menggugat hati Amsyar untuk meyumpah seranah.

"Argggahhhhh...." Orang tua bangsat sudah sampai. Hati Amsyar memaki hamun. Dia membuka pintu untuk Pak Ngahnya itu. Kemudian, dalam beberapa saat, Mak Uteh berganti posisi dengan anaknya untuk menyambut tetamu yang tidak diundang.

"Bang Ngah datang ni, nak bincang soal jual kebun sawit bapak kat Rengit tu. Bang Ngah nak jual dekat Sumiah, anak Wak Maat yang kerja doktor tu." Pak Ngah berkata sambil berdiri tercegat di depan pintu rumah kami. Tanpa salam dan tanpa mesra. Memang niat mahukan harta.

"Masuk dululah Bang Ngah. Kita bincang dekat dalam. Bang Ngah mamper nang ngomah Adah arep nyoal kebun sawit nang wetan apo nang baruh bang?"" Mak Uteh menjemput baik abang kandungnya itu. Mak Uteh bertanya penuh kelembutan dalam bahasa Jawa. Dia menyoal adakah abangnya ingin bertanya tentang kebun sawit di timur atau di laut kampung Rengit itu.

"Aku orak gelem tanah nang wetan, aku ngarep seng nang baruh." Pak Ngah menjawab.

"Ojo dijual Bang Ngah. Isuk-isuk, kualat kue. Kapok an." Maksu menjawab ringkas. Dia berkata, jangan dijual tanah itu, nanti ketulah barulah padan dengan muka. Amsyar memahami setiap tutur kata Pak Ngah, Maksu dan emaknya. Dia merupakan anak yang paling pakar dalam bahasa Jawa berbanding abang dan adiknya.

"Itu kan hasil titik peluh bapak kau Ngah, takkan lah hendak digadai macam gitu je." Bilang Pak Uteh  sebagai menantu. Dari celah mana Pak Uteh muncul juga menyebabkan kami semua terkejut. Pak Uteh tidak memahami langsung bahasa Jawa, dia tidak berminat untuk mempelajari bahawa Jawa walaupun beristerikan orang Jawa. Namun, Pak Uteh memahami maksud ayat itu kerana, jejaknya kaki Pak Ngah ke rumah kami tidak lain dan tidak bukan hanya ingin menjual tanah tersebut.

"Biarlah, itu harta bapak aku, bukan bapak kau. Kau orang luar. Apa kau tau?" Pak Ngah melawan dengan angkuh.

"Tapi, sesendat mana pun otak kita, kita kena fikir jauh untuk masa depan, tanah tu boleh bela nasib kita adik-beradik, memang saya menantu dalam keluarga ni, tapi inilah yang pernah terjadi dalam keluarga saya dulu Ngah. Saya tak nak perkara ni terjadi dalam keluarga ini." Bercepidau hujah keluar dari mulut Pak Uteh.

Memang tanah hanya sekangkang kera itu tidak layak untuk dipertahankan. Namun, itulah nilai pusaka. Betapa kepercayaan disandarkan penuh kepada-Nya. Pak Uteh berharap hanya ALLAH yang bisa memberikan kefahaman dalam hati Pak Ngah. Pak Uteh tidak menyerah kalah untuk membela hak keluarga itu, biarlah dibilang sebagai orang luar. Ke mana lagi rumah indah akan bertapak kalau bukan di atas sebidang tanah. Ke mana lagi hasil rezeki ALLAH akan bertaburan kalau bukan di tanah basah. Memang tanah hanya harta, kita mati takkan ke mana. Namun itu sahaja yang ada untuk membela nasib kita.

"Bang Ngah, tanah tu bukan hak kita seorang untuk digadaikan. Masih hidup lagi seorang insan yang berkorban melahirkan kita. Mak kita tu ha... Dia masih ada hak faraidnya." Balas Maksu, menambah fakta pada kata-kata Pak Uteh.

Mak Uteh tidak seberani Maksu. Mak Uteh seorang yang suka memendam perasaan kecil hatinya. Perasaan sedih, geram dan marah itu diluahkan pada suaminya sahaja.

"Bang Ngah, sudah-sudahlah, emak yang terbaring atas katil tu masih bernyawa lagi. Dia belum pergi lagi Bang Ngah dah berani suara tentang harta." Pak Uteh menyedarkan Pak Ngah yang bagaikan dirasuk iblis.


"Kalau tanah tak boleh jual. Aku nak tanya pasal duit sawit. Mana duit hasil sawit, duit tu perlu dibahagi-bahagikan." Bentak Pak Ngah pada Mak Uteh.

"Abang Ngah nak duit sawit tu? abang kena dukung emak sekali bawa balik Puchong. Jaga emak dapatlah duit sawit tu. Saya bukan nak kurang ajar dengan Abang Ngah, tapi itulah yang arwah bapak pesan pada Adah dulu sebelum meninggal." Pak Uteh membela isterinya yang sudah berdiam diri ibarat patung.

"Bapak kata apa dekat Adah? aku tak dengar pun. Aku tak tahu pun." Pak Ngah menjawab.

"Memanglah kau tak dengar, kau sibuk menengkuk cari harta untuk bini kau yang cantik tu, untuk anak beranak kau yang gila glamour tu. Ini...muka-muka inilah yang menghadap arwah bapak sampai nafas terakhir, cuma aku anak beranak je, adik-beradik lain pergi mana entah." Pak Uteh menunjuk muka isteri dan anak-anaknya. Memang benar, kali ini darah Bugis Pak Uteh mula mendidih.

"Tak ada bukti yang mengesahkan kata-kata kau tu. Aku tak percaya." Kata Pak Ngah.

"Baiklah, kau tunggu sini, aku gali kubur arwah bapak kejap. Nanti kau tanya soalan dekat bapak ye. Macam itu yang kau nak kan?" Pak Uteh menjawab dalam keadaan tenang dan cukup sinis.

"Aku balik dulu, rumah ni panas la. macam neraka. Memang sesuai dengan penghuninya." Pak Ngah mengeluarkan kata-kata yang cukup-cukup biadap.

"Bang Ngah bukan ALLAH, yang menentukan kami sekeluarga ahli syurga atau neraka. Balik rumah nanti, cermin hati Bang Ngah dulu lepas tu datang sini semula ye." Pak Uteh menahan sabar dengan menyerahkan segala-galanya pada ALLAH.

Pak Ngah telah pulang ke rumahnya. Memang panas barangkali rumah ini. Tapi biarlah panas pada hatinya.  Asalkan rumah ini terbina dengan tauladan. Bukanlah seperti rumah tanpa jendela.


Tiba-tiba, Amsyar teringat kembali ayahnya pernah meluahkan perasaan hati.

"Ayah bukan apa Am, emak kau tu, sedihnya diluah dekat ayah. Ayah kayuh lori cari rezeki, duduk jauh dari emak kau, ayah tak dapat nak pujuk dia. Ayah cuma mampu pujuk dalam telefon. Ayah risaukan dia. Dihina adik-beradik, dicaci maki padahal dia yang jaga nenek tu Am. Apalah dosa emak kau." Pak Uteh mengadu pada Amsyar sambil memaku papan untuk dibina sebuah garaj.

" Emak tu pun satu ayah...dia suka pendam, adik-beradik kutuk maki, dia diam je. Amsyar tengok pun panas." Amsyar mengeluarkan patah perkataannya dengan cukup baran.

"Ayah taknak kau marah dekat emak macam gitu, yang salah adik-beradik emak kau." Pak Uteh memesan anaknya.

"Ayah, boleh tak Amsyar 'sound' je Pak Ngah tu, biar busuk muka Amsyar, janji emak dengan ayah tak dihina." Amsyar membalas.

"Jangan nak, selagi ayah ada, biar ayah yang bela nasib emak kau, biarlah emak marahkan ayah sebab kurang ajar dengan abang dia sendiri, janji emak kau tak dihina lagi." Pak Uteh Menyusun kata-katanya demi Amsyar memahami apa itu nilai kasih dan sayang.

"Ayah betul-betul sayangkan emak...hehe..." Amsyar mengusik ayahnya.

"Laki mana tak sayang bini, nak oi...tapi janganlah sayangkan bini sampai terbuang orang tua. Sebab itu ayah sanggup angkat nenek yang sakit angin ahmar tu, kerjasama jaga nenek, ayah usaha cari rezeki lebih dapat beli ubat, makan, dengan lampin nenek kau. Tapi, ayah rasa terhina juga bila Pak Ngah caci maki keluarga kita macam ni. Padahal haknya ibu itu atas anak lelaki, bukan menantu lelaki." Pak Uteh menyudahkan ayat dengan bermacam nasihat.

"Macam-macam la dunia ni. Ayah, kenapa orang bugis gaduh main parang, orang jawa main cakap belakang macam adik-beradik mak tu?" Amsyar bertanya.

"Eh, Orang Jawa yang macam Pak Ngah kau tu je main cakap belakang. Jangan ikut perangai macam tu ye. Kau pun tadi baru main kutuk belakang. Kau kutuk Pak Ngah kau. Tak perasan ke?" Amsyar berhenti berkata-kata. Dia terkena dengan ayat ayahnya sebentar tadi, hendak saja dipilih darah Bugis. Biarpun wajahnya lebih mirip orang Jawa tidak sama macam abang-abangnya yang seperti orang Bugis.

Amsyar berhenti dari mengelamun. Amsyar bimbang akan keadaan hati ibunya yang semakin parah. Dia mendapatkan ibunya. Dia cepat-cepat memujuk ibunya agar bersabar.

"Emak...sabar ye. Ini namanya dunia emak." Amsyar memberi pesan pada ibunya.

"Iya Am. Dunia kok...ginilah jadinya." Ibu Amsyar menjawab ringkas sambil air mata berjuraian.

"Airmata tu yang Am benci nak tatap. Emak, jangan menangis lagi ye...Am, abang dengan adik ada dekat sini. Ayah pun ada untuk emak." Amsyar memujuk benar hati ibunya yang pecah menjadi kaca halus.

"Kenapa hak ada nilai ringgit ye, Am? Kenapa pengorbanan ada nilai mata wang ye, Am?" Ibunya bertanya dengan nada penuh kecewa.

"Sebab hati buta emak. Emak jangan layan perasaan sedih tu." Am memeluk ibunya dengan berharap itu boleh jadi pengubat segalanya.

"Am, jangan dendam ye nak...nanti Am sakit, emak tau...kau jatuh sakit bila hati kau betul-betul sakit. Kau tak pernah jatuh sakit atas sebab lain. Nanti kau dapat demam pula." Emaknya berpesan agar Amsyar segera mengubat hatinya yang berdendam itu. Kerana sudah kebiasaan anaknya itu jatuh sakit apabila hatinya terluka dan marah.

"Tapi emak, sakit yang emak rasa, lebih hebat sakit yang Am rasa sebagai anak." Amsyar berdolak-dalih.

"Hentikan Am. Emak pun merelakan segala apa-apa yang orang buat dekat emak. Emak pasrah Am." Mak Uteh mengasuh anaknya agar jangan menyimpan rasa benci dalam hati.

"Baik mak...Amsyar buang jauh-jauh." Amsyar menyedapkan hati ibunya.

Luka. Luka itu masih dalam hingga meninggalkan parut yang tidak boleh terubat kecuali dengan kemaafan. Kata-kata yang ibarat petir boleh meragut jantung dan mencengkam segenap penjuru urat darah. Memang air dicincang takkan putus. Namun, hati dicincang pasti putus.

Amsyar jatuh sakit kerana marah yang infiniti.
Memang benar sakit itu datang dari hati.
Panas batin, zahir yang menanggungnya.

Nota bergasak fakta : Kadang-kadang, hari raya macam tak raya...persundalan jiwa gila harta bisa menikam batin menjadikan zahir sebagai mangsa. Jangan sakit hati nanti demam...demam bukanlah berpunca dari banyaknya kuantiti lemang dengan rendang yang kita belasah...tapi sebab sakit hati sebenarnya. Tak percaya...? buatlah eksperimen sendiri...Hindari sakit hati walaupun memang akan sakit juga kalau dah 'hardcore' kena tipak dengan orang macam watak di atas. Rasa dendam dan benci bukanlah agenda kita selepas RAMDHAN!!! Aku serius bagi nasihat kali ni.

Nasihat lagi : nak tahu nilai kehidupan kau...kau lihat pada kehidupan orang lain...baru kau tahu erti syukur! lagi satu, jangan jadi macam Pak Ngah ek, dah la gila harta lepas tu tak reti nak jaga orang tua ...anak lelaki pula tuhh ("Tak jantan langsung."kata jiran depan rumah aku)